Sunday, January 27, 2013

Pedang Cura Simanja Kini dan Mengapa Melayu Dilarang Derhaka Kepada Sultan

27 Januari 2013, Ahad :-


Alat-alat kebesaran diraja negeri Perak Darul Ridzuan merupakan peralatan yang paling unggul dan amat dihormati kerana usianya yang menjangkau ratusan tahun dan digunakan didalam istiadat pertabalan sesorang Sultan Perak Darul Ridzuan. Kesultanan Melayu Perak diasaskan 485 tahun lalu dan semenjak itu, peralatan berkenaan telah ada malah sebahagian daripadanya berusia lebih lama lagi terutamanya peralatan yang diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka. Ada juga sesetengah daripada peralatan ini digunakan oleh Sultan dan Raja Perempuan/Raja Pemaisuri dalam sesetengah istiadat atau upacara kebesaran diraja yang lain selain dari Pertabalan. Pedang Cura Simanja Kini, Rantai Bunga Niyur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cop Halilintar merupakan sebahagian alat kebesaran yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka daripada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.

Manakala alat-alat kebesaran yang lain seperti Puan Naga Taru, Puan Bujur (tepak sireh emas), Keris Warisan Bermata Emas dan Keris Taming Sari merupakan alat kebesaran negeri yang turut dibawa oleh Sultan Perak Pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I semasa pertabalan baginda pada 1528. Baginda merupakan putera kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah.  Walau bagaimanapun dikatakan terdapat beberapa peralatan asal yang telah hilang dalam peredaran zaman.  Ada beberapa alat lagi ditambah sebagai alat kebesaran dari masa kesemasa seperti Lembing Kerajaan (16), Payung Kerajaan (16) dan Payung Diraja (2).

Hari ini Syah hendak berkongsi maklumat dengan anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini. Mengikut sumber lisan, Pedang Cura Simanja Kini adalah kepunyaan Nila Utama atau Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana atau disebut sebagai Sang Sapurba yang merupakan Raja Palembang dari Bukit Siguntang Mahameru, Palembang.  Pedang ini juga telah menyelamatkan Minangkabau dari keganasan ular Saktimuna apabila Sang Sapurba mengarahkan Permasku Mambang menggunakan pedang ini untuk membunuh ular Saktimuna. Pedang Cura Simanja Kini telah diwarisi oleh putera Sang Sapurba iaitu Sang Nila Utama atau Parameswara   dan dipakai oleh Parameswara ketika ditabalkan sebagai Maharaja Melaka pertama  bergelar Sultan Iskandar Shah pada tahun 1400.  Bermula dari sini, Pedang Cura Simanja Kini menjadi perkakas Kerajaan Melaka sehinggalah kejatuhannya pada 1511. Pedang ini kemudiannya diwarisi oleh putera Sultan Melaka Terakhir iaitu Raja Muzaffar ibni Sultan Mahmud Shah yang kemudiannya bergelar Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak Pertama yang memerintah pada tahun 1528 hingga 1549.

Dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak, Pawang Diraja akan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada baginda Sultan dan baginda akan menyambut dan menghunus Pedang Cura Simanja Kini lalu mengucupnya. Kemudiannya Pedang Cura Simanja Kini di sandang kebahu baginda Sultan.  Kaedah ini dikatakan menyerupai perbuatan yang dilakukan oleh Sang Sapurba ketika baginda berwaad dengan Demang Lebar Daun, iaitu mengakui setia dan berikrar memainkan peranan sebagai Raja dan Rakyaat Melayu hingga keanak cucu dan keturunan mereka iaitu kita semua sebagai orang Melayu hingga hari ini.

Mengikut Sejarah Melayu perjanjian berkenan adalah seperti berikut :-

Maka titah Sang Sapurba, 'Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu' Maka sembah Demang Selebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan ; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosapun, janganlah difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak'.

Maka titah Sang Sapurba, 'Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.' Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.'

Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku.  Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.' 

Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.'

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barangsiapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Mereka ; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.  Jikalau  ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.  Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.

Itulah serba sedikit yang boleh Syah kongsi bersama anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini dan mengapa sebenarnya kita sebagai orang Melayu dilarang menderhaka kepada Sultan dan seorang Sultan pula harus berlaku adil dan saksama kepada rakyatnya.  Dari sinilah datangnya ungkapan Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah.  Daulat Tuanku ............ Dirgahayu Tuan Patik.

Sumber :- Cempaka Sari / Sejarah Melayu / Biografi Bergambar DYMM Sultan Azlan Shah

3 comments:

  1. salam.. baru2 nie ayah ada bercerita tentang keturunan kami bermula cerita unyang saya iaitu Raja Daud bin Raja Ngah ( ayah pun tak tahu keturunan dari isteri Raja Ngah Ibrahim yang ke berapa ) Di khabar beliau beristeri 3.Adik beradik Unyang saya ada 4 orang iaitu Raja Mat, Raja Daud , Raja Endut dan Raja Hamidah. Persamaan cerita yang mengaitkan keturunan kami dengan Raja Ngah dengan Raja Ngah Ibrahim ialah cerita berkenaan raja Ngah kami merupakan pembesar yang terlibat dengan pembunuhan J.W.W Birch. Telah dibuang negeri dan keturunan kami dipaksa menyembunyikan nama sebenar dan segala identiti dirahsiakan agar tidak dibunuh oleh pihak British. Keturunan kami ada yang terpaksa menyamar sebagai orang kebanyakkan dengan membuang gelaran raja.Kami yakin bahawa Raja Ngah dari keturunan kami adalah Raja Ngah Ibrahim yang disebut-sebut. Raja Mat mempunyai 3 orang anak iaitu Raja Usman bin Raja Mat, Raja Abdul Rahman bin Raja Mat dan Raja Meliah bt Raja Mat. Raja Abdul Rahman bin Raja Mat akan tetap dijemput oleh Sultan ( semasa istana di Telok Anson )dalam semua majlis dan upacara pertabalan, tidak ketinggalan semasa upacara di Beting Beras Basah. Info : Untuk pertabalan, Pedang Kerajaan ( Cura Simanja Kini ) di celupkan di Kuala Sungai Perak dikawasan beting beras basah, maka berbunyi lah deringan menunjukkan sahnya raja tersebut adalah pewaris yang sah untuk menduduki tahta kerajaan sebagai Sultan Perak yang sah. Upacara ini adalah “wajib” dan tidak melakukannya maka tidaklah dianggap sah perlantikkan tersebut. Info ini dinyatakan untuk menunjukkan bahawa keturunan kami adalah yang terpenting dalam Kesultanan Perak tetapi telah terputus hububgan dan kami ingin kembali. Kepada sesiapa yang ingin membantu harap dapat hubungi saya Raja Khairuddin bin Raja Majid ditalian 014 5042235

    ReplyDelete
  2. hubungi raja NASIR cura si manja kini yang asal berada di tangan baginda.insyaallah.boleh rujuk beliau.baginda seorang yang berjiwa rakyat serta mudah mesra.klik raja nasir.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbr wbt MBS

    Perihal Pedang Cura Simanja Kini saya ada nak tanya MBS satu mimpi yang pelik mengenai Pedang ini. Beberapa Tahun yang lalu saya x ingat Tahun berapa? bahawa saya ada bermimpi dan dalam mimpi itu satu suara menyebut "SI MANJA CURA". Maka esok harinya, saya menghubungi bapa saudara saya yang ketika itu menyandang gelaran TOK UMBI sbg Tali Pusaka Adat satu2nya dari Delapan ORANG BESAR UNDANG. Saya pun dipanggil menemui bapa saudara ini. Beliau menyebut KERIS dan setahu saya ianya ada bersangkutan dengan Kesultanan Negeri Perak.MAKA,beliau pun menerangkan kepada saya bahawa memang ada KERUSI BERSEMAYAM UNDANG di Istana Negeri Perak dan orang2 cuba mengalihkan Kerusi tersebut tapi tidak dapat digerakkan. AL KISAH, UNDANG yang berkenaan memang berkawan rapat dgn TUANKU SULTAN ketika itu sehingga sudah ada hubungan silaturahim yang jitu ala sudah jadi macam bersaudara.PERSOALAN adakah BENAR? Mohon MBS mengunkai & membantu siasat bagi menerangkan kemusyikilan saya selama ini. Pernah juga saya bermimpi perihal Singgahsana berdua Tingkat DYMM Sultan Azlan Shah bersemayam diatas manakala YTM Raja Nazrin Shah bersemayam dibawah dengan Batu Permata Biru dikirikanan Kerusi YTM. PELIK mimpi ni kan atau mainan tidur? Saya berketurunan Waris Biduanda Berundang & arwah ayah saya BUGIS. Pernah juga saya bermimpi ayah saya menerima keris panjang dari Hulubalang2 berpakaian cam majapahit yang berbaris dikirikanan manakalan yang Ketua menyerah keris tersebut kepadanya. Masa tu saya masih bersekolah dalam Tingkatan 5. Ntahla semuanya ini satu2nya MISTERI ALAM GHAIB. Wsalam.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.