Allahyarham Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd
05 Mac 2014, Rabu :-
Al-Fatihah ..........
Seorang anggota Polis Diraja Malaysia, Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah meninggal dunia semalam sewaktu menjalankan tugas bersama salah seorang rakannya Koperal Mohd. Aidil Mustafa. Kejadian berlaku pada pagi 04 Mac 2014, jam 04:30hrs ketika Allahyarham dan rakannya melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D. Hasil daripada pemeriksaan didapati mereka tidak mempunyai dokumen yang sah dan ditahan untuk siasatan. Lokasi kejadian merupakan kawasan penempatan yang dihuni kebanyakannya oleh warga asing.
Ketika hendak menahan kesemua suspek, dua suspek lelaki yang bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil dari arah belakang. Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota anggota Polis tetapi lebih malang lagi perut Allahyarham Raja Aizam telah dilibas dengan pisau rambo menyebabkan Allahyarham rebah. Salah seorang suspek telah merampas pistol Alahyarham Raja Aizam yang telah rebah dan tersungkur kedalam longkang dan cuba mengacukan pistol berkenaan kepada Koperal Mohd. Aidil.
Disebabkan suspek berkenaan tidak tahu menggunakan pistol, Koperal Mohd. Aidil telah mengambil kesempatan itu untuk merampas pistol berkenaan dan melepaskan tembakan menyebabkan kedua-dua suspek mati ditempat kejadian. Koperal Mohd. Aidil kemudiannya mengacukan pistol berkenaan kearah empat suspek yang lain sehingga bantuan tiba. Allahyarham Raja Aizam yang berusia 54 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala Koperal Mohd. Aidil yang berusia 29 tahun dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR kerana cedera parah. Keadaan Koperal Mohd. Aidil dilaporkan beransur pulih.
Allahyarham Raja Aizam meninggalkan seorang isteri, Norsalmah Nordin (50an) dan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang prempuan yang berusia diantara 17 hingga 25 tahun. Allahyarham Raja Aizam telah bertugas dengan pasukan Polis Diraja Malaysia selama 30 tahun. Jenazah Allahyarham Raja Aizam telah disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampong Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi. Allahyarham Raja Aizam merupakan bapa saudara kepada pelakon Delima Ismail yang memegang watak sebagai Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Empat pendatang asing tanpa izin, satu lelaki dan tiga perempuan yang berusia diantara 24 hingga 43 tahun telah ditahan dalam satu operasi khas yang ditubuhkan oleh pihak polis sejurus insiden berkenaan berlaku. Tiga wanita berkenaan merupakan suspek yang melarikan diri dari lokasi pembunuhan. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Al-Fatihah ............
Semuga Rohnya Allahyarham Raja Aizam bin Raja Mohd ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Raja Aizam semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.
Sumber :- Kosmo/Berita Harian.
No comments:
Post a Comment