Friday, September 13, 2013

Tuanku Abdul Halim Mahukan Semua Pihak Perlu Tangani Isu Syiah


13 September 2013, Jumaat :-

Mufti Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Mohamad Baderuddin Ahmad dalam kenyataannya semalam selepas menyampaikan ucaptama di seminar mengenai isu Syiah di Malaysia peringkat Institusi Pengajian Tinggi Zon Utara di Jitra, Kedah  memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu semua pihak menggembleng tenaga menangani penyebaran fahaman syiah di negara ini.  Titah ini disampaikan oleh Tuanku Abdul Halim kepada Dato’ Syekh Mohamed  semasa beliau menghadap baginda di Istana Anak Bukit pada 11 September 2013.

Tambah beliau lagi, Tuanku Abdul Halim berasa amat bimbang terhadap penyebaran fahaman syiah yang semakin menular dikalangan masyarakat di negara ini termasuklah di negeri Kedah walaupun fahaman ini  dilarang penyebarannya di Malaysia. Baginda menitahkan agar tindakan dan hukuman berat hendaklah dilaksanakan kepada mereka yang bertanggungjawab menyebarankan fahaman Syiah dan cuba menghakis pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat  Islam Malaysia.


Sumber :- Bernama

Thursday, September 12, 2013

Sepotong Kek Perkahwinan Queen Elizabeth II Dijual Pada Harga 1,750 Pound Sterling



12 September 2013, Khamis :-

Tahukah anda baru-baru ini sepotong kek perkahwinan Baginda Queen Elizabeth II dan Prince Philip yang telah berusia 63 tahun telah dijual dalam satu lelongan di Christie, London pada harga 1,750 pound sterling. Kek berukuran 3.5 inci x 7.5 inci ini kepunyaan seorang pengumpul barangan antik  yang memperolehinya daripada Channel 4's Four Rooms pada tahun 2011. Kek ini dilelong pada harga permulaan 1,500 pound sterling. Kek ini diletakkan dalam sebuah bekas khas dari Buckingham Palace dan terdapat tarikh November 20, 1947 pada kotak berkenaan iaitu tarikh perkahwinan baginda Queen Elizabeth II. Kek ini masih elok dan dapat bertahan lama sehingga hari ini kerana ianya diperbuat daripada Rum dan Brandy.



Inilah dia Kek Perkahwinan baginda Queen Elizabeth setinggi 9 kaki dan empat tingkat yang mana kemudiannya diagih-agihkan untuk 200 tetamu pada majlis berkenaan.  Salah satu tingkat kek ini telah disimpan untuk majlis "Christening" Prince Charles setahun kemudiannya. Menurut laporan the Telegraph, Kek yang dijual ini pada asalnya adalah kepunyaan Princess Alice Hospice dan ianya dijumpai dalam fail kabinet beliau 15 tahun kemudiannya.

Sumber :- Hello Daily News / RoyaltyNu

Raja Nazrin Hadiri Majlis Menandatangani MoU Madrasah Idrisiah sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan


12 September 2013, Khamis :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menghadiri Majlis Menandatangani MoU Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Majlis yang dijadualkan bermula jam 09:30hrs ini diadakan di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir ; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Abdul Puhat Mat Nayan ; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Ghazali Jalal.


Sumber :- Bernama

Wednesday, September 11, 2013

Sultan Brunei dan Raja Isteri Menerima Mengadap Dan Junjung Ziarah Bakal-Bakal Jemah Haji 1434H / 2013


11 September 2013, Rabu :- 

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohammad Alam telah berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal-bakal jemah haji Brunei bagi tahun 1434H / 2013.  Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan. 

Turut serta dalam majlis ini adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Salleh Ab. Rahaman.



Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Raja Perlis Menerima Mengadap Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar

11 September 2013, Rabu :-

Hari ini Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan mencemar duli menerima mengadap Panglima Briged Sempadan, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar.  Majlis mengadap diadakan di Istana Arau di Arau, Perlis.  Dalam majlis ini Tuanku Syed Sirajuddin telah diberi taklimat mengenai Projek Pembinaan Kem Markas Briged Sempadan dan 6 Skn RAJD.  Turut serta dalam majlis ini adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sumber :- Bernama

Tuanku Zara Sempurnakan Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-15

11 September 2013, Rabu :- 

Semalam Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim telah berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-15 UPSI di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di Tanjung Malim Perak. Dalam istiadat ini juga, Tuanku Zara telah berkenan mengurniakan watikah perlantikan Pro-Canselor UPSI yang baru kepada Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.  Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid merupakan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Pengerusi Majlis Profesor Negara dan  Pengerusi Pengasas 'Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services' iaitu badan perantara di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menghubungkan komuniti ahli sains dengan ketua-ketua negara.

Istiadat Konvokesyen UPSI ke-15 diadakan selama empat hari bermula semalam, 10 September 2013 hingga 13 September 2013. Seramai 6,451 graduan menerima ijazah dan diploma dalam konvokesyen pada kali ini yang terdiri daripada 23 graduan doktor falsafah, 790 graduan sarjana, 2882 graduan sarjana muda dan 2,756 penerima diploma. Dalam istiada semalam Tuanku Zara juga telah berkenan menyampaikan :-
  • Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pendidikan kepada Tan Sri Dr Muhammad Rais Abdul Karim yang merupakan bekas Naib Canselor UPSI dan bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
  • Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Sejarah kepada Tan Sri Omar Mohd Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
  • Anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood yang merupakan seorang individu yang bergiat aktif dalam penyelidikan serta penulisan mengenai bahasa dan linguistik Melayu.

Dalam titah baginda, Tuanku Zara menegaskan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara bergantung kepada keupayaan pelaksana menterjemahkannya kepada tindakan. Kedua-dua pelan itu merupakan satu transformasi yang dilaksana oleh kerajaan untuk mengangkat martabat sektor pendidikan negara, Titah baginda lagi, graduan UPSI mesti menjadi insan budiman yang mensejahterakan masyarakat melalui hemah seorang pendidik. Tuanku Zara juga berharap agar graduan tidak berpuashati dengan segulung ijazah yang diterima oleh mereka malah berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Baginda juga menyarankan agar graduan dan warga pendidikan khususnya, menghayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara yang mentafsirkan pendidikan sebagai usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang. Titah baginda lagi UPSI sebagai satu-satunya universiti yang berteraskan pendidikan di negara ini juga perlu bersedia untuk menjadi wadah kepada pembangunan pendidikan dengan melahirkan sumber manusia berilmu dan berketerampilan tinggi.

Sumber :- Bernama

Tuesday, September 10, 2013

Perasmian Jambatan Nurudin Oleh Sultan Yussuff Izzuddin Shah


10 september 2013, Selasa :- 

Pada 10 September 1955, Paduka Seri Sultan Yussuff Izzuddin Shah (Marhum Ghafarullah), Sultan Perak ke-32 telah berkenan mencemar duli merasmikan Jambatan Nurudin. Jambatan sepanjang 238.40 meter dengan kelebaran 3.30meter ini dibina merentasi Sungai Perak untuk menghubungkan mukim Belanja yang terletak kira-kira 18 batu ke Selatan Kuala Kangsar. Sultan Yussuff berkenan menamakan jambatan ini sebagai Jambatan Nurudin bagi mengenang jasa Dato' Setia Nurudin dalam menangani banjir besar yang berlaku pada tahun 1926.  Turut serta dalam majlis ini adalah Menteri Kerja Raya, Encik Saadon bin Zubir,Menteri Besar Perak, Dato Panglima Bukit Gantang dan Penasihat British.  Dengan adanya jambatan ini telah memberi kemudahan untuk rakyat menyeberangi Sungai Perak disamping mengingati  jasa dan sumbangan Dato' Setia Nurudin.

Sumber :- Hari Ini Dalam Sejarah/Perak Historical Crew

Monday, September 9, 2013

Tuanku Abdul Halim Ucapkan Selamat Jalan Kepada Kumpulan Pertama Jemaah Haji Di Alor Setar


09 September 2013, Isnin :-

Pada tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang bertolak dari Alor Setar ke tanah suci di Komplek Tabung Haji Kepala Batas. Penerbangan pertama dari Alor Setar ini akan meneruskan perjalanan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Madinah. Turut serta dalam majlis ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun ; Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia  Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah ; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdna Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Sumber :- Bernama

Katil Bayi Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman


09 September 2013, Isnin :-

Dua minggu yang lepas Syah singgah ke Centeral Market atau CM dalam perjalanan ke rumah adinda Syah di Selayang.  Dah lama tak jalan-jalan di CM dan sudah terlanjur kesini Syah pusing-pusing sekejap sebelum ke Leboh Pasar untuk ambil bas ke Selayang. Tiba-tiba Syah terpandang sebuah kedai, KOTA PINANG yang merupakan sebuah kedai menjual barang antik dan lama. Penglihatan Syah tertumpu kearah sebuah katil bayi yang dijual dikedai ini. Rupa-rupanya ini adalah katil bayi yang digunakan oleh Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10 sewaktu baginda masih bayi. Katil ini dibuat daripada besi tempawan dengan gaya Moris yang biasanya rekaan sekitar 1881. Almarhum diputerakan pada 19 Julai 1922.  Bantal dan tilam serta fabrik yang ada pada katil ini merupakan material yang asli digunakan oleh Almarhum ketika itu.  


Almarhum Tuanku Jaafar

Syah bertanya kepada Uncle penjaga kedai, mungkin tuan punya kedai berkenaan harga katil ini.  Dia maklumkan kepada Syah, Muzium Negeri Sembilan ada membuat pertanyaan berhubung harga katil ini dan beliau telah menghantar sebutharga kepada pihak muzium dengan harga RM150,000.00.  Dia maklumkan kepada Syah,walaupun sebutharga telah diberi kepada  pihak muzium tetapi sesiap sahaja yang ingin membeli katil ini dia akan jual atas dasar "first come first served".


Almarhum Tuanku Jaafar ketika masih kecil
Sumber :-Kota Pinang / MBS 

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Berangkat Tiba Ke Alor Setar Dari Vietnam

09 September 2013, Isnin :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun serta rombongan telah selamat tiba di  Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah setelah menamatkan lawatan rasmi empat hari ke  Vietnam. Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda berdua pada jam 19:40hrs disambut oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia  Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah ; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir serta barisan exco kerajaan negeri. Doa selamat dibacakan oleh Mufti kerajaan negeri Kedah, Dato' Syeikh Baderuddin Ahmad. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya berangkat ke Istana Anak Bukit.

Pada ini, Tuanku Abdul Halim dijadual mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji ke tanah suci di Komplek Tabung Haji Kepala Batas yang akan berlepas melalui  Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.


Sumber:- Bernama

Saturday, September 7, 2013

Pemakaman Sultan Abu Bakar, Sultan Johor pada 07 September 1895

Sila "click' gambar untuk imejyang lebih besar


07 September 2013, Sabtu :-

Pada 07 September 1895, Jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim yang dikenali sebagai Bapa Johor Moden dan Sultan Johor Pertama Era Moden  telah selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu, Johor. Almarhum dimakamkan setelah hampir tiga bulan mangkat. Keadaan ini berlaku kerana Almarhum mangkat di England dan proses menghantar balik jenazah memakan masa kerana pengangkutan paling cepat pada ketika itu hanya menggunakan kapal laut. 

Almarhum diputerakan pada 03 Februari 1833 di Teluk Belanga, Singapura dan mangkat ketika berada di England dalam usia 62 tahun.  Almarhum menghembuskan nafas terakhir di Hotel Bailey, South Kensington pada 04 Jun 1895 jam 20:15hrs. Ketika mangkat Prince of Wales, Prince Edward (kemudiannya bergelar King Edward VII) dan Duke of Saxe-Coburg, Prince Charles Edward berada disisi Almarhum. Atas perkenaan Baginda Queen Victoria, jenazah baginda dibawa pulang ke Johor menaiki kapal bernama Bombay yang diuruskan oleh syarikat perkapalan P&O.  

Jenazah tiba di Pulau Pinang pada 28 Ogos 1895 dan kemudiannya dipindahkan ke kapal perang Inggeris, H.M.S. Mercury untuk meneruskan perjalanan ke Singapura. Jenazah tiba di Singapura pada 30 Ogos 1895 dan kemudiannya dibawa ke Johor Baharu.  Di Johor Baharu, jenazah Almarhum disemayamkan di Istana Besar Johor Baharu untuk penghormatan terakhir sebelum dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah dengan penuh adat istiadat diraja Johor pada 07 September 1895 .


Almarhum menggantikan Ayahanda baginda sebagai Temenggong Johor ketika berusia 28 tahun pada 02 Februari 1862. Pada 30 Jun 1868, baginda menggunakan gelaran Maharaja Johor dan kemudiannya menggunakan gelaran Sultan Johor pada 13 Februari 1886. Almarhum mendapat pendidikan barat semenjak dari kecil lagi dan sering melakukan lawatan keluar negara terutamanya England untuk mencari pengalaman dan mempelajari sistem pentadbiran Barat.  Almarhum merupakan sahabat akrab kepada Ratu England, Her Majesty Queen Victoria.  Disebabkan kecekapan pentadbiran baginda mentadbir Johor telah mengagalkan perancangan pihak Inggeris untuk meletakkan Johor dalam pentadbiran Sistem Residen di Tanah Melayu.

Al-Fatihah ............


Semuga Rohnya Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin.

Sumber :- Kesultanan Johor / Wikipedia

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Santapan Negara di Hanoi


07 September 2013,Sabtu :-

Malam semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun yang berada di Vietnam untuk lawatan rasmi negara bermula 05 September lepas telah diraikan oleh Presiden Vietnam, Truong Tan Sang dalam satu Majlis Santapan Malam yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Hanoi.

Sumber :- Bernama

Friday, September 6, 2013

Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin Untuk Ayahanda dan Bonda Sultan Brunei Sempena Sambutan Hari Guru ke 23

06 September 2013, Jumaat :- 


Sempena sambutan Hari Guru ke 23 bagi tahun 2013, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei telah mengadakan Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin bagi ayahanda dan bonda Sultan Brunei, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Bagawan.  Majlis diadakan pada 05 September ini dihadiri oleh 500 orang dari Kementerian berkenaan yang diketuai oleh Menteri Pendidikan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman bersama-sama pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dan sekolah-sekolah/maktab-maktab/institusi pengajian tinggi, teknikal dan vokasional.  

Bacaan Tahlil dan Surah Yasin dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Amin bin Haji Salim. Turut serta dalam majlis ini adalah Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Perdana Menteri.

Sumber :- Pelitabrunei

Thursday, September 5, 2013

Tuanku Abdul Halim Berangkat ke Vietnam Untuk Lawatan Rasmi Negara

Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Vietnam

05 September 2013, Khamis:-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah menamatkan lawatan rasmi negara baginda berdua ke Thailand selama tiga hari bermula 02 september lepas dan meneruskan perjalanan ke Vietnam pagi tadi untuk lawatan rasmi negara selama empat hari. KDYMM seri Paduka Baginda berdua dan rombongan berlepas ke Vietnam jam 09:00hrs waktu Thailand melalui penerbangan khas dari Pengkalan Tentera Udara diraja Thailand di Don Mueang.

KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan diraja berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai jam 10:45hrs waktu Vietnam atau jam 11:45hrs waktu Malaysia. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Pejabat Presiden Vietnam, Dao Viet Trung ; Timbalan Menteri Luar Vietnam, Nguyen Phuong Nga ;  Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Azmil Mohd Zabidi dan Duta Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thoa. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua turut menerima penghormatan daripada pasukn kawalan kehormat terdiri daripada 24 anggota Angkatan Tentera Vietnam. Menteri Pengiring bagi lawatan negara ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sumber :- Bernama

Gambar Perkahwinan Tengku Mariah binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah

(Sila click gambar untuk imej yang lebih besar

05 September 2013, Khamis :-

Syah hendak berkongsi dengan anda semua gambar perkahwinan salah seorang puteri kepada Sultan Terengganu ke-13, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III.  Gambar ini diambil pada tahun 1943 sewaktu penaklukan Jepun di Tanah Melayu diera pemerintahan Al-Marhum Sultan Ali atau Tengku Ali ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan salah seorang Sultan Melayu yang dinafikan kedudukannya sebagai Sultan setelah British mengusai semula Tanah Melayu selepas perang dunia kedua.  Almarhum Tengku Ali digantikan oleh Ayahanda Saudaranya , Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu yang baru. Almarhum Sultan Ismail merupakan Nenda kepada Tuanku Mizan, Sultan Terengganu sekarang dan juga merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-4 yang memerintah pada 21 September 1965 hingga 20 September 1970.


Pengantin diraja adalah Yang Amat Mulia Tengku Mariah binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkahwin dengan Yang Mulia Tengku Ismail bin Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad  ibni Sultan Ahmad 1 (Sultan Pahang). Merujuk kepada gambar diatas dari kiri sekali adalah :-
  1. YAM Tengku Azizah bt Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  2. YM Tengku Azizah bt Tengku Muda Ahmad Al-Haji
  3. YM Tengku Dalam Kalthum bt Tengku Wook Khazaki
  4. YM Tengku Hindun bt Tengku Puteh Abdullah
  5. YAM Tengku Kesokma Puri Tengku Wok Aminah bt Sultan Zainal Abidin III
  6. YAM Tengku Wook Artikah bt Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah 
  7. DYMM Tengku Ampuan Besar Tengku Ainon Jamal binti Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang)  yang merupakan permaisuri kepada Sultan Ali.  Beliau adalah adik beradik satu ibu kepada Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang sekarang. Beliau dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu bermula 25 September 1942 - 16 Disember 1945.  Beliau kemudiannya berpisah dengan Sultan Ali selepas baginda diturunkan dari tahta. Setelah berpisah beliau kembali semula ke Istana Pahang dan kemudiannya berkahwin lain.  Hasil perkongsian hidup dengan Sultan Ali, beliau telah dikurniakan dengan tiga orang cahayamata iaitu Tengku Besar Asiah, Tengku Dato' Azam Khadijah dan Tengku Dato' Iskandar Abu Bakar. Di Pahang beliau dikenali sebagai Yang Amat Mulia Tengku Seri Nila Utama Pahang Tengku Ainol Jamal.  YAM mangkat pada 12.01.2012 jam 05:30hrs di Hospital Tengku Ampuan Afzan dalam usia 84 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Pekan, Pahang.  Al-Fatihan ....... Semuga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.
  8. YAM Tengku Nila Puri Tengku Dalam Halimah binti Sultan Zainal Abidin III
Sumber :- Allahyarham Tengku Ismail Su

Tuanku Abdul Halim Dan Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat Malaysia Di Bangkok

KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan Diraja bergambar bersama kakitangan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand. Sila 'Click" gambar untuk imej yang lebih besar.

05 September 2013, Khamis :-

Malam semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun yang berada di Bangkok, Thailand untuk lawatan rasmi negara selamatiga hari bermula 02 September lepas telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat Malaysia di Thailand. Majlis diadakan di Kedutaan Malaysia di Bangkok.  Turut serta dalam majlis ini adalah Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain (berkerusi roda).


Sumber :- Bernama

Wednesday, September 4, 2013

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Melawat Pameran "6th Arts of The Kingdom"


04 September 2013, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan melawat pameran "6th Arts of The Kingdom" di Anantha Samakhom Throne Hall. Turut mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan adalah Puteri Maha Chakri Srindhorn. KDYMM Tuanku Hajah Haminah kemudiannya bersama-sama Puteri Maha Chakri Srindhorn berangkat melakukan lawatan ke Thai Red Cross Children Home.

Sumber :- Bernama

Sultan Brunei Ke Rusia Menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20


04 September 2013, Rabu :-

Malam tadi  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berangkat ke Saint Petersburg, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20. Baginda merupakan tetamu khas di Sidang Kemuncak berkenaan dan juga sebagai Pengerusi ASEAN 2013. Turut mengiringi baginda adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.  Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 akan berlangsung selama dua hari bermula 05 September hingga 06 September 2013.

Sebelum menuju ke Hanger Penerbangan KDYMM di Kampung Rimba, doa selamat telah dibacakan di Istana Nurul Iman oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Turut mengucapkan selamat jalan kepada baginda di Hanger Penerbangan KDYMM adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah,  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta kerabat diraja Brunei.

Sumber :- Pelita Brunei / Jabatan Penerangan Brunei

Raja Perlis Hadiri Majlis Hari Raya ATM dan PDRM

04 September 2013, Rabu :-

Malam tadi Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid telah berkenan menghadiri Majlis Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang diadakan di Mes Pegawai Kanan PDRM Ibu Pejabat Polis Kontijen Perlis di kangar. Turut berangkat mengiringi baginda adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Sumber :- Bernama

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Santapan Negara Di Chakri Maha Prasad Throne Room, Grand Palace, Bangkok


04 September 2013, Rabu :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah diraikan oleh Putera Mahkota Thailand, Putera Maha Vajiralongkorn dalam satu Majlis Santapan Negara di Chakri Maha Prasad Throne Room, Grand Palace sempena lawatan rasmi Negara Tuanku Abdul Halim ke Thailand selama tiga hari bermula 02 September 2013 lepas. Dalam majlis santapan ini juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan menyaksikan persembahan diraja yang berlangsung di perkarangan Grand Palace. Majlis santapan ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra serta suami, Anuson Amornchat.

Sumber :- Bernama 

Tuesday, September 3, 2013

Almarhumah Sultanah Ungku Maimunah

03 September 2013, Selasa :- 

Ini adalah potrait Almarhumah Sultanah Ungku Maimunah binti Ungku Abdul Majid yang merupakan isteri pertama Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor kedua Era Moden (1895-1959) dan juga merupakan bonda kepada Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor ketiga Era Moden (1959-1981).  Dilahirkan pada 15 November 1876 dan merupakan puteri kepada Ungku Abdul Majid bin Dato' Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim dari isteri keduanya yang berbangsa cina dari Singapura iaitu Amina binti Abdullah. Amina merupakan adik kepada Sultanah Fatimah yang merupakan salah seorang isteri Almarhum Sultan Abu Bakar. 

Almarhumah berkahwin dengan Sultan Ibrahim pada 05 Oktober 1892 ketika berusia dalam lingkungan 16 tahun di Istana Tyersall, Tangling, Singapura. Hasil daripada perkahwinan ini Almarhumah dikurniakan seorang putera.  Almarhumah mangkat pada 02 November 1909 dalam usia 33 tahun di Istana Pasir Pelangi yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor sekarang.  Jenazah Almarhumah telah dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Baharu, Johor. Almarhumah dikurniakan gelaran Tunku Ampuan Besar pada 21 September 1893 dan kemudiannya menggunakan gelaran Sultanah pada 02 November 1895 apabila paduka suami baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor.

Al-Fatihah ......... Semuga rohnya Almarhumah Sultanah Ungku Maimunah binti Ungku Abdul Majid ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Kesultanan Johor / The Royalark / Radin

Monday, September 2, 2013

Tuanku Mizan Rasmikan Komplek Haji dan TH Hotel Kuala Terengganu

02 September 2013, Isnin :-

Hari ini Sultan Terengganu, KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan Komplek Haji dan TH Hotel Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu.  Komplek dan hotel yang dibina dengan kos RM77.6 juta ini dibina dalam kawasan seluar 3.08 hektar dan bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke tanah suci dengan 1,400 bakal haji yang akan tiba  tidak lama lagi. Turut serta dalam majlis ini adalah KDYMM Sultanah Nur Zahirah dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Datuk Abdul Aziz dalm kenyataannya memaklumkan bahawa adalah penting bagi komplek dan hotel Tabung  Haji terletak berhampiran lapangan terbang bagi memudahkan proses melapor diri, pendaftaran, pemeriksaan bagasi dan urusan imigresen bakal-bakal haji. Setakat ini Lembaga Tabung Haji mempunyai lima komplek yang terletak di Kelana Jaya, Selangor ; Bayan Lepas,Pulau Pinang ; Kota Kinabalu, Sabah ; KualaTerengganu, Terengganu dan Alor Setar, Kedah.

Sumber :- Bernama

Yand di-Pertuan Agong Dan Raja Permaisuri Agong Dikurniakan Darjah Kebesaran Thailand


02 September 2013, Isnin :-

Sembah tahniah diucapkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah kerana telah dikurniakan pingat kebesaran "The Knight of the Most Ilustrious Order of the Royal House of Chakri (Thailand)" sempena lawatan rasmi baginda ke Thailand yang bermula hari ini. Anugerah ini disampaikan oleh Putera Mahkota Thailand, Putera Maha Vajiralongkorn di Istana Klai Kangwon di Hua Hin, Bangkok.  Dalam masa yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun juga telah dikurniakan darjah kebesaran Thailand "Knight Grand Cross (First Class) of the Most Ilustrious Order of the Chula Chom Kalo (Thailand)".



Sumber :- Bernama

Tuanku Abdul Halim dan Rombongan Diraja Selamat Tiba Di Bangkok


02 September 2013 :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun serta rombongan diraja Malaysia telah selamat sampai di Pengkalan Tentera Udara Diraja Thailand tengahari tadi. Keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan rombongan diraja disambut oleh Putera Mahkota Thailand, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.

Kelihatan Tuanku Abdul Halim diiringi oleh Putera Mahkota Thailand sedang memeriksa barisan kawalan keselamatan sempena lawatan rasmi baginda selama tiga hari ke Thailand.

Sumber :- Bernama

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Berkunjung ke Bangkok


02 September 2013, Isnin :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun serta rombongan telah berangkat ke Bangkok, Thailand untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula hari ini.  KDYMM Tuanku Abdul Halim telah berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat Utama sebelum berangkat menaiki pesawat melalui Komplek Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA.

Turut mengucapkan selamat jalan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda berdua adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman. Lawatan kali ini merupakan lawatan rasmi kali ketiga baginda ke negara Asean semenjak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April 2012. Pada tahun lepas baginda melakukan lawatan rasmi negara ke Indonesia dan Brunei.

Syah doakan agar KDYMM Seri Paduka Baginda Berdua  dan rombongan selamat berangkat ke Bangkok dan sentiasa dilindungi Allah hendaknya serta dipermudahkan segala urusan.  Amin

Sumber :- Bernama / Borneo Post 

Saturday, August 31, 2013

Tak Dapat Update Blog

31 Ogos 2013, Sabtu :-


Salam dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 tahun kepada negara kita tercinta Malaysia dengan harapan semuga kita semua menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi dan memantapkan lagi hubungan diantara kaum dinegara  kita kerana "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" terutamanya kepada bangsa kita sendiri bak kata Laksama Hang Tuah "Takkan Melayu Hilang Didunia". Hari ini dan esok Syah tak dapat hendak update blog kerana Syah akan menghabiskan waktu bersama Ayahanda dan Bonda Tiri Syah yang berada di Kuala Lumpur semenjak minggu kedua Aidilfitri lagi. Cuma entry dibawah sahaja yang bertajuk "Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 Malaysia" yang Syah sempat hidangkan kepada anda semua buat hari ini.


Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Jutaan terima kasih diatas segala sokongan yang anda berikan kepada tengkusyah.blogspot.com. 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 Malaysia


Laungan "MERDEKA" sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj disambut oleh rakyat jelata di Stadium Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tarikh keramat ini telah memansuhkan kekuasan British dan mengwujudkan satu perlembagaan baru bagi negara kita yang tercinta.

31 Ogos 2013, Sabtu :-

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 Tahun kepada Negara Yang Tercinta, Malaysia. Terima kasih diucapkan kepada semua pemimpin-peminpin negara kita yang telah bertungkus lumus berusaha tanpa mengira bangsa dan agama untuk mencapai kemerdekaan tanahair pada 31 Ogos 1957 terutamanya kepada BAPA KEMERDEKAAN MALAYSIA Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Al-Fatihah ................ Semuga Rohnya Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.


Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 bersama-sama Raja-Raja Melayu dan Rakyat Jelata sewaktu Pengistiharaan Kemerdekaan Tanah Melayu.

Friday, August 30, 2013

Terima Balasan Kad Hari Raya Aidilfitri 2013 Daripada Al-Sultan Kelantan

30 Ogos 2013, Jumaat :-

Hari ini Syah menerima balasan kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada Al-Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.  Kad baginda pada tahun ini berlatar belakangkan istana-istana diraja Kelantan seperti Istana Negeri, Kubang Kerian ; Istana Telipot, Kota Baharu ; Istana Balai Besar, Kota Baharu ; Istana Kota Lama, Kota Baharu ; Istana Jahar, Kota Baharu dan Istana Batu, Kota Baharu. Dibahagian hadapan kad baginda yang bewarna kuning diletakkan Jata Yang Maha Mulia Sultan Kelantan bewarna merah keemasan. 





Thursday, August 29, 2013

Raja Soid Moizuki bin Raja Jaafar Mangkat

29 Ogos 2013, Khamis :-

Inna lillah wa inna ilaihi rojiun. Dukacita dimaklumkan bahawa seorang kerabat diraja Perak, Raja Soid Moizuki bin Raja Jaafar yang merupakan generasi ke-3 Almarhum Sultan Abdullah telah kembali ke rahmatullah pada jam 15:00hrs  semalam akibat kemalangan jalanraya di Kedah. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan pada hari ini jam 11:00hrs  di Kuala Nerang, Kedah dan bukannya di Makam Diraja Al-Ghufran, Kuala Kangsar atas permintaan balu Allahyarham.  

Sultan Abdullah Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’adzam Shah merupakan Sultan Sultan Perak ke-26 yang dibuang negeri oleh British ke Pulau Seychelles pada 21 Julai 1877 ekoran peristiwa pembunuhan Residen British, J.W.W. Birch pada 1875.  Baginda mangkat pada 1922 di Kuala Kangsar dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan yang kini dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran.

Af-Fatihah ………

Semuga Rohnya Allahyarham Raja Soid Moizuki bin Raja Jaafar dan Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’adzam Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.

Sumber :- Tengku Soraya / Ku Yam/ Ku Jannah