14.06.2012, Khamis - Ini adalah makam Paduka Seri Sultan Perak ke-25, Almarhum Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah atau dikenali sebagai Marhum Mangkat Di Sekudai yang telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu, Johor. Mungkin anda tertanya-tanya mengapa pula Sultan Perak dimakamkan di negeri Johor ? Syah ambil gambar nie pada akhir 2010 semasa melawat Makam Diraja Johor sempena lawatan Syah ke Johor untuk sambutan Tahun Baru 2011 bersama my brother Muss serta Cd. Makam Almarhum telah diberi penghormatan berada didalam satu kawasan berbumbung untuk makam Almarhum seorang sahaja bersebelahan komplek Makam Diraja Johor yang menempatkan Almarhum Sultan-Sultan dan Almarhumah Sultanah-Sultanah Johor serta kerabat diraja lainnya.
Almarhum merupakan putera kepada Raja Nandak (ada yang menyebut Mandak) binti Almarhum Sultan Ahmaddin Shah (Sultan Perak ke-18) manakala ayahanda Almarhum adalah Saiyid Shaikh Al-Khairat, Raja Siak berketurunan langsung dari Sultan Melaka iaitu asal usul kesultanan Perak itu sendiri. Sebab itu Almarhum layak menduduki tahta Perak walaupun hanya sebagai cucu Sultan Perak disebelah bondanya. Sebelum dilantik sebagai Sultan Perak ke-25, Almarhum merupakan Raja Bendahara Perak iaitu pewaris kedua tahta kesultanan Perak selepas Raja Muda Raja Abdullah iaitu bakal Sultan seterusnya.
Selepas kemangkatan Sultan Perak ke-24, Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah di Sayong pada Mei 1871, jenazah baginda tidak dapat dimakamkan kerana menunggu keberangkatan tiba Raja Muda Raja Abdullah sebagai pengganti Sultan yang tidak mahu datang atas sebab-sebab keselamatan. Selagi Sultan baru tidak dilantik, jenazah tidak boleh dimakamkan. Setelah menunggu hampir 40 hari dan tidak mahu menyeksa mayat lagi, para Pembesar Perak yang berkumpul di Sayong telah mengambil keputusan melantik Raja Bendahara Raja Ismail sebagai Sultan Perak yang baru pada 28.06.1871 dan jenazah Almarhum Sultan Ali pun dapat dimakamkan dengan sempurna dan diberi gelaran "Marhum Nabi Allah".
Semasa pemerintahan Almarhum, berlaku perselisihan faham diantara kerabat diraja terutamanya diantara Almarhum sendiri yang pusat pemerintahannya di Belanja dengan Raja Muda Raja Abdullah di Batak Rabit, Raja Yusuf di Senggang dan Menteri Ngah Ibrahim di Larut. Raja Muda Raja Abdullah dan Raja Yusuf masing-masing mengaku lebih berhak menjadi Sultan daripada Almarhun sendiri. Perbalahan ini menyebabkan pentadbiran di Perak agak tidak teratur ditambah lagi dengan Perang Larut akibat huru-hara yang ditimbulkan oleh kaum Cina di Larut semenjak 1872. Ekoran daripada permasalah ini menyebabkan mereka meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat yang membawa campurtangan British di Perak.
Dipendikkan cerita, pada 20.01.1874 Perjanjian Pangkor telah ditandatangani diantara kerabat-kerabat diraja dan orang besar-besar Perak dengan pihak Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di Perak. Diantara kandungan perjanjian ini adalah Raja Muda Raja Abdullah telah diangkat sebagai Sultan Perak yang baru dan akan menerima penasihat British (Residen British) yang akan menasihatkan Sultan dalam segala perkara kecuali yang melibatkan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Almarhum yang tidak menghadiri perjanjian ini telah diturunkan tahta dan diberi pencen dan boleh menggunakan gelaran Sultan Muda .
Akibat pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British 1 Perak di Pasir Salak pada 02.11.1875 mengakibatkan Almarhum dibuang negeri ke Johor dan bersemayam di Sekudai. Ada juga menyatakan bahawa Almarhum dan pengikutnya lari kedalam hutan hingga sampai ke Kedah dan dinasihatkan oleh Sultan Kedah untuk menyerah kepada British dan dihantar ke Pulau Pinang. Dari Pulau Pinang dibawa ke penjara di Singapura dan kemudiannya lari ke Johor mendapatkan perlindungan daripada Maharaja Johor. Wallahhualam .........
Yang pastinya baginda mendapat perlindungan politik daripada Maharaja Johor ketika itu iaitu Maharaja Abu Bakar yang kemudiannya bergelar Sultan Abu Bakar, Sultan Johor Era Moden pertama. Terima kasih kepada Almarhum Sultan Abu Bakar diatas sikap murah hati Almarhum Sultan Abu Bakar yang memberi perlindungan kepada Almarhum Sultan Ismail dan telah mengurniakan Almarhum dengan pelbagai kemudahan hingga akhir hayatnyapun Almarhum Sultan Ismail telah diberi penghormatan dengan di Makamkan di kawasan Permakaman Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu, Johor.
Al-Fatihah ................... kepada Almarhum Sultan Ismail (Sultan Perak ke-25) dan Almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Johor Era Moden 1) Semuga Roh Almarhum Sultan Ismail dan Almarhum Sultan Abu Bakar Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman dan Beramal Solleh. Amin.
Sumber :- Laman web rasmi KDYMM Sultan Perak / Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak / Orang Biasa Diraja / Raja Rizuan Ismailliah
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.