Saturday, March 8, 2014

Ulangtahun Ke-11 Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor Ke- IX


Duli Yang  Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

08 Mac 2014, Sabtu :-

Sembah ucap tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan sempena ulangtahun ke-11 Pertabalan dan Kemahkotaan baginda sebagai Sultan Selangor ke-IX pada 08 Mac 2003.  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyatakan bahawa Sultan yang baru hendaklah ditabalkan menjadi Sultan dalam tempoh empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau dengan persetujuan Dewan di-Raja dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. Sekiranya telah tamat tempoh yang dinyatakan dan Sultan belum ditabalkan maka Baginda disifatkan sebagai turun tahta dan melepaskan segala hak-hak Baginda sebagai Sultan. Secara ringkasnya Syah ingin berkongsi dengan anda semua mengenai Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan baginda.


Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj yang ketika itu merupakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-11 pada 21 November 2001 di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur akibat masalah jantung, Dewan di-Raja Selangor telah bersidang pada malam 21 November 2001 jam 20:30hrs untuk menentukan perlantikan Sultan Selangor yang baru. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Selangor telah mengesahkan perlantikan DYTM Tengku Idris Shah yang ketika itu merupakan Raja Muda Selangor sebagai Sultan Selangor yang baru dan baginda telah berkenaan menerima perlantikan tersebut  dengan menandatangani watikah perlantikan.

Istiadat Pemasyhuran :- 

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Idris Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor pada 22 November 2001 pada jam 15:00hrs dengan penuh adat istiadat diraja negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Dalam istiadat ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor atas persetujuan Dewan di-Raja dengan rasminya memasyhurkan baginda sebagai Sultan Selangor ke-XI dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah.  Dalam istiadat ini, DYMM Tuanku Sharafuddin telah mengucup keris pusaka turun temurun Kesultanan Selangor yang dikenali sebagai Keris Panjang Beruk Berayun sebagai lambang Raja Berdaulat dan kemudiannya diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh para hadirin.  DYMM Tuanku kemudiannya menyentuh keranda Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai simbolik tanda perkenan dan restu agar Istiadat Permakaman boleh disempurnakan di Makam Diraja.

Istiadat Letak Kerja :

Istiadat Letak Kerja sempena Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Sultan Selangor ke-IX bermula pada hari Khamis 06 Mac 2003 bersamaan 03 Muharam 1424 bermula jam 08:30hrs di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang. Mengikut adat istiadat diraja, sebelum sesuatu istiadat penting dilaksanakan Istiadat Letak Kerja perlu dizahirkan sebagai tanda permuafakatan diantara semua pihak yang terlibat terutamanya diantara pihak Istana dan Kerajaan Negeri.



Istidat Bersiram Tabal :

Istiadat Bersiram Tabal diadakan pada hari Jumaat, 07 Mac 2003 bersamaan 04 Muharam 1424 di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.  Istiadat bermula seawal jam 15:30hrs.

Istiadat Ini merupakan istiadat penting dalam proses Adat Istiadat Pertabalan dan Kemahkotan Sultan Selangor. Bersiram membawa maksud mandi. Ianya merupakan simbolik konsep kesucian dan kebersihan sebagaimana yang dituntut dalam Islam. DYMM Tuanku akan bersemayam diatas pentas khas setinggi tujuh tingkat yang dinamakan Panca Persada.  Air yang digunakan untuk Istiadat Bersiram Tabal ini terdiri daripada air yang diambil dari sumber mata air di sembilan buah daerah dalam negeri Selangor diletakkan didalam tiga buah tempayan dan dicampurkan dengan tujuh jenih bunga dan dinamakan Air Siram Taubat, Air Siram Syukur dan Air Siram Selamat. Ketiga-tiga air berkenaan telah dibacakan doa oleh Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa. Selain daripada itu, peralatan/bahan yang digunakan dalam istiadat ini adalah kemeyan wangi, setangi, keris dan lain-lain.

Nobat juga digunakan dalam istiadat ini.  Diantara lagu yang dimainkan adalah lagu "Bersiram Tabal" dan "Raja Berangkat". Mereka yang terlibat dalam istiadat ini adalah YAM Tengku Panglima Diraja Selangor, YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Diraja Selangor, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor,  Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa, Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Bentara. Bersiram Tabal dilakukan oleh tiga orang iaitu Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Fadhilah Mu'alim Indera Wangsa dan seorang Bentra diatas Panca Persada.



Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan :

Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke-IX berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor pada hari Sabtu, 08  Mac 2003 bersamaan 05 Muharam 1424. Ketibaan dif-dif dan para jemputan bermula seawal jam 09:00hrs.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin memeriksa barisan Kawalan Kehormtan Utama di perkarangan Istana Alam Shah sebelum berangkat masuk ke Balairung Seri untuk Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan.



Keberangkatan masuk DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah selepas melakukan Pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormtan Utama.

Lafaz Perisytiharan Pertabal dibacakan oleh YAM Tengku Panglima Diraja Selangor selaku Ketua Adat Istiadat Diraja. Lafaznya seperti berikut :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Ampun Tuanku, Sebagaimana yang telah diperuntukkan dibawah Fasal 1 Perkara 9 (A) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 berbunyi :-

Sultan hendaklah ditabalkan mengikut adat istiadat Negeri dalam masa empat tahun dari tarikh pengesahan dan proklamasi Baginda sebagai Sultan atau, dengan persetujuan Dewan di-Raja, dalam tempoh sedemekian dan tarikh Baginda mencapai umur genap 21 tahun. 

Oleh yang demekian, sebagai menyempurnakan peruntukan tersebut maka Istiadat Pertabalan dizahirkan pada pagi yang bersejarah ini.



Alat-Alat kebesaran Diraja kemudiannya dibawa masuk ke Balairung Seri seperti Al-Quranul-Karim, Keris Terampang Gabus, Mahkota Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Lafaz ikrar Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikuti paluan Nobat dengan lagu "Istiadat Mengadap". Yang Amat Mulia Tengku Tengku Indera Setia Selangor kemudiannya memulakan Istiadat Menunjung Duli diikuti paluan Nobat dengan lagu "Menjunjung Duli". Setelah Istiadat Menjunjung Duli selesai, Alat-Alat Kebesaran Diraja diletakkan diatas meja khas.



Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja, Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudiannya mempersilakan YAM Tengku Panglima Besar Selangor menyembahkan Al-Quranul-Karim kepada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin. YAM Tengku Besar Putera Selangor kemudiannya menambil tempat untuk menyembahkan Keris Terampang Gabus. Sebelum itu Engku Seri Perdana mengadap mengambil Keris Gading Diraja daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk diletakkan diatas meja khas.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Al-Quranul-Karim  setela menerimanya daripada YAM Tengku Panglima Besar Selangor.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin mengucup Keris Terampang Gabus setelah menerimanya daripada YAM Tengku Besar Putera Selangor.

YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja mempersilakan YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor untuk menyempurnakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan. Kedua-duanya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar. YDM Tengku Seri Paduka Shahbandar kemudiannya mengambil tengkolok DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin dan meletakkannya diatas meja khas. YAM Tengku Bendahara Selangor dan Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudiannya mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin.



Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor kemudianya mengambil mahkota pertabalan daripada YAM Tengku Bendahara Selangor untuk memahkotakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikut paluan Nobat dengan lagu "Nobat Tabal". YDM Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja selaku Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor kemudannya berseru "Daulat Tuanku" diikuti tiupan Nafiri dan disambut oleh para hadirin dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Lagu kebangsaan Negeri Selangor dimainkan diikuti tembakan Meriam sebanyak 21 das.

YAM Tengku Panglima Selangor kemudiannya melafazkaan Bingkisan Doa Restu :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Patik sekelian waris dan kerabat memutuskan untuk menzahirkan Duli Yang Maha Mulialah di atas Tahta Kerajaan Selangor ini dan daerahnya.  Tuankulah yang berdaulat.

YDH Dato' Seri Maharaja Diraja kemudiannya mengambil tempat untuk melafaz dan mengingatkan pesanan Pepatah Orang-Orang Tua :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

Bermula bahawa bapa kepada Raja itu
adalah Syariat Allah dan RasylNya Sallallahu Alaihi Wasallam
dan Ibu Raja itu
adalah adat dan kanun.
Manakala Saudara bagi Raja pula
aalah sekalian Menteri Besar dan menteri-menteri kecilnya.

Adapun yang dikatakan anak bagi Raja itu pula,
adalah sekelian rakyat jelata dan bala tenteranya.
Seorang Raja itu tiada baginya bapa, ibu atau anak
melainkan baginya sekelian rakyat jelata.

Seorang Raja itu tidak mengutamakan kepentingan yang lain, 
melainkan kepentingan rakyatnya juga.

Maka ketahuailah,
bahawa sekiranya seseorang Raja itu tidak mentaati Syariat Allah  dan RasulNya
Memegang adat dan kanun,
tidak sempurnalah 
Pemerintahan dan kerajaannya.

Ampun Tuanku.



DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya melafazkan Lafaz Ikrar :-

Bismillahir Rahmanir Rahim

"Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya dengan mengikut sebagaimana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan undang-undang yang telah dan akan disah dan dimasyhurkan dari masa ke semasa.

Dan seterusnya Beta dengan sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan memelihara keamanan di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan dan segala daerah takluknya.

Dan lagi Beta sesunguhnya berikrar dan dengan sebenarnya mengaku akan menunaikan kewajipan-kewajipan Beta, sebagai Sultan Selangor, dengan penuh iltizam, jujur dan dengan segala daya upaya Beta demi kesejahteraan rakyat jelata yang kita kasihi.

Kepada Allah Beta Berserah.



Setelah selesai bacaan Ikrar, YAB Menteri Besar Selangor mengambil tempat untuk menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan bagi pihak seluruh rakyat. Setelah selesai ucapan YAB Menteri Besar Selangor,  Istiadat Merenjis Air Mawar dimulakan dengan didahului oleh YAM Tengku Aris Temenggong , YAM Tengku Bendahara Selangor dan YMM Tengku Ampuan Bariah. Setelah selesai Istiadat Merenjis, Sahibus Samahah Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor diapit oleh Sahibus Fadhilah Mualim Indera Wangsa dan Al-Fadhil Imam Paduka Tuan mengambil tempat untuk membaca doa menandakan Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan DYMM Sultan Selangor ke-IX telah disempunakan.

Setelah bacaan doa selesai, YAM Tengku Panglima Besar Selangor mengadap untuk mengambil Al-Quranul-Karim daripada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diikuti YDM Engku Seri Perdana mengadap DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin untuk mengambil Keris Panjang Beruk Berayun. DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin kemudiannya berangkat keluar dari Balairung Seri diiringi paluan Naubat "Raja Berangkat".  

Keberangkatan pulang DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin didahului oleh :-
  1. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor  
  2. Pembawa Sembuana
  3. Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana membawa Keris Panjang Beruk Berayun
  4. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor membawa  Al-Quranul-Karim
  5. Panglima Perang Kanan Aman Diraja dan Panglima Perang Kiri Sedia Diraja 
DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin diringi oleh:-

  1. Yang Mulia Anak Raja Berempat
  2. Juruiring Polis dan Tentera
  3. Yang Dimuliakan Tengku Seri Paduka Shahbandar yang membawa tegkolok DYMM Sultan Slangor dan Yang Dimuliakan Engku Maharaja Lela Setia Paduka membawa Keris Gading Diraja
  4. Yang Dimuliakan Engku Maha Kurnia Bijaya Seri Amar Diraja , Penghulu Adat Istiadat Diraja Selangor dan Yang Dimuliakan Tengku Setia. 


Sumber :- Pertabalan dan Kemahkotaan : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Ke-IX

Friday, March 7, 2014

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-28 Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang


07 Mac 2014, Jumaat :- 


Semalam 06 Mac 2014 genaplah sudah 28 tahun perkahwinan diantara Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar. Pasangan diraja ini diijab kabulkan di Istana Bukit Serene, Johor Baharu, Johor pada 06 Mac 1986. Hasil daripada  perkahwinan ini Kebawah Duli Yang Teramat Mulia dikurniakan dengan enam orang cahaya mata, empat putera dan dua puteri.  Walau bagaimanapun Putera Sulong Kebawah Duli Yang Teramat Mulia telah mangkat ketika diputerakan pada 24 Julai 1990 dan diberi nama Tengku Ahmad Iskandar Shah.

Syah doakan agar Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang dipanjangkan jodoh hingga ke akhir hayat.  Syah juga mendoakan agar Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang yang kini berehat di London selepas menjalani pembedahan Tairod di Geneva, Switzerland pada Januari lepas agar cepat sembuh.

Thursday, March 6, 2014

Sultan Brunei Hadiri Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara

06 Mac 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kesepuluh Majlis Mesyuarat Negara. Majlis berlangsung di Dewan Majlis-Majlis Mesyuarat, Bandar Seri Begawan. 

Turut serta berangkat dalam majlis ini adalah  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Wednesday, March 5, 2014

Raja Nazrin Hadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Penajaan Sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah

05 Mac 2013, Rabu :-

Hari ini  Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan menghadiri majlis penyampaian sumbangan penajaan sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah. Majlis diadakan di Kuala Lumpur.  Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah akan berlangsung selama 10 hari mulai 13 hingga 23 Mac 2014 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, Perak. Dalam majlis ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Datuk Abd Rahim Md Arif menyerahkan cenderamata berupa potrait Sultan Azlan Shah yang juga merupakan Presiden Hoki Asia kepada Tuanku Dr. Raja Nazrin.

Sumber :- Bernama

Koperal Raja Aizam Raja Mohd Meninggal Dunia

Allahyarham Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd

05 Mac 2014, Rabu :-

Al-Fatihah .......... 

Seorang anggota Polis Diraja Malaysia, Koperal Raja Aizam bin Raja Mohd dari Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah meninggal dunia semalam sewaktu menjalankan tugas bersama salah seorang rakannya Koperal Mohd. Aidil Mustafa.  Kejadian berlaku pada pagi 04 Mac 2014, jam 04:30hrs  ketika Allahyarham dan rakannya melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Sentosa, Klang, Selangor. Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil terserempak dengan sekumpulan enam warga asing termasuk tiga wanita di Lorong Yusuf Shahbudin 44D. Hasil daripada pemeriksaan didapati mereka tidak mempunyai dokumen yang sah dan ditahan untuk siasatan. Lokasi kejadian merupakan kawasan penempatan yang dihuni kebanyakannya oleh warga asing.

Ketika hendak menahan kesemua suspek, dua suspek lelaki yang bersenjatakan pisau rambo dan parang menyerang Allahyarham Raja Aizam dan Koperal Mohd. Aidil dari arah belakang. Serangan itu mengenai belakang kepala, tangan dan muka kedua-dua anggota anggota Polis tetapi lebih malang lagi perut Allahyarham Raja Aizam telah dilibas dengan pisau rambo menyebabkan Allahyarham rebah.  Salah seorang suspek telah merampas pistol Alahyarham Raja Aizam yang telah rebah dan tersungkur kedalam longkang dan cuba mengacukan pistol berkenaan kepada Koperal Mohd. Aidil.  

Disebabkan suspek berkenaan tidak tahu menggunakan pistol, Koperal Mohd. Aidil telah mengambil kesempatan itu untuk merampas pistol berkenaan dan melepaskan tembakan menyebabkan kedua-dua suspek mati ditempat kejadian.  Koperal Mohd. Aidil kemudiannya mengacukan pistol berkenaan kearah empat suspek yang lain sehingga bantuan tiba. Allahyarham Raja Aizam yang berusia 54 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang manakala Koperal Mohd. Aidil yang berusia 29 tahun dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR kerana cedera parah. Keadaan Koperal Mohd. Aidil dilaporkan beransur pulih.

Allahyarham Raja Aizam meninggalkan seorang isteri, Norsalmah Nordin (50an) dan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang prempuan yang berusia diantara 17 hingga 25 tahun. Allahyarham Raja Aizam telah bertugas dengan pasukan Polis Diraja Malaysia selama 30 tahun.  Jenazah Allahyarham Raja Aizam telah disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampong Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi. Allahyarham Raja Aizam merupakan bapa saudara kepada pelakon Delima Ismail yang memegang watak sebagai Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Empat pendatang asing tanpa izin, satu lelaki dan tiga perempuan yang berusia diantara 24 hingga 43 tahun telah ditahan dalam satu operasi khas yang ditubuhkan oleh pihak polis sejurus insiden berkenaan berlaku. Tiga wanita berkenaan merupakan  suspek yang melarikan diri dari lokasi pembunuhan. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Al-Fatihah ............
Semuga Rohnya Allahyarham Raja Aizam bin Raja Mohd ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Raja Aizam semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini. 

Sumber :-  Kosmo/Berita Harian.

Sunday, March 2, 2014

Jambatan Kedua Pulau Pinang Dinamakan Sempena Nama Tuanku Abdul Halim


03 Mac 2014,  Ahad :-

Jambatan Kedua Pulau Pinang telah diberi nama Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena mengambil nama Yang di-Pertuan Agong XIV, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Jambatan yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung dibahagian Pulau ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 01 Mac 2013.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dibina pada 2008 dengan kos RM4.5 billion. Panjang keseluruhan jambatan ini adalah 24 kilometer menjadikanya sebagai jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga di dunia dimana 17 kilometer berada diatas air manakala 7 kilometer diatas darat. Jambatan ini menyediakan laluan dua lorong berkelebaran 3.5 meter selorong, lorong kecemasan berkeluasan 2.4 meter dan lorong khas motosikal berkeluasan 3.0 meter.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mampu menampung kegunaan 100,00 kenderaan sehari.  Jambatan ini merupakan mercu tanda baharu bagi Malaysia yang menjadi kebangaan rakyat. Pembinaan jambatan ini dijangka  akan memangkinkan pertumbuhan lebih rancak dikawasan setempat, mengurangkan kesesakan lalulintas dan membuka peluang pekerjaan.

Sebagai penghargaan kepada Rakyat, Perdana Menteri mengumumkan jambatan ini dibuka secara percuma selama sebulan. Kadar bayaran tol belum ditentukan lagi tetapi dianggarkan kurang dari RM10.00.  Plaza tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah merupakan plaza tol tebesar di Malaysia dengan menyediakan 26 kiosk pembayaran. 

Sumber :- Berita Harian / Bernama

Sultan Brunei Hadiri Regata Brunei Darussalam 2014

02 Mac 2013, Ahad :-


Temasya sukan air Regata Brunei Darussalam 2014 berjalan lancar hari ini di Dermaga Diraja, Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam. Acara bermula seawal jam 06:00hrs dan berakhir lewat petang sekitar jam 18:00hrs. Pada tahun ini sebanyak 1,360 bot lumba mengambil bahagian dalam acara tahunan ini termasuk 275 bot lumba antarabangsa. Seperti tahun-tahun sebelumnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah berkenan mencemar duli berangkat ke Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan  bagi menghadiri acara-acara kemuncak dan acara khas Regata Brunei Darussalam  pada sebelah petang.  KDYMM Tuanku Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah berkenan mencemar duli menyertai pertandingan Lumba Perahu Khas dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan Regata Brunei Darussalam 2014 .


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / BruDirect.com

Saturday, March 1, 2014

Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7


Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib bin Mahmud dan Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dalam Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

03 Mac 2014, Sabtu :- 


Tahniah diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud diatas perlantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7 menggantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng , S.M.N., D.P., S.P.M.P., S.P.D.K., D.U.P.N., D.U.N.M., P.C.D. yang telah menamatkan perkhidmatannya semalam. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dilantik buat pertama kalinya sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak pada 02 April 1977 hingga 01 April 1991. TYT kemudiannya dilantik semula untuk kali kedua pada 05 Disember 2000 untuk tempoh 4 tahun dan bermula tahun 2000, tempoh lantikan TYT disambung semula sehingga 2014 seperti berikut :-

  1. Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 05 April 1977 hingga 01 April 1981
  2. Dilantik semula pada 05 Disember 2000 selama tempoh 4 tahun;
  3. Dilantik semula pada 05 Disember 2004 selama tempoh 2 tahun;
  4. Dilantik semula pada 05 Disember 2006 selama tempoh 2 tahun;
  5. Dilantik semula pada 05 Disember 2008 selama tempoh 1 tahun;
  6. Dilantik semula pada 05 Disember 2009 selama tempoh 2 tahun;
  7. Dilantik semula pada 05 Disember 2011 selama tempoh 2 tahun; dan
  8. Dilantik semula pada 05 Disember 2013 sehingga 28 Februari 2014
Pagi tadi telah diadakan Istiadat Menandatangani Watikah Perlantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri, Kuching, Sarawak.  Istiadat bermula jam 11:00hrs dimana Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membacakan watikah perlantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selepas menandatangani watikah perlantikan, TYT Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah jawatan dihadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. 

TYT Tan Sri Abdul Taib Mahmud dilahirkan pada 21 Mei 1936 dan merupakan anak sulong daripada 10 adik beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub. TYT sebelum ini merupakan Ketua Menteri Sarawak ke-4 dan dilantik ke jawatan berkenaan mulai 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub. Setelah hampir 33 tahun memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak akhirnya TYT meletakkan jawatan pada Februari lepas. TYT pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di Universiti Adlaide. 

TYT menceburi bidang politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966. Selepas memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1970, TYT dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Pos dan Komunikasi (1970), Menteri Perusahaan Utama (1972), Menteri Pertahanan (1978), Pemangku Menteri Luar (1979) dan Menteri Wilayah Persekutuan (1980). TYT meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuaan pada 09 Mac 1981 kerana bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sebandi. TYT memenangi kerusi berkenaan tanpa bertanding dan dilantik pula sebagai Menteri Tanah dan Perlombongan negeri sehinggalah dilantik sebagai Ketua Negeri pada 26 Mac 1981.


TYT berkahwin sebanyak dua kali. Isteri pertama TYT, Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib merupakan seorang wanita keturunan Poland telah meninggal dunia setelah hidup bersama selama 50 tahun pada 29 April 2009 akibat kanser.  Hasil perkahwinan ini, TYT dikurniakan dua putera dan dua puteri serta 15 orang cucu. Pada 18 Disember 2010, TYT berkahwin sekali lagi dalam usia 74 tahun dengan Puan Sri Ragard Kurdi Taib yang merupakan seorang wanita Lubnan berusia 28 tahun ketika itu. Perkahwinan kali kedua ini belum dikurniakan lagi sebarang cahayamata.


Al-Fatihah ........ Allahyarhamah Puan Sri Laila Taib

Sumber :- Bernama / Wikpedia / Pej Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu / PERKIM

Wednesday, February 26, 2014

Sultan Brunei Menerima Mengadap Earl of Cranbrook


26 Februari 2014, Selasa :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Gathorne Gathne-Hardy, The 5th Earl of Cranbrook di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Untuk mengetahui apa itu Earl of Cranbrook sila click Earl of Cranbrook

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / Wikipedia

Sunday, February 23, 2014

Flor de la Mar Tengelam Bersama Khazanah Kesultan Melaka Akan Diapungkan


23 Februari 2014, Ahad :-

Ini adalah gambaran Kapal Flor de la Mar atau Flor do Mar dan jika diterjemahkan membawa maksud Si Kuntum Laut yang dikatakan membawa lari harta Kesultanan Melaka untuk dipersembahkan kepada  Raja Portugis, King Manuel I atas arahan Laksamana Afonso de Albuquerque selepas kejatuhan Melaka ketangan Portugis pada 1511. Kapal ini jugalah digunakan oleh Laksamana Afonso de Albuquerque untuk menawan Goa dan seterusnya Melaka. Apabila kapal ini keluar dari perairan Melaka menuju Goa tanpa diduga telah berlaku ribut kencang dan laut bergelora menyebabkan kerosakan teruk kepada kapal ini lalu tengelam bersama-sama harta rampasan dan anak-anak kapal. 

Kejadian ini dikatakan berlaku pada malam 20 November 1511 di perairan Sumetera Timur di Selat Melaka berdekatan Negeri Pasai.  Diantara khazanah yang dibawa didalam kapal ini adalah 22 peti wang emas dan perak, dua patung monyet emas bertatah batu permata yang dihadiahkan oleh kerajaan Siam kepada Melaka, tembikar, pelbagai manuskrip dan lain-lain khazanah berharga. Walaupun kapal ini tengelam kedasar laut dan mengorbankan banyak nyawa tetapi Laksmana Afonso de Albuquerque terselamat dalam trajedi ini.

Setelah lima kurun Tengelam di Selat Melaka, baru-baru ini Pengerusi Jawatan Kuasa Penyelaras dan Penyelidikan bagi mengetuai eksplorasi untuk mencari harta karun Flor de la Mar, Tan Sri Rahim Tamby Chick dalam kenyataannya memaklumkan Projek Pengapungan Flor de la Mar akan menelan belanja USD30 Juta atau RM98.7 Juta. Lokasi kapal berkenaan telah dikenalpasti dan kos berkenaan akan ditanggung secara bersama diantara Malaysia, Indonesia dan Portugal. Menurut beliau lagi perkara ini telah diusulkan kepada Perdana Menteri. 

Beliau percaya dengan kerjasama diantara tiga negara ini akan dapat mengapungkan kapal Flor de la Mar dan secara tidak langsung mengembalikan warisan dan keunggulan empayar Kesultanan Melaka. Tan Sri Rahim juga merupakan bekas Menteri Besar Melaka memaklumkan bahawa harta didalam kapal berkenaan dipercayai masih lagi tidak terusik dan dianggarkan bernilai USD2 Billion atau RM6.58 Billion.

Sumber :- Kosmo/Wikipedia

Saturday, February 22, 2014

Karpal Singh Didapati Bersalah Atas Tuduhan Mengeluarkan Kata-Kata Berbaur Hasutan Terhadap Sultan Perak Darul Ridzuan

22 Februari 2014, Sabtu :-

Pengerusi DAP atau Democratic Action Party, Karpal Singh disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi semalam atas tuduhan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan terhadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menetapkan 07 Mac 2014 untuk menjatuhkan hukuman selain mendengar hujah mitigasi tertuduh (Karpal Singh). 

Keslahan itu didakwa dilakukan oleh Karpal Singh dalam satu sidang akhbar di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur antara jam 12:00hrs dan 12:30hrs pada 06 Februari 2009. Dalam sidang akhbar berkenaan,  Karpal Singh didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa penguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan boleh dipersoalkan di mahkamah.

Beliau telah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000.00 atau kedua-duanya. Pada 11 Jun 2010, Karpal Singh dibebaskan oleh mahkamah yang sama tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 bagaimanapun memerintahkan Karpal Singh membela diri atas tuduhan selepas membenarkan rayuan dikemukakan pendakwaan. Karpal Singh yang juga merupakan seorang peguam telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah selain turut memangil seorang sahaja saksi sepanjang perbicaraan bela diri selama tujuh hari.

Sumber :- Kosmo

Wednesday, February 19, 2014

Sultan Brunei Menerima Mengadap Presiden Universiti Al-Azhar


19 Februari 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Professor Dr. Usamah Mohamed bin Mohamed Hassan Elabed, Presiden Universiti Al-Azhar.  Masjli mengadap diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Tuesday, February 18, 2014

Pengiran Muda 'Abdul Malik Hadiri Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Pengiran Muda Mahkota


18 Februari 2014, Selasa :-

Hari ini Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan kekandanya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang ke-40 Tahun anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Majlis diadakan di Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Bagawan.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei 

JPM Adakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Hari Keputeraan Pengiran Muda Mahkota Brunei

18 Februari 2014, Selasa :-

Petang semalam Jabatan Perdana Menteri (JPM)  dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan  Majlis Doa Kesyukuran sempena hari keputeraan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah  bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks JPM. Duli Yang Teramat mulia merupakan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri diputerakan pada 17 Februari 1974 di Istana Darul Hana, Bandar Seri Bagawan, Negara Brunei Darussalam. Acara dimulai dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Maaruf bin Haji Chuchu dan diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.

Sumber :- Pelita Brunei

Monday, February 17, 2014

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Ke-40 DYTM Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sewaktu kanak-kanak.

17 Februari 2014, Isnin :-

Merafak Sembah dan Setinggi-tinggi Tahniah Sempena Hari Keputeraan Ke-40 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah  pada 17 Februari 2014 bersamaan 16 Rabiulakhir 1435H. Semuga Duli Yang Teramat Mulia Dipanjangkan Umur, Dimurahkan Rezeki dan Diprmudahkan Segala Urusan.  Amien.

Duli Yang Teramat Mulia diputerakan pada hari Ahad 24 Muharam 1394 bersamaan 17 Februari 1974 di Istana Darul Hana, Bandar Seri Bagawan pada jam 11:45 hrs. Kelahiran Putera Sulung Sultan Brunei ini disambut dengan tembakan meriam 21 das.  Pada sebelah petangnya diadakan pula Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga di Lapau bagi memulakan Istiadat Berjaga-Jaga mengikut Adat Istiadat Diraja Brunei sebagai tanda kesyukuran kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri selamat melahirkan seorang Putera.

Istiadat Berjaga-Jaga berlangsung selama 14 hari dan pada 14 Mac 1974 pula diadakan Istiadat Penutupan Gendang Jaga-Jaga di Istana Darul Hana diiringi dengan tembakan meriam 21 das serta Majlis Zikir dan Doa Selamat.

Sumber :- Putera Sultan

Saturday, February 15, 2014

Sultan Pun Ikut Arahan Inikan Pula Kita



15 Februari 2014, Sabtu :-


Gambar ini merupakan sebahagian daripada Masjid Biru di Istambul, Turki. Rantai besi ini diletakkan dipintu gerbang Masjid Biru sebagai satu lambang bahawa di sisi Allah semua manusia adalah sama. Sebenarnya rantai ini dipasang untuk menghalang kereta kuda atau kuda yang membawa orang-orang kenamaan pada ketika itu memasuki ruangan halaman masjid dan menggangu aktiviti yang dijalankan termasuklah Sultan Turki sendiri. Sultan Turki tidak pernah murka terhadap pemasangan rantai penghalang ini malah menghormati dan mematuhi arahan ini. Ini adalah satu contoh dan tauladan yang baik untuk di"benchmark" dimana seorang pemimpin itu sendiri mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan tanpa meletakkan dirinya diatas undang-undang. Begitulah juga kita sebagai rakyat seharusnya mematuhi sebarang peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan oleh negara masing-masing.

Sumber :- Kamal Hisham Jaafar II

Wednesday, February 12, 2014

Sultan Brunei Berangkat Ke Singapore Airshow 2014



12 Februari 2014, Rabu :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang kini berada di Singapura untuk lawatan rasmi negara telah berkenan berangkat ke Singapore Airshow 2014 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi, Singapura.

Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Haji Hassanal Bolkiah disambut oleh Dr. Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Republik Singapura.  Baginda dan rombongan kemudiannya dibawa melawat pameran berkenaan.


Tuanku Sultan Haji Hassanal Bolkiah kemudiannya berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Tenghari bersama Dr. Ng Eng Hen. 


Pada sebelah petangnya pula Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Santapan Petang bersama Presiden Republik Singapura, Dr. Tony Tan Keng Yam dan isteri, Madam Mary Chee Bee Kiang.

Sumber : Jabatan Penerangan Brunei

Tuesday, February 11, 2014

Tengku Mahkota Pahang Komen Insiden Angkat Sumpah Menggunakan Al-Quraan T-Team dan Irfan

11 Februari 2014, Selasa :-

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang juga merupakan Timblan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM dalam kenyataan baginda hari ini memaklumkan bahawa majlis angkat sumpah menggunakan Al-Quraan yang dibuat berhubung insiden dalam terowong yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT)  adalah tidak wajar dilakukan kerana mereka yang terlibat seharusnya memberi ruang kepada FAM menjalankan siasatan terlebih dahulu. Komen baginda lagi jangan bermain dengan ayat-ayat suci Al-Quraan.

T-Team mendakwa insiden pemain import mereka, Evaldo Rodrigues ditumbuk didalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 01 Februari 2014 adalah benar dan bukan satu pembohongan. Manakala pemain simpanan T-Team yang juga merupakan anak kelahiran Johor, Muhammad Irfan Abdul Ghani dalam kenyataannya kepada media menyatakan kejadian itu tidak pernah berlaku. Sebagai bukti masing-masing bercakap benar T-Team mengadakan majlis angkat sumpah didepan Al-Quraan disebuah hotel malam tadi di Terengganu manakala Irfan juga melakukan perkara yang sama disebuah restoran petang tadi di Johor.

Teringat Syah sekitar tahun 1980an dulu memang famous dikalangan kanak-kanak bila buat salah jer mereka akan kata "kalau kau berani sumpah Al-Quraan" untuk membuktikan mereka tu betul dan benar, itu budak-budak zaman dulu-dulu, ini apa kes nie? 

Sumber :- Bernama /TV3

Monday, February 10, 2014

Kes Mahkamah Berhubung Kecurian Barang Kemas Puan Hajjah Mariam Sedang Berjalan Di London

10 Februari 2014, Sabtu :-

Bekas isteri Sultan Brunei, Puan Hajjah Mariam binti Haji Abdul Aziz dalam kenyataannya kepada mahkamah di London pada 08 Februari 2014 mengaku ada menjual barang kemasnya bagi membayar hutang judi berjumlah £1 juta tetapi menafikan memberi sebarang arahan kepada Fatimah Lim untuk menjual sebarang barang kemas miliknya kerana sebarang penjualan barang kemas akan dilakukan oleh beliau sendiri. Beliau memberi keterangan berkenaan dalam perbicaraan kes kecurian barang kemas kepunyaan beliau yang dianggarkan bernilai £12 juta atau RM64 juta dan barang berkenaan diganti dengan replika yang tidak berharga oleh Pengawal Peribadi beliau yang merupakan bekas pemain badminton Singapura Fatimah Lim. Sebelum menjadi Pengawal Peribadi beliau merupakan jurulatih badminton kepada Puan Hajjah Mariam. Gambar disebelah merupakan gambar terbaru Puan Hajjah Mariam ketika menghadiri perbicaraan kes ini.

Fatimah menafikan beliau mencuri berlian berkenaan dan mendakwa Puan Hajjah Mariam telah mengarahkan beliau menjual barang kemas berkenaan selepas beberapa kasino di London mengancam untuk menyaman majikannya itu. Beliau juga mendakwa arahan untuk menjual barang kemas berkenaan adalah untuk membayar hutang judi yang tertunggak semenjak 20 bulan yang dibuat oleh majikannya itu. Perbicaraan diadakan di Isleworth Crown Court, London.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Puan Hajjah Mariam memujuk Fatimah Lim untuk berjudi dan memberi cip judi bernilai £1,500 pada satu-satu masa.  Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Puan Hajjah Mariam pernah kerugian sebanyak £500,000.00 dalam satu malam ketika berjudi di sebuah kasino di London. Walau bagaimanapun, Puan Hajjah Mariam menafikan yang beliau pernah kerugian sebanyak £3 juta dalam satu malam.  Puan Hajjah Mariam yang berusia 57 tahun dikatakan selalu mengunjungi kasino-kasino di Singapura, Macau dan London termasuk Clermont Club di Berkeley Square yang merupakan tempat berjudi terkenal bagi orang-orang kaya Britain dan beliau diberikan had kredit berjumlah £2.5juta. Beliau akan melawat dua atau tiga kasino dalam satu malam termasuk Les Ambassadeurs, Aspinalls dan Rendezvous yang terletak berhampiran Park Lane.

Hajjah Mariam yang mempunyai aset di Leicestershire, Kensington dan Singapura mendakwa bahawa beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk membayar hutang-hutang judinya.  Pihak juri dimaklumkan bahawa Puan Hajjah Mariam telah memasukkan sejumlah wang kedalam akaun Fatimah Lim bagi tujuan membayar hutang judi beliau. Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pada tahun 2009, Puan Hajjah Mariam menjual beberapa barang kemasnya bernilai hampir £1juta untuk membayar hutang-hutangnya.

Perbicaraan bersambung ............

Sumber :-  Mail Onlin

Saturday, February 8, 2014

Patung Lilin Queen Elizabeth dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Dibakar



08 Februari 2014, Sabtu :-

Beginilah rupanya patung lilin Her Majesty Queen Elizabeth II yang telah dirosakkan akibat perbuatan khianat di The Red Carpet Wax Museum di i-CT, Shah Alam  pada pagi Jumaat 07 Februari 2014. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 02:37 hrs dan kebakaran dapat dikawal pada jam 03:31 hrs.  Kejadian berlaku ketika pasukan keselamatan tiada ditempat kejadian dan sedang melakukan rondaan. Pelaku memasuki muzium berkenaan melalui pintu keluar yang tidak diletakkan pengawal keselamatan. Memang tiada pengawal keselamatan diletakkan dipintu keluar kerana menurut pihak pengurusan keutamaan keselamatan adalah untuk para pengunjung sahaja dan kejadian seperti ini tidak pernah dijangkan.

Dalam kejadian ini sebanyak 10 patung lilin telah dirosakkan termasuklah patung lilin Perdana Menteri Malaysia pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Nelson Mandela, Barack Obama, Mao Zedong, Vladimir Putin, Jackie Chan, Yasser Arafat, Prince William and Catherine Middleton. Buat masa ini belum ada lagi tangkapan yang dibuat dan motif sebenar sipelaku dalam kejadian ini masih lagi menjadi tandatanya. Rakaman CCTV kejadian ini tidak begitu jelas untuk mengenalpasti individu yang melakukan perbuatan berkenaan. 

Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew dalam kenyataannya yang dikeluarkan oleh The Malay Mail hari ini memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih sedang giat dilakukan dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua bulan. Kerugian dianggarkan oleh pihak berkuasa berjumlah RM10 juta walau bagaimanapun beliau enggan membuat sebarang komentar berhubung perkara tersebut cuma menyatakan beberapa juta sahaja. Tambah beliau lagi, Patung lilin Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah patung lilin yang paling mahal diantara patung-patung lilin yang ada di muzium ini.

Datuk Eu memaklumkan bahawa kerja baik pulih harus dilaksanakan dengan kadar segera kerana muzium ini merupakan salah satu daripada daya tarikan pelancung dari dalam dan luar negara terutamanya dalam program Tahun Melawat Malaysia 2014. Beliau beranggapan kejadian ini sebagai satu pengkhianatan kepada muzium berkenaan kerana sipelaku tahu apa yang perlu dilakukan dan telah menggunakan bahan kimia yang betul untuk memusnahkan patung lilin berkenaan.  Menurut beliau lagi, patung lilin tersebut tidak akan mudah terbakar kecuali menggunakan bahan-bahan kimia yang tertentu sahaja.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato' Abdul Rahim Jaafar pula memaklumkan bahawa pihak polis masih lagi mengkaji rakaman CCTV kejadian tersebut.

Sumber : The Malay Mail / Internet

Thursday, February 6, 2014

Pengiran Muda Mahkota Brunei Berangkat Pulang Dari Lawatan Rasmi Negara Ke Oman


06 Februari 2014, Khamis :-

Hari ini Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan rombongan diraja telah menamatkan lawatan rasmi negara selama empat hari ke Oman bermula 03 Februari 2014. Semuga Duli Yang Teramat Mulia dan rombongan sentiasa dalam lindungi Allah hendaknya dan dipermudahkan segala urusan. Amien.


Sumber : - Jabatan Penerangan Brunei

Wednesday, February 5, 2014

Aktiviti Hari Ketiga Pengiran Muda Mahkota Brunei Di Oman


05 Februari 2014, Rabu :-

Hari ini Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang berada di Oman untuk lawatan rasmi negara bermula 03 Februari lepas telah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengahari bersama keluarga di Royal Yatch (Al-Moreh) di Pelabuhan Al Mukalla. Terdahulu Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat melawat ke Universiti Sultan Qaboos dan Sultan Special Forces Headquarters di Muscat. Manakala dalam program yang berasingan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman dan anakanda baginda pula berangkat ke Royal Clvery. Malam ini pula pasangan diraja ini berangkat menyaksikan persembahan di Royal Opera House.

Sumber :- Brunei Information Department

Pengiran Muda Mahkota Mengadap Sultan Qaboos


05 Februari 2013, Rabu :-

Semalam Duli yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah berkenan berangkat ke mengadap Sultan Oman, Sultan Qaboos bin Said Al-Said di Bait Al Barakah, Muscat. Dalam perjumpaan ini Sultan Qaboos dan Duli Yang Teramat Mulia telah bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala kedua-dua buah negara serta hal ehwal serantau dan antarabangsa.  Duli Yang Teramat Mulia dan rombongan berada di Oman untuk lawatan rasmi negara selama empat hari bermula 03 Februari 2014.

Sumber :- Pelita Brunei / Brunei Information Department

Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kelahiran ke-21 kepada Tunku Panglima Johor


05 Februari 2014, Rabu :-


Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kelahiran ke-21 kepada Tunku Panglima Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri ibni Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim. Semuga YAM dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Amien ........

YAM Tunku Abdul Rahman yang juga dikenali dengan panggilan Tunku Iman merupakan putera ke-4 dan anakanda ke-5 Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Isteri kepada DYMM Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah. YAM diputerakan pada 05 Februari 1993.

Monday, February 3, 2014

30 Tahun Tuanku Azlan Diatas Singahsana Negeri Perak Darul Ridzuan


Wajah Terbaru Tuanku Azlan

03 Februari 2014, Isnin :-

Shukur Alhamdulillah pada hari ini 03 Februari 2014 genaplah 30 tahun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah berada diatas singahsana kerajaan Perak Darul Ridzuan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak berikutan kemangkatan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah [Marhum Affifullah] ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah, Sultan Perak ke-33 yang mangkat pada 31 Januari 1984. 

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan ke-34 di Balai Rongseri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebelum Jenazah Marhum Affifullah dimakamkan pada 03 Februari 1984. Baginda yang ketika itu merupakan Raja Muda Perak terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara bermula tarikh 03 Februari 1984. Istiadat Pertabalan pula diadakan pada 09 Disember 1985 dengan penuh adat istiadat diraja Negeri Perak Darul Ridzuan.

DYMM Sultan Azlan sekarang berusia 85 tahun  dan segala urusan rasmi baginda dipangku oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan yang juga merupakan Putera Sulung baginda dengan menggunakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Syah mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki agar dapat terus bertahta diatas singahsana kerajaan Perak Darul Ridzuan. Amien. 

Dirgahayu Tuanku.


Istiadat Pertabalan

Sumber : Mohd Fairul Hatim /MBS