Tuesday, January 14, 2014

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M


14 Januari 2014, Selasa :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidon telah berkenan menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul  Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra, Putrajaya. Turut serta dalam majlis ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, para menteri kabinet dan perwakilan dari luar negara.

Tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini adalah "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah".


Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim berharap agar umat Islam Malaysia sentiasa berusaha mengukuhkan persaudaraan serta menghormonikan pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara.  Perpaduan adalah wajib dipupuk dan diperteguhkan agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha menjatuhkan umat Islam. Diantara titah baginda :-
  • Akhir-akhir ini, beta melihat terdapat segelintir penganut Islam yang mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing yang dibawa masuk dalam masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini.
  • Dari satu sudut, perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu yang remeh dan kecil kerana hanya melibatan isu cabang dan ranting.
  • Namun ingatlah, cara ia dibahas, dipertikai dan dibincangkan secara sinis dan melulu, boleh mengundang perbalahan, mencetuskan polemik dan boleh mengakibatkan perpecahan serta kegelisahan awam.
  • Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha memperkukuh persaudaraan, pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh kesederhanaan dan berimbang.
  • Rasulullah berjaya membuktikan kepelbagaian dalam masyarakat sama ada dari segi bangsa, keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan ataupun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan.
  • Ingatlah, kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan banyak menyumbang ke arah memajukan lagi sosio-ekonomi negara yang tercinta.
Sumber :- Bernama

No comments: