Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhomat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Daerah Temburung di Brunei dan Limbang di Sarawak, Malaysia.
Majlis perasmian jambatan berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Datuk Seri Najib Kemudiannya menandatangani plak Perasmian Jambatan Persahabatan dan seterusnya memotong riben perasmian. KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Datuk Seri Najib kemudiannya menyaksikan lintas lalu kenderaan yang melalui jambatan ini buat pertama kalinya selepas ianya dirasmikan. Para pemandu dan penumpang kenderaan mengibarkan bendera kebangsaan kedua-dua negara.
Doa selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Baginda dan Datuk Seri Najib kemudiannya berangkat menyaksikan Pameran Pembinaan Jambatan Persahabatan di Antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Para pemimpin kedua belah negara kemudiannya melintas berjalan kaki di atas jambatan persahabatan tersebut sebelum menghadiri majlis santap tengah hari.
Kos pembinaan Jambatan Persahabatan dianggarkan berjumlah BND9 juta atau kira-kira RM21 juta dan dibiayai secara sama rata diantara Malaysia dan Brunei manakala kos jalan hala tuju ke Jambatan Persahabatan adalah di bawah tanggungan negara masing-masing. Pembinaan jambatan ini bermula semenjak 15 Mei 2012 dan siap sepenuhnya pada penghujung November 2013. Jambatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar.
Pembinaan jambatan ini akan melancarkan lagi perjalanan pengguna jalanraya diantara kedua negara tanpa menggunakan perkhidmatan feri penumpang seperti sebelumnya. Pembinaan jambatan ini juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan sekitarnya dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan.
Sumber :- Pelita Brunei / Jabatan Penerangan Brunei
No comments:
Post a Comment