Tuesday, April 28, 2015

Gambar Tuanku Abdul Halim Dan Almarhumah Sultanah Bahiyah Di Pasar Karat AmCorp Mall


28 April 2015, Selasa :-

Beberapa minggu lepas Syah ke Pasar Karat atau Flea Market yang terletak di AmCorp Mall untuk melihat barang-barang lama yang dijual disana.  Di salah satu gerai ditingkat bawah komplek beli belah berkenaan Syah terpandang gambar Sultan dan Almarhumah Sultanah Kedah. Syah tak pasti gambar ini untuk istiadat apa tetapi ada tertera tahun 1958 iaitu tahun Tuanku Abdul Halim naik tahta sebagai Sultan Kedah tetapi ada perkataan MEDAN pula. Syah bertanya kepada penjual mengenai harga gambar berkenaan dan beliau maklumkan RM1,000.00. Jika anda berminat memiliki atau hendak melihat gambar ini bolehlah datang ke AmCorp Mall pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Waktu Syah kesana tempohari pada hari Ahad. Kebiasaannya hari Ahad lebih ramai penjual berniaga barangan lama disini berbanding hari Sabtu.  Tak pasti Syah samada gambar ini masih ada lagi atau sudah dijual.

Sumber :- MBS

Monday, April 27, 2015

Pameran Sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah


27 April 2015, Isnin :- 

Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah pada 06 Mei 2015 ini satu pameran sempena pertabalan baginda akan diadakan pada 05 Mei hingga 04 Jun 2015 bertempat di Dewan Bandaran Ipoh, Ipoh ,Perak. Pameran ini dibuka untuk orang ramai setiap hari bermula jam 10:00 pagi hingga jam 07:00 malam. 

Syah berharap kita semua mengambil kesempatan ini untuk membawa keluarga, anak-anak, teman dan saudara mara ke pameran ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Institusi beraja di negeri Perak disamping memertabatkan Institusi Raja Berperlembagaan di negara kita ini.

Lokasi Dewan Bandaran Ipoh terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang, Ipoh dan iannya berhadapan dengan Stesyen KTM Ipoh.  Jika anda dari Kuala Lumpur anda boleh menggunakan perkhidmatan keretapi  ETS di KL Sentral untuk kepameran ini. Ada dua perkhidmatan disediakan iaitu ETS Gold dan ETS Silver dimana ETS Gold berharga 35.00 manakala ETS Silver berharga RM25.00 dan tiada caj GST buat masa ini. ETS Gold mengambil masa perjalanan 2 jam 15 minit manakala ETS Silver 2 jam 30 minit.

Sumber :-  DYTMS NFS/KTM/Jabatan Penerangan Perak

Terima Kasih Para Pengunjung Blog Syah




27 April 2015, Isnin :-

Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pembaca tengkusyah.blogspot.com kerana mengikut statistik sehingga entry ini ditulis iannya telah dikunjungi seramai 1,004,203 penjunjung. Terima kasih atas sokongan anda semua dan Syah amat menghargainya.

Thursday, April 23, 2015

Stem dan Sampul Surat Hari Pertama Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan


23 April 2015, Khamis :-

Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah pada 06 Mei 2015 bersamaan 07 Rejab 1436 Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan bahan-bahan filateli seperti berikut :-
  1. Stem bernilai 60sen, 80sen, RM1.20.
  2. Sampul surat hari pertama bernilai 50sen.
  3. Lembaran Mini bernilai RM5.00.
  4. Folder bernilai RM6.00.
Jualan bahan-bahan filateli ini akan bermula pada hari Khamis, 07 Mei 2015 disetiap pejabat pos di Malaysia.

Kepada para pengumpul dan peminat Stem serta Sampul Surat Hari Pertama jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk mendapatkan bahan-bahan filateli tersebut di pejabat-pejabat pos berhampiran tempat anda.  Walau bagaimanapun Folder yang bernilai RM6.00 itu hanya dijual di pejabat-pejabat pos terpilih sahaja. Yang pastinya jika anda ke Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur di Kompleks Dayabumi pasti anda boleh memilikinya.

Kepada anda yang ingin memiliki sampul surat hari pertama dan masih baru dalam bidang hobi sebigini, pastikan anda ke pejabat pos untuk membelinya pada 07 Mei 2015 kerana iannya hanya akan dijual pada hari berkenaan sahaja. Jika anda ingin membelinya pada hari yang lain mereka tidak akan menjualnya kerana itulah iannya dipanggil sampul surat hari pertama. Manakala Stem dan yang lain-lainnya akan dijual selagi stok masih ada. 

Walaupun jika anda terlepas peluang untuk memilik sampul surat hari pertama berkenaan iannya masih boleh diperolehi terutamanya dari para pengumpul (collector) atau membelinya di Pasar Karat (flea market) dan salah satu tempatnya di AmCorp Mall, Petaling Jaya pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Lebih baik anda datang pada hari Ahad kerana lebih ramai penjual berniaga disini pada hari berkenaan. Penjual barang-barang lama disini biasanya akan membeli sampul surat berkenaan dalam kuantiti tertentu dan akan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi sedikit dari harga asal.

Sumber :- Filateli-Pejabat Pos Besar KL

Saturday, April 18, 2015

Ziarah Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan, Sultan Brunei Ke-9


18 April 2015, Sabtu :-

Batu Nisan yang Syah pegang ini adalah Batu Nisan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan ibni Al-Marhum Sultan Saiful Rijal, Sultan Brunei ke-9 atau juga dikenali dengan panggilan Marhum Di Tanjung. Al-Marhum merupakan salah seorang Sultan Brunei yang dikenali dan dikenang dalam Sejarah Brunei. Syah ziarah ke makam ini pada 24 November 2013 ditemani oleh seorang sahabat dari Brunei yang merupakan keturunan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Makam ini terletak didalam kawasan Kampong Sungai Bunga, Tanjung Kindana, Daerah Brunei dan Muara. Syah terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan air untuk ke makam ini. Batu Nisan Al-Marhum telah patah dan yang tinggal dan dijumpai hanyalah yang anda lihat ini sahaja.

Al-Marhum yang sebelum itu bergelar Pengiran Muda Tengah Muhammad Hassan menggantikan kekanda baginda, Al-Marhum Sultan Shah Brunei, Sultan Brunei ke-8 yang hanya dapat memerintah dalam jangka waktu yang singkat mulai 1581 hingga 1582. Setelah menaiki tahta, Al-Marhum menggunakan gelaran Sultan Muhammad Hassan dan memerintah Brunei mulai tahun 1582 hingga 1598. Al-Marhum diputerakan pada tahun 1533 dan mangkat pada tahun 1598 ketika berusia 65 tahun.

Al-Marhum terkenal dengan sifat baginda yang gagah berani dan cekap dalam pentadbiran negara. Baginda telah mengiisi semua kekosongan gelaran pembesar-pembesar negara dan menentukan tugas dan tanggungjawab setiap pembesar supaya setiap masalah negara dapat diselesaikan dengan segera dan tidak tertangguh. Setiap keputusan haruslah mengikut hukum dan keadilan.

Sewaktu pemeritahan baginda, Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan telah berjaya memperkembangkan kuasa Brunei. Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dikatakan setanding dengan pemerintahan Kerajaan Aceh semasa era zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1612 - 1631).Perkara ini ada dinyatakan dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Yaakub yang menyatakan :-
  • "Paduka Seri Sultan Hasan .... ialah Raja Brunei yang tiada berbanding, hanyalah dengan sama sebanding, Sultan Mahkota Alam [Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam] yang di negeri Aceh"
Perkembangan dan perluasan kuasa Brunei semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan disertai juga dengan penyebaran dan pengembangan agama Islam di wilayah-wilayah dibawah kekuasaan dan pengaruh Brunei.

Al-Marhum merupakan seorang yang bijak dan sentiasa berwaspada terhadap musuh-musuh baginda terutamanya "musuh dalam selimut". Al-Marhum juga seorang yang pemurah dan penyayang kepada rakyat. Baginda sentiasa mengarahkan Wazir-Wazir, Cheteria-Cheteria dan Menteri-Menteri baginda supaya sentiasa mendampingi rakyat agar kebajikan rakyat terjaga dan masalah rakyat diselesaikan. Perkara ini ada dinyatakan dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Yaakub yang menyatakan :-
  • "..... Masyhurlah gagah beraninya pada segala negeri yang asing-asing ....Dan lagi pula sangatlah murahnya kepada segala menterinya dan hulubalangnya rakyat sekalian, semuanya kasih sayang akan baginda. Dan perintahnya pun semuanya dengan periksanya dan pada memerintahkan akan kerajaan serta dengan adilnya .....
Baginda begitu mengambil berat berhubung pertahanan negara dimana diatas kota empat persegi yang mengelilingi istana baginda telah diletakkan meriam besar yang dinamakan Siraja Hindi, Seri Negeri, Si-Pitutan, Si Gantar Alam, Si Puchung dan Si Tanggal serta beberapa meriam kecil sebagai pertahanan dari serangan dari musuh. Kekukuhan dan Kekuatan Brunei ini telah ditakuti oleh Spanyol kerana dikhuitiri pengaruh mereka di Filipina akan tergugat. 

Al-Marhum Sultan Muhammad mempunyai empat orang isteri yang terdiri daripada Pengiran-Pengiran peranakan Brunei dan beberapa orang gundik yang melahirkan putera dan puteri Al-Marhum. 

Diantara Putera Gahara Al-Marhum yang terkenal adalah  Pengiran Muda Besar Abdul Jalilur Akhbar (Sultan 'Abdul Jalilul Akhbar, Sultan Brunei ke-10), Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah dan Pengiran Muda Bongsu Haji Muhammad Ali (Sultan Haji Muhammad Ali, Sultan Brunei ke-12). Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah ini adalah anakanda Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan yang telah dirajakan di Sarawak yang dikenali Sebagai Sultan Tengah. Sultan Tengah adalah Sultan pertama dan terakhir Sarawak. Sila click entry Syah sebelum ini untuk mengetahui berkenaan Sultan Tengah

Puteri Al-Marhum yang terkenal adalah Pengiran Anak Puteri Nor Alam yang kemudiannya bergelar Raja Isteri Noor Alam, permaisuri kepada Sultan 'Abdul Hakkul Mubin, Sultan Brunei ke-13.

Satu ketika dahulu terdpat keraguan sesetengah pihak samada makam ini adalah kepunyaan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan ataupun bukan  kerana makam ini tiada sebarang catatan nama Al-Marhum. Ada juga mendakwa pernah terjumpa batu nesan besar diatas Bukit Tanjung Kindana menghadap kearah laut yang mempunyai ukiran tertentu dan diatasnya terdapat semacam nama Sultan Muhammad Hassan.

Sehubungan dengan itu Pusat Sejarah Brunei  dengan Kerjasama Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Adat Istiadat Negara dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (Bahagian Perkuburan) telah melakukan usaha mencari dan menyelidik batu nesan yang dimaksudkan bermula dari kawasan makam ini hingga keatas bukit dan kemudiannya ke hujung Tanjung Kindana hingga pertengahan bukit yang bersempadan dengan makam yang ada sekarang. 

Yang dijumpai hanyalah serpihan tembikar tidak jauh dari makam yang ada sekarang. Kesimpulan yang dibuat adalah kawasan Sungai Bunga satu ketika dahulu merupakan kawasan penempatan atau perkampungan orang Brunei. Selain daripada itu Awang Haji Buntar bin Ishak menyatakan bahawa sebelum zaman Jepun terdapat bekas tunggul tiang rumah di kawasan Sumgai Bunga yang menyokong teori kawasan ini dahulunya merupakan kawasan perkampungan pada zaman dahulu. Awang Haji Buntar merupakan seorang wargaemas berusia dalam lingkungan 70an dari Kampung Pundak di Kuala Sungai Brunei dan beliau banyak maklumat berhubung makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan.

Dalam temubual yang dilakukan, keyataan Awang Hj Buntar adalah seperti berikut :-
  • Hingga ke hujung Tanjung arah ke muara Sungai Brunei tidak ada kubur selain makam yang ada sekarang. Menurut cerita perindungan, kamas datu kami Awang Safar berparang di Padas (dibawa oleh Pengeran Shahbandar), baru ia berkabun disana atu (Sungai Bunga). Bercerita tia ada kubur Sultan di sana taunya. Sultan Hasan di sana makamnya, miatu. Iatah sampai karang ani tah cerita atu.
Dalam kenyataannya Awang Hj Buntar sekali lagi menegaskan :-
  •  Cerita Datu kami, Datu Safar atu kisah banar. Bagasnya berparang di Padas (dibawa oleh Pengeran Shahbandar),iatah ia berkabun disana atu (Sungai Bunga). Ia bercerita ada kubur Sultan disana, Sultan Hasan.
Kenyataan atau pendapat ini telah disokong oleh Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato' Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri seperti berikut :-
  • Memang betul makam itu Makam ini Makam Sultan Muhammad Hassan. Ini diberitahu dahulu kepada saya oleh seorang pegawai Pejabat Ukur bernama Pengiran Haji Mohd Daud bahawa makam yang di Tanjung Kindana itu adalah Makam Sultan Muhammad Hassan, dan saya pernah membuat penyelidikan kesana .... hanya sayangnya batu nisannya patah dan tidak bertulisan, tetapi orang tua-tua mengatakan, makam itu Makam Sultan Muhammad Hassan.
Selain daripada itu bentuk lorekan atau ukiran daun setampik atau suganda atau daun selambar yang terdapat pada nesan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan merupakan ukiran yang terdapat pada batu nisan makam Sultan dan pembesar-pembesar Brunei seperti ukiran di Makam Sultan Bolkiah, Makam Sultan Muhammad Kanzul Alam, Makam Sultan Omar Ali Saifuddin II. Kepala atau puncak batu nisan makam ini dikatakan seakan-akan puncak batu nisan Makam Sultan Bolkiah.

Catatan Datu Imam Yaakub dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei menyatakan :-
  • Marhum di Tanjung yang bernama Paduka Seri Sultan Hassan yang besar kerajaannya lagi keras perintahnya : istana baginda dua, kotanya terus empat persegi dari Kota Batu itu hingga a-r-y (air) dibakutnya, tanah diratakannya, berbangunan-bagunan mahligai tiga pangkat di atas lawang cermin berbagai warna dan perbuatannya, dan bersumbu layang di halaman Lapau. (Sweeney : halaman 20)
  • Sultan Hassan .... ialah dinamai Marhum Di Tanjung kerana ia mangkat di Tanjung Chendana, Kuala Brunei (Sweeney : halaman 56)
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Metusin bin Umar dalam kertas kerjanya bertajuk "Batu Nisan Inskripsi dan Fakta Dalam Pengajian Sejarah Brunei yang diterbitkan dalam Pelita Brunei  08 Mei 1996, halaman 12 antara lain menyatakan :-
  • Nama-nama seperti Sultan Sharif Ali, Sultan Bolkiah, Sultan Muhammad Jamalul Alam 1 dan Sultan Omar Ali Saifuddien 11 adalah diantara yang dijumpai batu-batu makam yang masih boleh disaksikan hingga sekarang.
  • Ini tidak termasuk nisan-nisan yang dipercayai sebagai makam-makam Sultan Hasan, Sultan Muhyiddin dan Sultan Abdul Momin yang tidak secara tegas mencatatkan nama-nama Sultn berkenaan tetapi telah diakui atau diterima [sebagai Sultan Hasan, Sultan Muhyiddin dan Sultan Abdul Momin].
Adalah dipercayai dan diyakini oleh pihak yang bertanggungjawab bahawa makam yang yang terletak di Kampong  Bunga, Tanjung Kindana ini merupakan Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan atau Marhum Di Tanjung. 


Awang Haji Buntar bin Ishak 
(Click gambar untuk image yang lebih besar)







Bentuk Batu Nisan Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dilihat dari pelbagai sudut.


Syah ke Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan di Kampong Sungai Bunga, Tanjung Kindana menggunakan pengangkutan air kerana tiada jalan darat ke kawasan berkenaan. Syah naik dari kawasan Kampong Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara. Dalam hati gementar juga sebab sudah lama tak naik bot atau sampan yang menyeberangi sungai.


(Click gambar untuk image yang lebih besar)

Di belakang pemandu bot itu adalah Kampung Sungai Bunga. Kampong Sungai Bunga dikatakan kawasan bekas Istana Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dan rumah-rumah di Kampong Bunga sekarang ini merupakan Projek Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kampong ini dilengkapi dengan sekolah, masjid, pusat kesihatan dan Pos polis serta lain-lain kemudahan.


(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Jalan dibelakang Syah itu menuju kekawasan makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan.


(Click gambar untuk image yang lebih besar)

Dihujung jambatan ini terletaknya Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan tidak jauh dari kawasan perumahan Kampong Sungai Bunga.


(Click gambar untuk image yang lebih besar)

Didalam kawasan berpagar ini adalah Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Kelihatan dibelakang Syah adalah Perumahan Kampong Sungai Bunga. Tidak jauh jaraknya diantara Makam dan kawasan perumahan.



Makam Al-Marhum Sultan Bolkiah di Kota Batu



Batu Nisan Al-Marhum Sultan Bolkiah

  
Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul 'Alam di dalam kawasan Kubah Makam Diraja Brunei, Jalan Tutong.



Sebahagian daripada ukiran pada Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul 'Alam.


Sumber :- Berita Jabatan Pusat Sejarah : Bilangan 8 Tahun 1997 - Makam Sultan Muhammad Hassan oleh Awang Haji Muhammad bin Abdul Latif / Sejarah Sultan-Sultan Brunei Menaiki Tahta / Salasilah Sultan-Sultan Bunei (Pusat Sejarah Brunei)/Pengiran OA / MBS / Tarsilah Brunei.

Tuesday, April 14, 2015

Tuanku Nazrin Dan Tuanku Zara Hadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Vaisakhi.


14 April 2015, Selasa :-

Hari ini Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Vaisakhi. Majlis diadakan di kediaman Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (GERAKSIKH), Tan Sri G.Darshan Singh di Ipoh, Perak. Turut serta mengiringi Tuanku Sultan adalah Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sila Click link dibawah untuk mengetahui apa itu Vaisakhi :-

Sumber :- Bernama / Wikipedia.

Sultan Brunei Memandu Buggy


14 April 2015, Selasa :-

Tentu anda semua kenal siapakah individu yang memandu Buggy ini kan?. Baginda adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Baginda memandu buggy ini sewaktu Majlis Persantapan Diraja sempena Istiadat Perkahwinan Diraja anakanda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah.

Kelihatan Baginda bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah keluar daripada Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman selepas majlis tamat pada malam 12 April lepas. Terdahulu semasa keberangkatan tiba baginda ke Dewan Persantapan Diraja, kelihatan baginda memandu buggy dengan membawa bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah ; Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Monday, April 13, 2015

Cenderahati Majlis Persantapan Diraja Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Pengiran Muda 'Abdul Malik Dan Pengeran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah





13 April 2015, Selasa :-


Inilah dia cenderahati untuk para jemputan ke Majlis Persantapan Diraja Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman pada malam 12 April 2015.

Majlis Persantapan Diraja Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Pengiran Muda 'Abdul Malik Dan Pengeran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah



13 April 2015, Isnin :- 

Majlis Persantapan Diraja sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah berlangsung dalam suasana meriah di Istana Nurul Iman malam semalam 12 April 2015.

Turut serta berangkat dalam Majlis Persantapan Diraja adalah kesemua Raja-Raja di Malaysia kecuali KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Al-Sultan Kelantan.  KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta Pengantin Diraja berkenan bergambar bersama-sama dengan para tetamu khas baginda termasuklan Raja-Raja di Malaysia. 


Sumber :- Pelita Brunei/MBS

Sunday, April 12, 2015

Cenderahati Sempena Istiadat Bersanding Diraja Diantara Pengiran Muda 'Abdul Malik Dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah


12 April 2015, Ahad :-

Inilah dia cenderahati untuk para jemputan sempena Majlis Istiadat Bersanding Diraja diantara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah yang berlangsung pada pagi ini di Balai Singahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Sumber : MBS

Sultan Dan Raja Permaisuri Perak Sertai Kayuhan Muhibbah Bersama Rakyat


Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  dengan penuh semangat meneruskan kayuhan walaupun dalam keadaan hujan.

12 April 2015, Ahad :-

Malam tadi Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim telah berkenan mencemar duli menyertai Program Kayuhan Muhibbah Bersama Rakyat di Ipoh, Perak. Turut serta dalam program ini adalah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco negeri.

Program anjuran Majlis Bandaran Ipoh dan Kerajaan Negeri dengan kerjasama PDRM, RELA dan Hospital Tuanku Permaisuri Bainun ini adalah yang julung kalinya diadakan di Ipoh sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-27 pada 27 Mei nanti. Program ini disertai hampir 1500 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli kelab basikal negeri Perak dan wakil daripada jabatan-jabatan Kerajaan.

Tuanku Sultan Nazrin dan para peserta lainnya berjaya menamatkan kayuhan sejauh 8km walaupun dalam keadaan hujan.

Sumber : Perak Today

YM Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah Bergelar Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah


12 April 2015, Ahad :-

Pagi ini Yang Mulia Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah telah dianugerahkan gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah. Pengisytiharaan dibacakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Laila Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dalam Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di Balai Singahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Sumber : RTB / Ahmad Apong

Saturday, April 11, 2015

Ziarah Ke Makam Sultan Tengah


11 April 2015, Sabtu :-

Pada 20 hingga 23 Mac lepas Syah telah ke Negeri Sarawak bersama Mus, Haziq, Cd dan Nurul. Semasa di Sarawak Syah mengambil kesempatan menziarahi Makam Sultan Tengah yang merupakan Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak. Mungkin ramai yang tidak tahu Sarawak pernah ada Sultan satu ketika dahulu.  Kali terakhir Syah ziarah ke makam ini adalah pada tahun 2012.





Lokasi Makam ini di Santubung dan jika kita dalam perjalanan ke Kampung Budaya Sarawak kita akan melalui kawasan ini. Iannya terletak diatas bukit kecil ditepi jalan utama sahaja dan mudah untuk menjejakinya tetapi jika kita tidak biasa dengan kawasan ini mungkin kita tidak akan perasan lokasi makam walaupun iannya terletak betul-betul ditepi jalan. Pemandu teksi yang bawa kamipun hampir terlepas kawasan ini sehingga kami maklumkan supaya dia berhenti.


Shukur Alhamdulillah sampai juga hajat Syah ziarah ke Makam Sultan Tengah. Sempat hadiahkan Al-Fatihah kepada Al-Marhum. Mula-mula Syah terasa seperti hendak melihat bentuk batu yang ditutupi kain kuning ini tetapi akhirnya Syah batalkan niat itu kerana tiba-tiba hati Syah berkata tak perlu melihat batu itu. Anak saudara Syah maklumkan kepada Syah warna kain itu cantik sangat, kuning seperti emas dan Syah senyum sahaja. Selepas ziarah, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Kuching.


Al-Marhum Sultan Tengah merupakan putera kepada Sultan Muhammad Hasan, Sultan Brunei. Apabila Sultan Muhammad mangkat pada 1598, tahta kerajaan diganti oleh putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akhbar (1598-1659) sebagai Sultan Brunei ke-10. Walau bagaimanapun adinda kepada Sultan Abdul Jalilul iaitu Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau yang sepatutnya layak menjadi Sultan atas alasan beliau merupakan putera Sultan kerana dia dilahirkan sewaktu Ayahandanya menjadi Sultan manakala abangnya itu dilahirkan sebelum ayahanda mereka menjadi Sultan. Bermakna kekandanya merupakan putera kepada Pengiran Muda dan bukan putera seorang Sultan sewaktu dilahirkan manakala beliau dilahirkan sebagai putera seorang Sultan.


Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, Sultan Abdul Jalilul Akhbar telah mendapat satu helah dengan merajakan Pengiran Muda Tengah di Sarawak yang merupakan jajahan Brunei ketika itu. Baginda menggunakan gelaran Sultan Tengah. Mengikut Tarsilah Sambas Sultan Tengah mangkat pada 1641, iaitu selepas 10 tahun putera baginda, Sultan Muhammad Safiuddin I (Radin Sulaiman) menaiki tahta Sambas pada 09.07.1631. Baginda mangkat sewaktu dalam perjalan pulang dari Matan ke Sarawak. Baginda telah dibunuh oleh pengiring baginda ketika baginda hendak ke sungai untuk membuang air besar. Kejadian berlaku di Batu Buaya, Santubung, Sarawak.


Dengan kemangkatan ini maka berakhirlah Kesultanan Sarawak, tetapi nama gelaran kepada Datu-Datu Sarawak masih tinggal kekal menjadi warisan bangsa. Tiada pengganti Sultan selepas kemangkatan Al-Marhum dan Sebab itulah Al-Marhum Sultan Tengah dikenali sebagai Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak.

Al-Fatihah


Semuga Rohnya Al-Marhum Sultan Tengah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal Solleh. Amien

Sultan Selangor Tidak Berkenan Slogan "Kita Lawan" Kontinjen SUKMA Selangor 2016


11 April 2015, Sabtu :-

Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj tidak berkenaan dengan slogan "Kita Lawan" yang akan digunakan oleh kontijen Selangor dalam temasya Sukan Malaysia 2016 atau SUKMA 2016 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun hadapan. Titah ini disampaikan oleh baginda sewaktu berangkat ke  majlis Anugerah Sukan Selangor 2014 di Subang Jaya malam tadi yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali

Titah baginda lagi, slogan "Kita Lawan" telah digunapakai oleh sebuah parti politik. Baginda tidak mahu semangat kesukanan di Selangor dicemari dengan unsur politik atau perkauman dan mahukan semua pihak mengetepikan fahaman politik dan tidak menerapkannya kedalam pentadbiran sukan.

Diantara titah baginda malam tadi :-
  • "Justeru, beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan."
  • "Beta berpendapat lebih baik kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari slogan lain lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili Selangor, serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik atlet, pasukan dan Selangor yang kita kasihi ini."
  • "Beta sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan sukan di Selangor. Beta masih ingat pada era 60-an sehingga 80-an, sukan menjadikan Selangor sebuah negeri yang terkenal serta dihormati dan ini hasil usaha bersungguh-sungguh pemimpin serta atlet Selangor dan komitmen mereka yang sangat tinggi untuk mencapai kejayaan bagi negeri ini yang mereka wakili."
Baginda juga menegur kegagalan kontijen Selangor yang hanya menduduki tempat ke-4 dalam SUKMA lepas dan kegagalan Selangor menjuarai Piala Malaysia kebelakangan ini. Titah baginda lagi, kerajaan Selangor telah menyediakan pelbagai kemudahan sukan disetiap daerah dan sepatutnya Selangor menjadi juara pada setiap kejohanan. Diantara titah baginda berhubung perka ini :-
  • "Mengapa perkara tersebut tidak berlaku (kejayaan), oleh itu pengurus pasukan, pegawai serta atlet perlu membuat 'post-mortem' bagi mencari punca kejatuhan ini."
  • "Apa yang membimbangkan beta ialah akhir-akhir ini, beta dapati pentadbiran dan pengurusan beberapa kelab serta persatuan sukan di Selangor menghadapi masalah dalaman yang mengakibatkan kegagalan dan kemunduran sukan di negeri ini."
Tuanku Sultan juga menegur pengurusan kewangan sesetengah persatuan sukan yang menimbulkan masalah serius berikutan kurang perancangan jangka panjang dan tidak mempunyai peruntukan kewangan yang seimbang.

Titah baginda :-
  • "Oleh itu, beta berharap pengurus dan pegawai sukan hendaklah memberi sepenuh komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kegemilangan sukan di negeri ini dikekalkan".
  • "Beta suka mengingatkan kepada pegawai persatuan supaya tidak bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan hasad dengki serta cuba menjatuhkan antara satu sama lain." 
Sepertimana yang sebahagian dari kita sedia maklum slogan "Kita Lawan" ini sebenarnya slogan parti politik Parti Keadilan Rakyat atau PKR yang bertujuan membebaskan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara atas kesalahan liwat.

Sumber : Bernama

Paduka Seri Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Santapan Makan Malam Sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-24


11 April 2015, Sabtu :-

Malam tadi Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Makan Malam sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-24 di Ipoh Perak.

Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-24 sedang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak bermula 05 hingga 12 April 2015. Diantara negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini adalah Malaysia sebagai tuan rumah, Australia, New Zealand, India, Kanada dan Korea Selatan.

Sumber : Bernama / Wikepedia.

Friday, April 10, 2015

Sultan dan Permaisuri Johor Hadiri Majlis Perkahwinan Anak Menteri Besar Johor

10 April 2015, Jumaat:- 

Malam ini Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis perkahwinan anak tunggal Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Akmal Saufi dan pasangannya Noor Shamiza Sayuti di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana.

Turut serta dalam majlis malam ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Sumber :- Bernama

Tengku Hassanal Hadiri Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil


10 April 2015, Jumaat :- 

Semalam Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj telah berkenan menghadiri  Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil untuk Anggota Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis. Majlis diadakan selepas solat asar di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin, Pahang.

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis adalah Ahli Parlimen Rompin, Pahang dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Malaysia. Allahyarham juga merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia. Allahyarham terkorban bersama lima yang lain dalam nahas helikopter di Sungai Lalang, Semenyih pada 04 April 2015. 


Sumber :- Bernama

Text Lafaz Kabul Akad Nikah Diraja Diantara Pengiran Muda 'Abdul Malik Dan Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah


10 April 2015, Jumaat :-

Istiadat akad Nikah Diraja diantara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Mulia Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah telah selamat disempurnakan mengikut adat istiadat diraja Negara Brunei Darussalam di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan semalam 09 April 2015 bersamaan 19 Jamadilakhir 1436H. 



Istiadat Akad Nikah dimulakan setelah mendapat titah perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 

Istiadat akad nikah ini disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Hj Besar dan bermula dengan bacaan surah Al-Fatihah.

Syah ada rakaman suara Istiadat Akad Nikah Diraja ini, walau bagaimanapun Syah tak dapat memuat naik rakaman berkenaan kerana ada masalah teknikal. Disini Syah kongsikan text Lafas Kabul berkenaan untuk tatapan bersama. 


Jurunikah :
  • Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. 
Pengiran Muda  'Abdul Malik
  • Awu
Jurunikah : 
  • Hamba Duli Tuanku Nikahkah Duli Tuanku, Hamba Duli Tuanku Kahwinkan Duli Tuanku dengan Yang Mulia Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah yang walinya iaitu ayahandanya, Pengiran Haji Bolkiah bin Pengiran Haji Jaluddin yang telah berwakil wali kepada Hamba Duli Tuanku bagi menikahkan anaknya itu dengan maharnya seribu ringgit tunai.
Pengiran Muda 'Abdul Malik:
  • Kaola terima nikahnya Yang Mulia Dayangku Raabi'atul `Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah dengan maharnya seribu ringgit tunai.
Setelah Lafas Kabul daripada Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik disahkan oleh saksi kedengaran 17 das tembakan Meriam menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah selamat sempurna dilaksanakan.

Bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam.



Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik kemudiannya menjunjung ziarah kehadapan majlis :-
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee.
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.
  • Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran  Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik juga menerima junjung ziarah daripada Ayahanda Mertuanya Yang Teramat Mulia Pengiran Haji Bolkiah bin Pengiran Haji Jaluddin sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja selesai setelah mendapat titah perkenaan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk Majlis Istiadat ditutup.


Turut serta dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja ini adalah  YAM Pengiran-Pengeran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Menteri, Menteri-Menteri Hulubalang, Menteri-Menteri Pendalaman, Duta-Duta, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan serta Para jemputan lain.

Sumber :- Kristal FM / gwalish / BT Instagram/RTB/Jabatan Penerangan