Khutbah Jumaat pada hari ini bertajuk Agama Dimartabat, Raja Didaulat. Khutbah khas pada hari ini 06 Jun 2014 bersamaan 08 Sya'ban 1435H adalah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV. Marilah kita bersama-sama menghayati teks Khutbah Jumaat berkenaan.
“AGAMA DIMARTABAT, RAJA DIDAULAT”
(6 JUN 2014 / 8 SYA’BAN 1435H )
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketaqwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 7 Jun 2014; maka tajuk khutbah pada hari ini ialah “Agama Dimartabat, Raja Didaulat”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada fakta sejarah dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke-7 Masihi dan seterusnya berkembang maju sehingga ke hari ini, maka ianya telah merubah corak pentadbiran dan Kesultanan Melayu dengan meletakkan kuasa Sultan atau Raja pada hirarki yang tertinggi dalam struktur sosio-politik. Sebagai teras kepada pentadbiran negara Sultan ataupun Raja juga merupakan teras kepada perkembangan Islam di negara ini. Yakinlah bahawa pewujudan bangsa dan negara ini atas menjunjung ketinggian dasar agama Islam dan memartabatkan bangsa Melayu sehingga membentuk sebuah negara yang berdaulat. Justeru, sebagai rakyat kita seharusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan seorang Raja dan Pemimpin yang sentiasa adil serta kasih terhadap rakyatnya. Usaha untuk mewujudkan keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat sejagat adalah sebahagian sifat ketaqwaan. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.
Pemerintah yang melaksanakan kebaikan dan berlaku adil untuk rakyat akan mendapat pahala daripada Allah SWT dan begitu juga bagi rakyat yang mentaati akan mendapat ganjaran yang sama. Sabda Rasullullah SAW:
Maksudnya: “Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya,manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.”
(Riwayat at-Tabarani)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jelas sekali bahawa perkara 3 (2) Di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa Yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Melaka. Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan. Justeru posisi dan kedudukan Yang di Pertuan Agong sebagai ketua Negara dan agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab yang amat besar. Ini terkandung di dalam lafaz sumpah jawatan Yang di Pertuan Agong, sebagaimana terkandung dalam Perkara 37, Jadual keempat iaitu Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa.
Mimbar ingin menyatakan bahawa secara tersiratnya pengekalan Institusi Raja-Raja Melayu di Negara ini adalah satu kesinambungan mengekalkan identiti sebuah Kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat berpayung mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama Persekutuan. Janganlah ada dari kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan peribadi dan ideologi masing-masing.
Bagaimanapun, akhir-akhir ini kita dapati berbagai usaha yang terancang telah diatur bagi menggugat dan mencabar kedudukan Islam dan hak kebebasan yang dibenarkan oleh agama Islam. Ia bukan sahaja digerakkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam negara yang dipromosi melalui media-media baru. Malah gerakan seperti ini juga mendapat sokongan rakan-rakan sealiran dengan mereka di peringkat antarabangsa. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisme dan liberalisme agama serta budaya Hedonisme yang semakin hari makin berkembang berlaku di negara umat Islam.
Gerakan untuk mencabar keutuhan kesusilaan dan kemurnian ajaran Islam ini dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran budaya kebebasan melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) dan perjuangan anti-diskriminasi yang bertopengkan atas nama NGO-NGO tertentu.
Persoalan besar timbul di sini apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa umat Islam yang semakin jauh dari petunjuk sebenar iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabawiah, tidak berupaya menangkis pertembungan antara yang hak dan batil iatu keimanan dan kekufuran. Unsur Taklidiah yang menebal dengan mengikut tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang sebenar.
Justeru, bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menolak budaya melampau ini, jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Bersatulah dengan hati yang ikhlas dan berpeganglah kepada aqidah dan syariat Islam yang sebenar.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi budaya dan agama mereka. Kita amat bersyukur dan menjunjung kasih dalam suasana genting dan gawat, Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah berjaya mengurangkan ketegangan politik, menjaga keluhuran aqidah, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol perpaduan rakyat di negara ini.
Oleh itu sebagai ketua agama Islam, memperlihatkan kepada kita bahawa amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong amatlah besar. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong hendaklah sentiasa memberikan taat setia yang tidak berbelahbahagi kepada pemerintah tertinggi negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar Jumaat menyeru supaya para jemaah dan rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan berpanjangan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni al-Marhum Sultan Badlishah sempena sambutan hari Ulangtahun Keputeraan Yang di Pertuan Agong pada 7 Jun 2014. Marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Baginda sepanjang bersemayam di takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekalian sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan. Agama terus dimartabatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT Yang Maha Esa dan institusi Raja terus didaulatkan. Justeru, kita doakan agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa kepada malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan sesama kita, semoga seluruh rakyat sentiasa hidup aman damai berlandaskan keadilan, menikmati kemakmuran dan kesejahteraan serta keselamatan terpelihara sepanjang zaman.
Sumber :- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.