Sunday, November 29, 2015

RAJA MUDA KEDAH MANGKAT




29 November 2015, Ahad :-

Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.

Dukacita dimaklumkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pagi tadi jam 01:08 pagi 29 November 2015 bersamaan 17 Safar 1437 Hijrah di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Darul Aman kerana sakit tua dalam usia 86 tahun.

Mengikut jadual jenazah Almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, Alor Setar pada jam 01:00 petang. Jenazah Almarhum akan disemadikan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bagi maksud penghormatan terakhir mulai jam 01:30 petang hingga jam 02:30 petang untuk orang ramai manakala untuk tetamu kenamaan akan bermula pada jam 02:30 petang hingga 03:30 petang.  

Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada hari ini lebih kurang jam 04:45 petang. Jenazah akan dibawa ke Makan Diraja melalui jalan-jalan Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.

Dengan kemangkatan ini, bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain akan dikibarkan separuh tiang selama 3 hari bermula hari ini di Negeri Kedah Darul Aman.  Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari bermula hari ini 29 November 2015 hingga 05 Disember 2015. Dalam tempoh perkabungan, segala bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.


Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 24th September 1929 di Alor Setar dan merupakan adik beradik seibu sebapa dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhum dilantik sebagai Tunku Bendahara Kedah pada 23 Februari 1959 dan dilantik sebagai pewaris tahta dengan gelaran Raja Muda Kedah pada 28 November 1981.




Almarhum berkahwin dengan Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 16 Julai 1956. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata. Isteri Almarhum,  Almarhumah Raja Puan Muda mangkat pada tahun ini, 21 September 2015 dalam usia 86 tahun manakala kekanda Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah juga telah mangkat pada tahun ini, 04 November 2015 dalam usia 90 tahun.

Merafak Sembah Takziah kepada Kerabat Diraja Kedah diatas kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah.  Semuga Roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Sumber : Putera Kola/The Royal Ark/Pej MB Kedah / MBS Mini Royal Library

Friday, November 6, 2015

Istiadat Permakaman Almarhumah YTM Dato' Seri Tunku Hamidah Disempurnakan

06 November 2015, Jumaat :

Istiadat permakaman Allahyarhamah Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Al-Marhum Sultan Badlishah telah selamat disempurnakan semalam 05 November 2015 dengan penuh adat istiadat Diraja Negeri Kedah Darul Aman.  

Almarhumah diputerikan pada 22 September 1926 dan merupakan kekanda seibu sebapa kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhumah mendirikan rumah tanggan dengan Tengku Abdul Aziz Ibni Sultan Sulaiman Bardul Alam Shah (Sultan Terengganu) pada 15 Oktober 1946. Pasangan diraja ini dikurniakan dengan empat putera dan enam puteri dimana empat daripadanya adalah pasangan kembar (dua kembar lelaki dan dua kembar perempuan).

Almarhumah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 04 November 2015 jam 11:50 pagi kerana sakit tua. Jenazah kemudiannya dibawa ke Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.  Istiadat penghormatan terakhir berlangsung di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bermula jam 03:00 petang hingga 07:00 malam. Solat jenazah didakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada jam 09.30 pagi 05 November 2015 disempurnakan oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad. Jenazah kemudiannya berangkat ke Makam Diraja Langgar untuk Istiadat Permakaman menggunakan kenderaan khas.  Istiadat permakaman selesai lebih kurang jam 11:30 tengahari.

Al-Fatihah………… Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Al-Marhum Sultan Badlishah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.





Click gambar untuk imej yang lebih besar.


Click gambar untuk imej yang lebih besar.


Click gambar untuk imej yang lebih besar.



 Click gambar untuk imej yang lebih besar.

Sumber : Putera Kola / Bernama / The Royalark


Wednesday, November 4, 2015

YTM Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah Mangkat

04 November 2015, Rabu :-


Al-Fatihah



Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat tenghari tadi dalam usia 90 tahun.  Jenazah akan dibawa ke Istana Anak Bukit dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah. Semuga Rohnya Yang Teramat Mulia Dato' Seri Tunku Hamidah Binti Almarhum Sultan Badlishah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amien.


Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhumah diatas kemangkatan ini. Almarhumah merupakan kekanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.



Sumber : Istana Anak Bukit/Putera Kola

Piala AFC 2015 - Sultan Johor Bernazar Derma 1 Juta

04 November 2015, Rabu :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam laman facebook milik baginda memaklumkan bahawa baginda akan menderma sebanyak RM 1 juta kepada rumah anak-anak yatim di Johor sebagai menunaikan nazar baginda diatas kemenangan pasukan Johor Darul Takzin (JDT) yang telah menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 yang diadakan di Dushanbe, Tajikistan baru-baru ini.

Baginda juga memaklumkan bahawa anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor,  Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim juga bernazar untuk menderma kepada semua Masjid di Negeri Johor Darul Takzim jika pasukan JDT menjadi juara Piala AFC 2015. Walau bagaimanapun baginda tidak memaklumkan jumlah derma yang akan disumbangkan oleh DYAM Tunku Ismail.

Pasukan JDT menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dengan menewaskan pasukan Istiklol FC 1-0 dalam perlawanan final Piala AFC yang berlangsung di Stadium Central Republik Dushanbe, Tajikstan pada 31 Oktober 2015.  Gol disumbangkan oleh pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22.

Sempena kemenangan ini,  Negeri Johor telah mengisytiharkan 01 November 2015 lalu sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh Negeri Johor.  Warga Johor akan berpeluang melihat Piala berkenaan dari dekat apabila iannya akan dipamerkan diseluruh daerah di Negeri Johor selepas keberangkatan tiba DYAM Tunku Ismail ke Johor pada 18 November 2015.


Sumber : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar FB / Kosmo