19 April 2014, Sabtu :-
Pagi tadi telah diadakan Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah ke-86 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Istiadat disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Diantara titah baginda dalam istiadat pagi tadi :-
- "Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian, demi memastikan peranan takhta diterima baik, ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara,"
- "Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dikagumi kerana kejayaan kepimpinan yang mencerminkan sifat tawaduk, amanah dan adil. Baginda mengutamakan budaya konsultasi, menghargai pendapat daripada mereka yang lebih arif, mempertimbangkan maklumat secara teliti, sebelum merumuskan keputusan secara bijaksana, Baginda pemimpin transformatif yang memberi inspirasi kepada pengikut agar sentiasa bersifat tawaduk, amanah dan adil walaupun sesuatu keputusan itu tidak memihak kepada kumpulan atau diri sendiri”.
- "Tokoh-tokoh tersebut (merujuk kepada Iskandar Zulkarnain, Salahuddin Ayyubi, Sultan Alauddin Ri'ayat Shah) adalah kalangan pemimpin progresif yang berpegang kukuh kepada konsep tauhid dan ketuhanan, bersifat tawaduk, amanah dan adil serta sentiasa insaf bahawa pangkat dan jawatan adalah amanah berat."
- "Dalam menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, terutama untuk menghadapi generasi muda, Beta senantiasa mengimbas ingatan akan semangat permuafakatan yang telah terukir di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, satu kontrak sosial menyentuh hubungan Raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan Raja; bahawa rakyat akan kasih dan setia kepada Raja yang adil berlandaskan semangat Raja adil - Raja disembah".
- "Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja 'tidakkan pipis datang melayang - tidakkan bulat datang menggolek',"
Sumber :- Bernama
No comments:
Post a Comment