18 April 2015, Sabtu :-
Batu Nisan yang Syah pegang ini adalah Batu Nisan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan ibni Al-Marhum Sultan Saiful Rijal, Sultan Brunei ke-9 atau juga dikenali dengan panggilan Marhum Di Tanjung. Al-Marhum merupakan salah seorang Sultan Brunei yang dikenali dan dikenang dalam Sejarah Brunei. Syah ziarah ke makam ini pada 24 November 2013 ditemani oleh seorang sahabat dari Brunei yang merupakan keturunan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Makam ini terletak didalam kawasan Kampong Sungai Bunga, Tanjung Kindana, Daerah Brunei dan Muara. Syah terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan air untuk ke makam ini. Batu Nisan Al-Marhum telah patah dan yang tinggal dan dijumpai hanyalah yang anda lihat ini sahaja.
Al-Marhum yang sebelum itu bergelar Pengiran Muda Tengah Muhammad Hassan menggantikan kekanda baginda, Al-Marhum Sultan Shah Brunei, Sultan Brunei ke-8 yang hanya dapat memerintah dalam jangka waktu yang singkat mulai 1581 hingga 1582. Setelah menaiki tahta, Al-Marhum menggunakan gelaran Sultan Muhammad Hassan dan memerintah Brunei mulai tahun 1582 hingga 1598. Al-Marhum diputerakan pada tahun 1533 dan mangkat pada tahun 1598 ketika berusia 65 tahun.
Al-Marhum terkenal dengan sifat baginda yang gagah berani dan cekap dalam pentadbiran negara. Baginda telah mengiisi semua kekosongan gelaran pembesar-pembesar negara dan menentukan tugas dan tanggungjawab setiap pembesar supaya setiap masalah negara dapat diselesaikan dengan segera dan tidak tertangguh. Setiap keputusan haruslah mengikut hukum dan keadilan.
Sewaktu pemeritahan baginda, Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan telah berjaya memperkembangkan kuasa Brunei. Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dikatakan setanding dengan pemerintahan Kerajaan Aceh semasa era zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1612 - 1631).Perkara ini ada dinyatakan dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Yaakub yang menyatakan :-
- "Paduka Seri Sultan Hasan .... ialah Raja Brunei yang tiada berbanding, hanyalah dengan sama sebanding, Sultan Mahkota Alam [Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam] yang di negeri Aceh"
Perkembangan dan perluasan kuasa Brunei semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan disertai juga dengan penyebaran dan pengembangan agama Islam di wilayah-wilayah dibawah kekuasaan dan pengaruh Brunei.
Al-Marhum merupakan seorang yang bijak dan sentiasa berwaspada terhadap musuh-musuh baginda terutamanya "musuh dalam selimut". Al-Marhum juga seorang yang pemurah dan penyayang kepada rakyat. Baginda sentiasa mengarahkan Wazir-Wazir, Cheteria-Cheteria dan Menteri-Menteri baginda supaya sentiasa mendampingi rakyat agar kebajikan rakyat terjaga dan masalah rakyat diselesaikan. Perkara ini ada dinyatakan dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Yaakub yang menyatakan :-
- "..... Masyhurlah gagah beraninya pada segala negeri yang asing-asing ....Dan lagi pula sangatlah murahnya kepada segala menterinya dan hulubalangnya rakyat sekalian, semuanya kasih sayang akan baginda. Dan perintahnya pun semuanya dengan periksanya dan pada memerintahkan akan kerajaan serta dengan adilnya .....
Baginda begitu mengambil berat berhubung pertahanan negara dimana diatas kota empat persegi yang mengelilingi istana baginda telah diletakkan meriam besar yang dinamakan Siraja Hindi, Seri Negeri, Si-Pitutan, Si Gantar Alam, Si Puchung dan Si Tanggal serta beberapa meriam kecil sebagai pertahanan dari serangan dari musuh. Kekukuhan dan Kekuatan Brunei ini telah ditakuti oleh Spanyol kerana dikhuitiri pengaruh mereka di Filipina akan tergugat.
Al-Marhum Sultan Muhammad mempunyai empat orang isteri yang terdiri daripada Pengiran-Pengiran peranakan Brunei dan beberapa orang gundik yang melahirkan putera dan puteri Al-Marhum.
Diantara Putera Gahara Al-Marhum yang terkenal adalah Pengiran Muda Besar Abdul Jalilur Akhbar (Sultan 'Abdul Jalilul Akhbar, Sultan Brunei ke-10), Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah dan Pengiran Muda Bongsu Haji Muhammad Ali (Sultan Haji Muhammad Ali, Sultan Brunei ke-12). Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah ini adalah anakanda Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan yang telah dirajakan di Sarawak yang dikenali Sebagai Sultan Tengah. Sultan Tengah adalah Sultan pertama dan terakhir Sarawak. Sila click entry Syah sebelum ini untuk mengetahui berkenaan Sultan Tengah.
Puteri Al-Marhum yang terkenal adalah Pengiran Anak Puteri Nor Alam yang kemudiannya bergelar Raja Isteri Noor Alam, permaisuri kepada Sultan 'Abdul Hakkul Mubin, Sultan Brunei ke-13.
Satu ketika dahulu terdpat keraguan sesetengah pihak samada makam ini adalah kepunyaan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan ataupun bukan kerana makam ini tiada sebarang catatan nama Al-Marhum. Ada juga mendakwa pernah terjumpa batu nesan besar diatas Bukit Tanjung Kindana menghadap kearah laut yang mempunyai ukiran tertentu dan diatasnya terdapat semacam nama Sultan Muhammad Hassan.
Sehubungan dengan itu Pusat Sejarah Brunei dengan Kerjasama Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Adat Istiadat Negara dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (Bahagian Perkuburan) telah melakukan usaha mencari dan menyelidik batu nesan yang dimaksudkan bermula dari kawasan makam ini hingga keatas bukit dan kemudiannya ke hujung Tanjung Kindana hingga pertengahan bukit yang bersempadan dengan makam yang ada sekarang.
Yang dijumpai hanyalah serpihan tembikar tidak jauh dari makam yang ada sekarang. Kesimpulan yang dibuat adalah kawasan Sungai Bunga satu ketika dahulu merupakan kawasan penempatan atau perkampungan orang Brunei. Selain daripada itu Awang Haji Buntar bin Ishak menyatakan bahawa sebelum zaman Jepun terdapat bekas tunggul tiang rumah di kawasan Sumgai Bunga yang menyokong teori kawasan ini dahulunya merupakan kawasan perkampungan pada zaman dahulu. Awang Haji Buntar merupakan seorang wargaemas berusia dalam lingkungan 70an dari Kampung Pundak di Kuala Sungai Brunei dan beliau banyak maklumat berhubung makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan.
Dalam temubual yang dilakukan, keyataan Awang Hj Buntar adalah seperti berikut :-
- Hingga ke hujung Tanjung arah ke muara Sungai Brunei tidak ada kubur selain makam yang ada sekarang. Menurut cerita perindungan, kamas datu kami Awang Safar berparang di Padas (dibawa oleh Pengeran Shahbandar), baru ia berkabun disana atu (Sungai Bunga). Bercerita tia ada kubur Sultan di sana taunya. Sultan Hasan di sana makamnya, miatu. Iatah sampai karang ani tah cerita atu.
- Cerita Datu kami, Datu Safar atu kisah banar. Bagasnya berparang di Padas (dibawa oleh Pengeran Shahbandar),iatah ia berkabun disana atu (Sungai Bunga). Ia bercerita ada kubur Sultan disana, Sultan Hasan.
Kenyataan atau pendapat ini telah disokong oleh Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato' Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri seperti berikut :-
- Memang betul makam itu Makam ini Makam Sultan Muhammad Hassan. Ini diberitahu dahulu kepada saya oleh seorang pegawai Pejabat Ukur bernama Pengiran Haji Mohd Daud bahawa makam yang di Tanjung Kindana itu adalah Makam Sultan Muhammad Hassan, dan saya pernah membuat penyelidikan kesana .... hanya sayangnya batu nisannya patah dan tidak bertulisan, tetapi orang tua-tua mengatakan, makam itu Makam Sultan Muhammad Hassan.
Selain daripada itu bentuk lorekan atau ukiran daun setampik atau suganda atau daun selambar yang terdapat pada nesan Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan merupakan ukiran yang terdapat pada batu nisan makam Sultan dan pembesar-pembesar Brunei seperti ukiran di Makam Sultan Bolkiah, Makam Sultan Muhammad Kanzul Alam, Makam Sultan Omar Ali Saifuddin II. Kepala atau puncak batu nisan makam ini dikatakan seakan-akan puncak batu nisan Makam Sultan Bolkiah.
Catatan Datu Imam Yaakub dalam Salahsilah Raja-Raja Brunei menyatakan :-
- Marhum di Tanjung yang bernama Paduka Seri Sultan Hassan yang besar kerajaannya lagi keras perintahnya : istana baginda dua, kotanya terus empat persegi dari Kota Batu itu hingga a-r-y (air) dibakutnya, tanah diratakannya, berbangunan-bagunan mahligai tiga pangkat di atas lawang cermin berbagai warna dan perbuatannya, dan bersumbu layang di halaman Lapau. (Sweeney : halaman 20)
- Sultan Hassan .... ialah dinamai Marhum Di Tanjung kerana ia mangkat di Tanjung Chendana, Kuala Brunei (Sweeney : halaman 56)
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Metusin bin Umar dalam kertas kerjanya bertajuk "Batu Nisan Inskripsi dan Fakta Dalam Pengajian Sejarah Brunei yang diterbitkan dalam Pelita Brunei 08 Mei 1996, halaman 12 antara lain menyatakan :-
- Nama-nama seperti Sultan Sharif Ali, Sultan Bolkiah, Sultan Muhammad Jamalul Alam 1 dan Sultan Omar Ali Saifuddien 11 adalah diantara yang dijumpai batu-batu makam yang masih boleh disaksikan hingga sekarang.
- Ini tidak termasuk nisan-nisan yang dipercayai sebagai makam-makam Sultan Hasan, Sultan Muhyiddin dan Sultan Abdul Momin yang tidak secara tegas mencatatkan nama-nama Sultn berkenaan tetapi telah diakui atau diterima [sebagai Sultan Hasan, Sultan Muhyiddin dan Sultan Abdul Momin].
Adalah dipercayai dan diyakini oleh pihak yang bertanggungjawab bahawa makam yang yang terletak di Kampong Bunga, Tanjung Kindana ini merupakan Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan atau Marhum Di Tanjung.
Awang Haji Buntar bin Ishak
(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Bentuk Batu Nisan Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dilihat dari pelbagai sudut.
Syah ke Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan di Kampong Sungai Bunga, Tanjung Kindana menggunakan pengangkutan air kerana tiada jalan darat ke kawasan berkenaan. Syah naik dari kawasan Kampong Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara. Dalam hati gementar juga sebab sudah lama tak naik bot atau sampan yang menyeberangi sungai.
(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Di belakang pemandu bot itu adalah Kampung Sungai Bunga. Kampong Sungai Bunga dikatakan kawasan bekas Istana Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan dan rumah-rumah di Kampong Bunga sekarang ini merupakan Projek Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kampong ini dilengkapi dengan sekolah, masjid, pusat kesihatan dan Pos polis serta lain-lain kemudahan.
(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Jalan dibelakang Syah itu menuju kekawasan makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan.
(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Dihujung jambatan ini terletaknya Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan tidak jauh dari kawasan perumahan Kampong Sungai Bunga.
(Click gambar untuk image yang lebih besar)
Didalam kawasan berpagar ini adalah Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Kelihatan dibelakang Syah adalah Perumahan Kampong Sungai Bunga. Tidak jauh jaraknya diantara Makam dan kawasan perumahan.
Makam Al-Marhum Sultan Bolkiah di Kota Batu
Batu Nisan Al-Marhum Sultan Bolkiah
Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul 'Alam di dalam kawasan Kubah Makam Diraja Brunei, Jalan Tutong.
Sebahagian daripada ukiran pada Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul 'Alam.
Sumber :- Berita Jabatan Pusat Sejarah : Bilangan 8 Tahun 1997 - Makam Sultan Muhammad Hassan oleh Awang Haji Muhammad bin Abdul Latif / Sejarah Sultan-Sultan Brunei Menaiki Tahta / Salasilah Sultan-Sultan Bunei (Pusat Sejarah Brunei)/Pengiran OA / MBS / Tarsilah Brunei.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.