Sunday, September 29, 2013

Gambar Terbaru Tunku Puan Nora Ismail


29 September 2013, Ahad :-

Ini adalah gambar terbaru Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Ismail yang diambil pada 27 September lepas sewaktu YAM Tunku Puan Nora menghadiri majlis pengkebumian kekandanya Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah binti Tengku Ahmad di Kota Baharu Kelantan.  Kepada yang tidak mengenali Tunku Puan, beliau merupakan bekas Sultanah Johor dan permaisuri kepada Sultan Johor ke-3 Era Moden, Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Beliau juga merupakan Nenda Tiri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor sekarang. Tunku Puan berusia 76 tahun dan menetap di Green Lodge, Johor Baharu, Johor.


YAM Tunku Puan Nora Ismail sewaktu bergelar DYMM Sultanah Nora

Tunku Puan diputerikan pada 10 Oktober 1937 di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan dan merupakan puteri kepada Tengku Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tengku Long Ahmad Panglima Raja dari keluarga Diraja Kelantan. Tunku Puan berkahwin dengan Almarhum Sultan Ismail pada 13 September 1977 dan ditabalkan sebagai Sultanah Johor pada 28 Oktober 1978 dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nora.  Selepas kemangkatan Paduka suaminya pada 10 Mei 1981, gelaran hormat bagi beliau adalah Yang Maha Mulia Sultanah Nora Ismail. Perkahwinannya dengan Almarhum Sultan Ismail tidak dikurniakan sebarang cahayamata.

Walau bagaimanapun setelah Sultan Ibrahim menaiki tahta Johor pada 23 Januari 2010 sebagai Sultan Johor ke-5 Era Moden, baginda telah memberikan gelaran hormat yang baru kepada Sultanah Nora iaitu Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora. Gelaran baru ini berkuatkuasa mulai 17 Februari 2011 dan segala urusan rasmi kepada beliau hendaklah menggunakan gelaran Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora dan hendaklah dibahasakan sebagai Tunku Puan atau Tunku sahaja dan bukannya Tuanku.

Sila Click Entry Syah terdahulu mengenai Tunku Puan yang berkaitan dengan entry ini :-
  1. Gelaran Baru Sultanah Nora dan Sultanah Zanariah
  2. Tengku Long Ahmad Panglima Raja
  3. Dato' Tengku Noor Asiah Mangkat

Sumber :- MBS

Saturday, September 28, 2013

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Santapan Beradab Sempena Hari ATM ke-80


28 September 2013, Sabtu :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Beradab Sempena Hari Angkatan Tentera Makaysia (ATM) ke-80. Turut serta mengiringi baginda dalam majlis yang diadakan di Wisma Perwira, Jalan Semarak, Kuala Lumpur adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Sumber :- Bernama

Thursday, September 26, 2013

Majlis Meletakkan Batu Asas Pembinaan Masjid Ubudiah Pada 26 September 1913


Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah

26 September 2013, Khamis - 

Tahukah anda pada 26 September 1913, Sultan Perak ke-28 Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul  Adzam Shah I telah berkenan mencemar duli meletakkan batu asas pembinaan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Bandar Diraja Kuala Kangsar.  Masjid ini juga kadangkala disebut sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Masjid ini dibina atas nazar baginda yang pulih dari kegeringan. Semasa mendapat rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, baginda telah bernazar jika kesihatan baginda pulih, baginda akan membina sebuah masjid di Bukit Chandan. Setelah keadaan baginda sihat dan baginda kembali semula ke Kuala Kangsar, baginda telah menitahkan Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk mereka bentuk sebuah masjid sepertimana yang diinginkan oleh baginda.

Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah meletakkan Batu Asas Pembinaan Masjid Ubudiah.

Pada mulanya pembinaan masjid ini berjalan lancar tetapi telah tergendala buat beberapa ketika kerana batu mamar yang ditempah dari Itali untuk pembinaan masjid ini telah rosak teruk dipijak gajah.  Insiden ini berlaku apabila gajah kepunyaan baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya Kulup Said bertempur dengan gajah kepunyaan Raja Sir Chulan Ibni Sultan Abdullah bernama Kulub Gangga dan gembalanya Uda Debok. Pertempuran ini berlanjutan hinga beberapa jam menyebabkan batu-batu mamar berkenaan pecah dipijak gajah tersebut. Orang ramai cuba menenangkan gajah berkenaan tetapi tidak berhasil sehinggalah Raja Sir Chulan datang ketempat kejadian dan menyeru nama gajahnya baru pertelengkahan antara dua gajah tersebut dapat dileraikan.

Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah bersama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Arthur Young di upacara Meletakkan Batu Asas Masjid Ubudiah.

Batu-batu mamar yang pecah harus ditempah semula dari Itali.   Walau bagaimanapun stock batu mamar berkenaan lambat tiba kerana berlakunya Perang Dunia Pertama di Eropah ketika itu. Batu-batu mamar berkenaan terpaksa dibawa melalui Afrika Selatan.  Kos pembinaan Masjid Ubudiah diangarkan kira-kira $22,000.00. Masjid ini siap sepenuhnya pada 1917 dan baginda tidak sempat merasmikannya kerana telah mangkat pada 14 Januari 1916.  Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Perak ke-29, Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Sumber :- Raja Nur Janah / Wikipedia

Dato' Tengku Noor Asiah Mangkat


26 September 2013, Khamis :-


Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (انا لله وانا اليه راجعون).  Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang Kerabat Diraja Kelantan, Dato' Tengku Noor Asiah binti Tengku Ahmad mangkat diInstitut Jantung Negara sebentar tadi (25 September) lebih kurang jam 22:30hrs. Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah merupakan kekanda kepada Yang Amat Mulia Tunku Puan Nora Ismail dan Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah (Mantan Sultanah Johor) dari bonda yang berlainan.  Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah berusia 83 tahun ke IJN untuk mendapatkan rawatan perubatan pada Ahad lepas dan dimasukkan ke wad pada Isnin. Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah dilaporkan berada dalam keadaan stabil sehinggalah Allahyarhamah diserang 'minor heart attack" tengahari semalam dan keadaan Allahyarhamah bertambah serius sehingga menggunakan alat bantuan hayat sebelum disahkan mangkat pada sebelah malamnya.

Jenazah akan diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu bersama-sama YAM Tunku Puan Nora Ismail dan YAM Tunku Puan Zanariah dan dijangka tiba pagi ini jam 09:30hrs. Jenazah akan dibawa ke kediaman Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah di Taman Nor Mansor, Jalan Teipot, Kota Baharu, Kelantan sebelum dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Baharu, Kelantan mungkin selepas Solat Asar. Raja Perempuan Perlis dijanga akan menghadiri majlis permakaman Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah. 

Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah meninggalkan seorang suami, Abdul Nasir Abdul Rahman berusia 45 tahun beserta tujuh anak lelaki dan dua perempuan hasil daripada dua perkahwinan terdahulu Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah dengan suaminya Tengku Shamsudin dan Mohd Zain.


Al-Fatihah ......... Semuga Rohnya Allahyarhamah Dato' Tengku Noor Asiah binti Tengku Ahmad ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin

Wednesday, September 25, 2013

Sultan Muzaffar Shah III, Sultan Perak ke-13 Mangkat Pada 25 September 1754


25 September 2013, Rabu :-

Hari ini genaplah 259 tahun kemangkatan Sultan Perak ke-13, Almarhum Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah III ibni Almarhum Raja Mansur.  Almarhum mangkat pada 25 September 1754 dan dimakamkan di Brahman Indera atau Bota Kanan, Perak dan dikenali dengan panggilan Marhum Haji Allah. Almarhum merupakan putera kepada Almarhum Raja Mansor, Yang Dipertuan Muda Pulau Tiga dan semasa menjadi Raja Muda, Almarhum bersemayam di Bernam dan kemudiannya bersemayam di Brahman Indera apabila menjadi Sultan Perak. Almarhum menaiki tahta sebagai Sultan Perak pada tahun 1928 hingga 1752. Pada tahun 1978, makam Almarhum telah diwartakan sebagai Tapak Tanah Bersejarah mengikut Akta Bendapurba tahun 1976.  

Semasa pemerintahan Almarhum terdapat perselisihan faham diantara Almarhum dan adinda baginda, Raja Bisnu yang merupakan Raja Muda ketika itu yang mendapat sokongan kuat daripada Daeng Chelak, Yam Tuan Riau.  Raja Bisnu kemudiannya diangkat menjadi Sultan Perak ke-14 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah dan bersemayam di Pulau Tiga mulai 1744 - 1750. Almarhum Sultan Muzaffar Shah III terpaksa berundur dan bersemayam di Sayong. Ketika ini negeri Perak mempunyai dua orang Sultan. Walau bagaimanapun akhirnya setelah mendapat kata muafakat dari kedua-dua belah pihak, akhirnya Almarhum menjadi Sultan Perak semula manakala Raja Bisnu kembali kejawatan asalnya iaitu Raja Muda.


Al-Fatihah ........... Semuga  Rohnya Almarhum Paduka Seri Sultan Muzafar Shah III (Marhum Haji Allah) ibni Almarhum Raja Mansur ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.

Sumber :- Hari Ini Dalam Sejarah / dinbatubara / Biografi Bergambar DYMM Sultan Azlan Shah /Orang Dua Belas

Tuanku Ibrahim Terima Sumbangan TNB Untuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor

25 September 2013, Selasa :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan menerima sumbangan berjumlah RM100,000.00 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB)  untuk tajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor. Replika cek disampaikan oleh Pengurus Besar TNB Johor, Mohd Yusoff Ibrahim kepada Tuanku Ibrahim dalam satu majlis yang diadakan di Istana Pasir Pelangi, Johor Baharu, Johor. Turut serta dalam majlis ini adalah adik ipar baginda yang juga merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Presiden Persatuan Hoki Johor, Jais Sardy.

Sumber :- Bernama

Tuesday, September 24, 2013

Pengiran Muda Mahkota Brunei Selamat Berangkat Tiba Ke New York

24 September 2013, Isnin :-

Semalam Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman telah selamat sampai ke New York, USA. Keberangkatan baginda ke New York adalah sebagai wakil kepada Sultan Brunei untuk menghadiri Sesi Ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Keberangkatan tiba baginda berdua dan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York disambut oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Dato Paduka Awang Haji Yussof bin Haji Abdul Hamid dan isteri ; Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke PBB di New York, Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghafar bin Haji Ismail dan isteri serta pegawai-pegawai daripada Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat dan Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam di New York. 

Perdebatan Umum Sesi Ke-68 Perhimpunan Agung PBB pada kali ini akan bermula pada 24 September 2013 hingga 01 Oktober 2013 di Ibu Pejabat PBB di New York dengan tema ‘Post-2015 Development Agenda: Setting The Stage’ 

Sumber :- Pelita Brunei

Monday, September 23, 2013

Tuanku Abdul Halim Hadiri Istiadat Konvokesyen ke-4 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

23 November 2013, Isnin :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-4 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.  Istiadat Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun. Terdahulu Tuanku Abdul Halim berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat pada Istiadat Konvokesyen ini.

Sumber - Bernama

Sunday, September 22, 2013

Abu Bekas Rajah Muda Sarawak Disemadikan Di Sarawak


Bekas Abu Mendiang Anthony Walter Dayrell Brooke

22 September 2013. Ahad :-

Semalam Abu Mayat Mendiang Anthony Walter Dayrell Brooke yang merupakan bekas Rajah Muda terakhir Sarawak semasa era pemerintahan Brooke atau Rajah Putih di Sarawak telah selamat disempurnakan di Kuching, Sarawak. Majlis Keagamaan dan Pengkebumian ini berlangsung di Gereja St. Thomas bagi menunaikan hasrat terakhir mendiang agar ianya disemadikan di tanah perkuburan keluarga Brooke yang terletak berhampiran Kubu Margherita dan ASTANA, kediaman rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.



Mendiang Anthony Walter Dayrell Brooke meninggal dunia dalam usia 98 tahun pada 02 Mac 2011 dikedimannya di Rumah Brooke, Wanganui, New Zealand. Mendiang pernah memangku jawatan Rajah Sarawak pada tahun 1939 hingga 1940 iaitu jawatan yang disandang oleh bapa saudaranya, Rajah Charles Vyner Brooke, Rajah Sarawak terakhir.  Mendiang dilahirkan pada 10 Disember 1912 dan dilantik sebagai Rajah Muda Sarawak pada 25 Ogos 1937. Gelaran mendinag ketika itu adalah Yang Amat Mulia Tuan Rajah Muda Sarawak.

Mendiang dibesarkan di England dan mendapat pendidikan di Eito College sebelum menyambung pelajarannya di Trinity College, Cambridge dan Oriential Studies, University of London. Pada awal 1930an mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam sektor awam di Sarawak termasuk Jabatan Tanah dan Pendaftaran serta pernah menjadi majistret. 

Mendiang dilucutkan dari jawatannya sebagai Rajah Muda Sarawak pada 17 Januari 1940 dan kemudiannya dikeluarkan dari Sarawak pada September 1941.  Insiden ini berlaku kerana terdapat perselisihan faham diantara mendiang dan Rajah Charles Vyner Brooke diatas perkahwinan mendiang dengan seorang wanita kebanyakan, Kathleen Mary Hudden yang merupakan adik beradik kepada salah seorang pegawai kerajaan Sarawak. Mendiang kemudiannya menyertai Tentera British pada November 1941 dan berkhidmat dengan Tentera British semasa Perang Dunia Kedua.


Mendiang berkahwin sebanyak dua kali, pertama dengan Kathleen Mary Hudden dan berpisah pada tahun 1965.  Mendiang kemudiannya berkahwin dengan Brigitte Keller pada 1982. Hasil perkahwinan pertamanya, mendiang dikurniakan tiga orang cahayamata iaitu James Bertram Lionel Brooke (1940), Angela Carole Brooke (1942) dan Celia Margaret Brooke (03 November 1944) manakala dengan perkahwinan keduanya mendiang tidak dikurniakan sebarang cahayamata.

Semasa era perang dunia kedua, tentera Jepun telah menyerang Sarawak pada 25 Disember 1941 menyebabkan Rajah Sarawak, Rajah Charles Vyner Brooke bersama keluarganya melarikan diri ke Sydney, Australia.  Setelah tamat perang, Rajah Charles Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak pada 15 April 1946 dan menjadi Rajah Sarawak semula sehingga 01 Julai 1946 sebelum menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British.  Dengan ini berakhirlah era pemerintahan Brooke atau Rajah Putih di Sarawak. 

Sumber :- Bernama / Wikipedia / Melanaublogger 

Saturday, September 21, 2013

Sultan Johor Hadiri Pengkebumian Ayah Kepada Menteri Besar Johor


Kelihatan Tuanku Ibrahim (bultan merah) berada di Tanah Perkuburan Mahmoodiah untuk menghadiri pengkebumian Allahyarham Nordin bin Johari

21 September 2013, Sabtu :-

Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan menziarahi jenazah dan menghadiri pengkebumian ayah kepada Menteri Besar Johor, Dato' Seri Mohamed Khalid Nordin.  Tuanku Ibrahim memandu sendiri kereta untuk menziarahi jenazah di Masjid Taman Perling dan kemudiannya ke tanah perkuburan Mahmoodiah, Johor Baharu, Johor. Allahyarham Nordin bin Johari berusia 81 tahun merupakan bekas Pegawai Istana Johor meninggalkan seorang isteri Marina Shukri berusia 72 tahun, tujuh orang cahayamata dan 17 cucu serta seorang cicit.

Takziah diucapkan kepada Dato' Seri Mohamed Khalid Nordin diatas kehilangan ini semuga rohnya Allahyarham Nordin bin Johari ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal sollah, Amin. Al-Fatihah ........... Allahyarham  meninggal dunia jam 12:30hrs di Hospital Pakar Puteri semalam kerana masalah buah pinggang.  Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan semenjak Selasa lepas.

Dato' Seri Mohamed Khalid yang bergesas balik dari Cina, sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail jam 17:20hrs dan sempat mengucup jenazah ayahnya di Tanah Perkuburan Mahmoodiah sebelum jenazah dikebumikan selepas Solat Asar. 

Sumber :- Kesultanan Johor / ABN News  

Thursday, September 19, 2013

Tuanku Abdul Halim Menghadiri Majlis Sambutan Negara Sempena Lawatan Rasmi Presiden Singapura

19 September 2013, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan menghadiri majlis sambutan negara sempena lawatan rasmi Presiden Singapura, Dr. Tony Tan Keng Yam. Presiden Singapura berserta isteri, Mary Chee Bee Kiang dan rombongan akan berada di Malaysia untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula semalam. Selepas lagu kebangsaan Malaysia dan Singapura dimainkan,  Presiden Singapura telah memeriksa Kawalan Kehormat yang terdiri daripada 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejor Mohamad abdullah. Acara kemudiannya disusuli dengan tembakan 21 das meriam. Majlis yang diadakan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.


Pada sebelah malamnya pula telah diadakan jamuan negara bagi meraikan Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam di Istana Negara Jalan Duta. Dalam titah baginda, baginda yakin hubungan diantara kedua negara akan terus diperkukuhkan pada setiap peringkat, termasuk dikalangan generasi muda disamping menggalakkan sikap saling menghormati dan meningkatkan persefahaman bagi mengeratkan lagi hubungan dimasa akan datang.  Titah baginda lagi, selama ini Malaysia dan Singapura saling membantu dan bekerjasama dalam pelbagai aspek demi faedah kedua-dua negara terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Tambah baginda lagi, peningkatan kemudahan perhubungan dan akses merentas sempadan antara kedua-dua negara akan merapatkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura.

Sumber :- Bernama

Wednesday, September 18, 2013

Sultan Brunei Hadiri Majlis Persantapan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-67

18 September 2013, Rabu :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah  berkenan berangkat ke Majlis Persantapan untuk Pegawai-Pegawai Keselamatan dan Pegawai Yang Beruniform serta Pertubuhan-Pertubuhan Awam Yang Beruniform sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-67 yang berlangsung di Istana Nurul Iman. Sebelum majlis bermula, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

 Di majlis ini juga, baginda telah berkenan beramah mesra dan menerima mengadap para pegawai dan anggota pasukan beruniform terdiri dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Penjara.  Dalam majlis ini juga baginda juga meraikan ahli-ahli pertubuhan sukarelawan antaranya terdiri dari Kadet ABDB, Kadet PDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei / Pelitabrunei

Tuesday, September 17, 2013

Tuanku Abdul Halim Akhiri Lawatan Rasmi Ke Sarawak


17 September 2013, Selasa :-

Petang tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Sarawak bermula 15 September lepas. Turut mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka Baginda berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah ; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi serta barisan anggota kabinet Sarawak.

Kelihatan Tuanku Abdul Halim  menerima sembah tabik Hormat Diraja dari Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja.  Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya dipersembahkan dengan tarian singa dan tarian kebudayaan Sarawak sebelum berangkat menaiki pesawat.

Sumber :- Bernama

Sultan Ibrahim, Sultan Johor Ke-2 Era Moden Diputerakan Pada 17 September

17 September 2013, Selasa :-

Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar merupakan Sultan Johor ke-2 Era Moden dan Sultan Johor ke-22.  Almarhum diputerakan pada hari ini 17 September tahun 1873 di Istana Bidadari, Singapura oleh bondanya Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah binti Abdullah atau Cecilia Catherina Lange.  Bonda baginda merupakan seorang wanita berketurunan Denmark dan Cina.

Almarhum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 23 Mei 1891 dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Besar, Johor Baharu.  Almarhum menaiki tahta pada 04 Jun 1895 selepas kemangkatan Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar di London. Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 07 September 1895 sebelum jenazah Sultan Abu Bakar dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Baharu pada hari yang sama. Istiadat Pengmahkotaan (pertabalan) Almarhum sebagai Sultan Johor dijalankan pada 02 November 1895.  

Salah satu keistemewaan Almarhum Sultan Ibrahim adalah dimana baginda telah menerima penasihat inggeris di Johor tetapi dalam masa yang sama Almarhum dapat mengekalkan kuasa pemerintahan baginda tidak sepertimana Raja-Raja Melayu lainnya dimana mereka hanya berkuasa terhadap perkara-perkara yang melibatkan adat Istiadat Melayu dan agama Islam sahaja.

Baginda berkahwin sebanyak enam kali dan dikurniakan empat orang putera dan seorang puteri. Baginda mangkat di London (Grosvenor House) pada 08 Mei 1959 dan digantikan oleh putera baginda Tunku Ismail yang kemudiannya bergelar Sultan Ismail.

Sila click entry Syah sebelum ini yang berkaitan ayahanda dan bonda Almarhum :-
Sumber :- Kesultanan Johor / Johorselamanya.blogspot / MBS

Monday, September 16, 2013

Tuanku Abdul Halim Dan Tuanku Hajah Haminah Menghadiri Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia


16 September 2013, Isnin :-


Pagi tadi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.  Diantara kenamaan yang turut serta dalam istiadat yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching ini adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah ;  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ; Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Sumber :- Bernama

Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Brunei Ke-67 Meriah

16 September 2013, Isnin:- 

Semalam 15 September 2013, telah diadakan beberapa program sempena sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan atau Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-67. Sambutan sepatutnya diadakan pada Julai lepas tetapi ditunda hingga hari ini kerana pada waktu itu bulan Julai jatuh  dalam bulan Ramadhan dalam kalendar Islam. 


Aturcara Memperingati Hari Puja Usia Ke-67 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saiffuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dimulai dengan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Bagawan awal pagi tadi. Keberangkatan tiba Tuanku Sultan Brunei dan kerabat diraja dialu-alukan dengan kibaran bendera dan pukulan hadrah oleh penuntut-penuntut sekolah menengah ynag berbaris disepanjang jalan menuju ke Istiadat Barisan Kehormat.

Tuanku Sultan Brunei kemudiannya berkenan menerima hormat diraja dengan diiringi Lagu Kebangsaan Brunei "Allah Peliharakan Sultan" oleh Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Brunei dan PasukanPolis Diraja Brunei diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das. Tuanku Sultan Brunei kemudiannya berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan yang terdiri daripada anggota-anggota Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TUDB),Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), PDB,  jabatan-Kemudian pasukan-pasukan perbarisan beruniform termasuk Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Perkhidmatan Bomba Penerbangan Awam dan pertubuhan-pertubuhan awam seperti Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persekutuan Bulan Sabit Merah, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat dan Program Khidmat Bakti Negara.

Pasukan yang membawa Panji-Panji Kebawah DYMM, Panji-Panji Pasukan ABDB dan Panji-Panji Diraja PDB mengambil tempat dengan berjalan lalu di depan pentas diraja dalam gerak perlahan dan cepat di bawah pimpinan Pemerintah Perbarisan, 409 Leftenan Kolonel Mohd. Zulkarnain bin Haji Abd. Wahab. Laungan tiga kali ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ disembahkan oleh kesemua pasukan yang mengambil bahagian merupakan acara kemuncak istiadat disusuli dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB yang mengeluarkan kepulan asap berwarna-warni. 

Istiadat ini turut dihadiri oleh tetamu khas dari negara jiran seperti Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib bin Mahmud dan dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Raghad Kurdi Taib; Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Dato Seri Paduka Datuk  Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Hajah Faridah binti Haji Tussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lim Swee Say dan Menteri Sekretaris Negara Republik Indonesia, Leftenan Jenderal TNI (Purn) Sudi Silalahi serta Ibu Sri Rahayu Mulyani.

Selepas Istiadat Barisan Kehormat diadakan pula Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormat. Istiadat berlangsung di Balai Singahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman dimulai dengan titah Tuanku Sultan Brunei diikut dengan pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormat Negara Brunei Darussalam kepada 24 orang penerima.Istiadat ini dihadiri oleh kerabat-kerabat diraja Brunei, tetamu-tetamu khas Tuanku Sultan Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Menteri-Menteri Pendalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Dalam istiadat ini doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.



Akhir sekali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohammad Alam telah berkenan mencemar duli menerima mengadap secara berasingan tetamu-tetamu khas  luar negara yang dijemput sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Brunei pada tahun ini.

Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Persantapan bersempena memperingati Hari Puja Usia Ke-67 Tahun  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Seramai 3,000 tetamu menghadiri Majlis Persantapan yang diadakan di Istana Nurul Iman.




 Sumber :- Pelitabrunei/Jabatan Penerangan Brunei

Sunday, September 15, 2013

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Sarawak


15 September 2013, Ahad :- 


Shukur Alhamdulillah sebentar tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah selamat berangkat tiba ke Kuching, Sarawak.  Pesawat Diraja mendarat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11:30 hrs. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua ke Sarawak adalah untuk menghadiri Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah serta Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu yang juga merupakan pengerusi pengelola sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

Malam ini Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan untuk menyaksikan perarakan kapal berhias di tebing sungai Kuching manakala pagi esok Seri Paduka Baginda berdua dijadual menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka. Pada sebelah petangnya pula, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan melawat pameran Sarawak Gemilang 50 Tahun bertempat di Kompleks Pelancongan Sarawak. Petang esok juga, Tuanku Hajah Haminah  dijadualkan melawat Taman Orkid berhampiran Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya. Pada sebelah malamnya pula, Tuanku Abdul Halim dijadual merasmikan Komplek Islam Sarawak di Jalan P. Ramlee.

Pada pagi Selasa, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengambil bahagian dalam satu acara golf di Kelab Golf Sarawak sebelum berangkat pulang ke Semenanjung pada  sebelah petangnya.

Sumber :- Bernama


Saturday, September 14, 2013

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-92 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Serawak

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menerima anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng.

14 September 2013, Sabtu :-

Hari ini Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng telah berkenan menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-92 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Dalam istiadat hari ini seramai 39 individu telah menerima darjah kebesaran negeri Sarawak daripada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya. Turut hadir dalam istiadat ini adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menteri kabinet negeri dan tetamu kehormat lainnya.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak,  Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas dianugerahkan Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran 'Datuk Amar' manakala Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Presiden Limkokwing University of Creative Technology Tan Sri Lim Kok Wing, pula menerima anugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah beramah mesra dengan para tetamu semasa Istiadat  Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak.


individu menerima anugerah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk' termasuk Pengerusi Eksekutif National Aerospace and Defence Industry Sdn Bhd, Tan Sri Ahmad Johan ; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri,Tan Sri Shukry Mohd Salleh ; bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng ; Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak,  Julaihi Narawi ; Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr Jerip Susil ; Menteri Muda Perumahan Sarawak,  Abdul Karim Rahman Hamzah ; Panglima 1 Divisyen,  Mej-Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar ; Pengarah Urusan Bina Puri Construction Sdn Bhd, Datuk Henry Tee Hock Hin dan Datuk Ismail Hashim. Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Torstein Dale Sjotveit merupakan penerima tunggal PGBK (Kehormat).  

Enam individu menerima anugerah Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu' termasuk Mufti Kerajaan Negeri Sarawak,  Kipli Yassin ; Pengarah Yayasan Sarawak, Mohamad Abu Bakar Marzuki ; Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak, Laura Lee Ngien Hion dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak,  Datuk Law Hong Soon. 18 individu menerima anugerah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Dato' manakala pemuzik dari Indonesia Idris Sardi merupakan penerima tunggal PSBS (Kehormat).

Tahniah diucapkan kepada penerima-penerima darjah kebesaran negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-92 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Sumber :- Bernama

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Hadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-92



14 September 2013, Sabtu :-

Pagi tadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-92. Turut serta dalam istiadat ini adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menaiki kenderaan khas untuk melakukan pemeriksaan Perbarisan Kehormat dalam istiadat ini.  Beliau dan isteri kemudiannya bersama Ketua Menteri Sarawak serta isteri memotong kek hari kelahiran Yang di-Pertua Negeri ke-92. Beberapa kontijen yang terdiri daripada kakitangan sektor awam dan swasta serta pusat pengajian tinggi turut serta mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan.  



Sumber :- Bernama

Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin


14 September 2013, Sabtu :- 

Malam tadi telah diadakan Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng di Masjid Jamek, Petra Jaya di Kuching, Sarawak. Turut serta dalam majlis ini adalah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Kelihatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng (berbaju Melayu warna merah) di Masjid Jamek Petra Jaya.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Louis dikalangan teman-teman rapat dan kenalannya diputerakan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu, Sarawak dan satu-satunya anak lelaki kepada Allahyarham Abang Barieng bin Abang Anyut yang merupakan seorang ketua kaum Melanau yang amat dikenali dan disegani. Walaupun berusia 92 tahun, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin masih lagi kelihatan sihat dan cergas bagi menjalankan tugas-tugas rasmi yang diamanahkan kepada beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin merupakan individu pertama yang dilantik buat kali kedua sebagai Yang di-Pertua Negeri.  Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak buat pertama kalinya pada tahun 1977 sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-3 dan buat kali keduanya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-6 bermula tahun 2000 hingga kini.  Perlantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak adalah seperti berikut :-

  • Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 02April 1977 hingga 01 April 1981;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2000 selama tempoh 4 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2004 selama tempoh 2 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2006 selama tempoh 2 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2008 selama tempoh 1 tahun;
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2009 selama tempoh 2 tahun; dan
  • Dilantik semula pada 05 Disember 2011 selama tempoh 2 tahun.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin berkahwin sebanyak dua kali.  Isteri pertama beliau, Allahyarhamah Toh Puan Hajah Dayang Umi Kalthum telah meninggal dunia dan isteri beliau sekarang adalah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah. Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad mempunyai sembilan orang cahayamata dan 30 orang cucu serta telah bercicit.

Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Lahir ke-92 tahun kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng  semuga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.

Sumber :- Bernama / Radin / Wikipedia / Portal Majlis Raja-Raja Melayu

Friday, September 13, 2013

Tuanku Abdul Halim Sampaikan Watikah Perlantikan Kepada Bakal Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia Ke Luar Negara


13 September 2013, Jumaat :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli menghadiri Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan kepada bakal ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar Negara. Istiadat dijalankan di Istana Negara.  Kelihatan Tuanku Abdul Halim menyampaikan Watikah Perlantikan bakal Duta Besar Malaysia ke Korea, Datuk Rohana Ramli.  Diantara bakal ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar Negara yang menerima watikah perlantikan pada hari ini adalah bakal Duta Malaysia ke Kemboja, Raszlan Abdul Rashid ; bakal Duta Malaysia ke Jerman, Datuk Salman Ahmad ; bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Awang Sahak Awang Salleh ; bakal Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar dan  bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea, Jilid Kuminding.

Sumber :- Bernama