05.12.2012, Rabu - Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang berada di Indonesia untuk lawatan rasmi negara telah berkenan melawat Masjid Istiqlal atau bermaksud Masjid Kemerdekaan yang terletak di Jakarta Pusat dan merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara. Keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan rombongan ke Masjid yang berkapisiti 220,000 jemaah ini disambut oleh Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr Ali Mustafa Yaqub dan pegawai-pegawai kanan masjid berkenaan. Masjid ini sering dikunjungi oleh tetamu negara ke Indonesia termasuk Presiden Barak Obama.
Masjid ini dibina pada masa pemerintahan Presiden Soekarno pada 1961 dan mula digunakan pada 1978 semasa era pemerintahan Presiden Soeharto. Senibinanya mengabungkan makna Kemerdekaan Indonesia dengan lambang-lambang Islam. Kubah besar masjid ini berdimeter 45 meter melambangkan tahun kemerdekaan Indonesia. Tiang keluli tahan karat setinggi 17 meter yang menyokong kubah melambangkan haribulan kemerdekaan Indonesia dan kubah kecil berdiameter lapan meter melambangkan tarikh kemerdekaan Indonesia. Selain daripada itu menara setinggi 66.66 meter melambangkan 6,666 ayat dalam al-Quraan manakala tiang setinggi 30 meter diatas puncak menara melambangkan 30 juz al-Quraan. Kelihatan Tuanku Abdul Halim dibawa melawat Beduk Raksasa yang terdapat di masjid ini. Beduk Raksasa ini berdiameter dua meter diperbuat daripada kayu meranti berusia 300 tahun yang didatangkan khas dari Kalimantan. Beduk ini telah dihadiahkan oleh Presiden kedua Indonesia, Presiden Soeharto kepada masjid ini. Sewaktu lawatan ini, Tuanku Abdul Halim sempat mengerjakan solat tahiyyatul masjid bersama Imam Besar Masjid Istiqlah.
Dalam program yang berasingan pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan melawat Pesentran Khusus Yatim As-Syafiiyah Jatiwaringin Indonesia. Tuanku Hajah Haminah telah berkenaan menyampaikan sumbangan kepada penghuni pesantren ini. Keberangkatan tiba Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Ketua Pasentren ini, Profesor Dr. H. Tutty Alawiyah.
Sumber :- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.