29 November 2015, Ahad :-
Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.
Dukacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pagi tadi jam 01:08 pagi 29 November 2015 bersamaan 17 Safar 1437 Hijrah di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Darul Aman kerana sakit tua dalam usia 86 tahun.
Mengikut jadual jenazah Almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, Alor Setar pada jam 01:00 petang. Jenazah Almarhum akan disemadikan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bagi maksud penghormatan terakhir mulai jam 01:30 petang hingga jam 02:30 petang untuk orang ramai manakala untuk tetamu kenamaan akan bermula pada jam 02:30 petang hingga 03:30 petang.
Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada hari ini lebih kurang jam 04:45 petang. Jenazah akan dibawa ke Makan Diraja melalui jalan-jalan Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.
Dengan kemangkatan ini, bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain akan dikibarkan separuh tiang selama 3 hari bermula hari ini di Negeri Kedah Darul Aman. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini 29 November 2015 hingga 05 Disember 2015. Dalam tempoh perkabungan, segala bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.
Dengan kemangkatan ini, bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain akan dikibarkan separuh tiang selama 3 hari bermula hari ini di Negeri Kedah Darul Aman. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini 29 November 2015 hingga 05 Disember 2015. Dalam tempoh perkabungan, segala bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.
Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 24th September 1929 di Alor Setar dan merupakan adik beradik seibu sebapa dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhum dilantik sebagai Tunku Bendahara Kedah pada 23 Februari 1959 dan dilantik sebagai pewaris tahta dengan gelaran Raja Muda Kedah pada 28 November 1981.
Almarhum berkahwin dengan Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 16 Julai 1956. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata. Isteri Almarhum, Almarhumah Raja Puan Muda mangkat pada tahun ini, 21 September 2015 dalam usia 86 tahun manakala kekanda Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah juga telah mangkat pada tahun ini, 04 November 2015 dalam usia 90 tahun.
Merafak Sembah Takziah kepada Kerabat Diraja Kedah diatas kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Semuga Roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.
Sumber : Putera Kola/The Royal Ark/Pej MB Kedah / MBS Mini Royal Library
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.