23.03.2012, Khamis - Tentu kita pernah mendengar mengenai Raja Putih yang merupakan sebuah dinasti pemerintahan sebuah keluarga "orang putih" di Sarawak. Keluarga Brooke yang memerintah sarawak ini dikenali sebagai Rajah Sarawak atau Rajah Putih. Gelaran Rajah digunakan bagi membezakan keluarga Brooke dengan keluarga diraja dunia Melayu. Sarawak dahulunya merupakan sebuah jajahan milik Kesultanan Brunei sehinggalah James Brooke mendapat tanah dari Sultan dan Sarawak menjadi semakin besar. Sarawak diserahkan kepada British oleh oleh Rajah Sarawak terakhir selepas Perang Dunia Kedua. Syah bukan hendak bercerita mengenai Rajah Sarawak ini tetapi tahukan anda bahawa satu ketika dahulu Sarawak mempunyai Sultan?
Uniknya Sultan Sarawak ini adalah kerana baginda merupakan Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak yang dikenali sebagai Sultan Tengah. Baginda merupakan putera kepada Sultan Muhammad Hasan, Sultan Brunei. Apabila Sultan Muhammad mangkat pada 1598, tahta kerajaan diganti oleh putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akhbar (1598-1659) sebagai Sultan Brunei ke-10. Walau bagaimanapun adinda kepada Sultan Abdul Jalilul iaitu Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau yang sepatutnya layak menjadi Sultan atas alasan beliau merupakan putera Sultan kerana dia dilahirkan sewaktu Ayahandanya menjadi Sultan manakala abangnya itu dilahirkan sebelum ayahanda mereka menjadi Sultan. Bermakna kekandanya merupakan putera kepada Pengiran Muda dan bukan putera seorang Sultan sewaktu dilahirkan mnakala dia dilahirkan sebagai putera seorang Sultan.
Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, Sultan Abdul Jalilul Akhbar telah mendapat satu helah dengan merajakan Pengiran Muda Tengah di Sarawak yang merupakan jajahan Brunei ketika itu. Baginda menggunakan gelaran Sultan Tengah. Mengikut Tarsilah Sambas Sultan Tengah mangkat pada 1641, iaitu selepas 10 tahun putera baginda, Sultan Muhammad Safiuddin I (Radin Sulaiman) menaiki tahta Sambas pada 09.07.1631. Baginda mangkat sewaktu dalam perjalan pulang dari Matan ke Sarawak. Baginda telah dibunuh oleh pengiring baginda ketika baginda hendak ke sungai untuk membuang air besar. Kejadian berlaku di Batu Buaya, Santubung, Sarawak.
Dengan kemangkatan ini maka berakhirlah Kesultanan Sarawak, tetapi nama gelaran kepada Datu-Datu Sarawak masih tinggal kekal menjadi warisan bangsa. Gambar ini diambil sewaktu Syah ke Sarawak dengan keluarga Azrin beberapa tahun lepas. Kami dalam perjalanan ke Taman Budaya Sarawak dan bila sampai di Santubung, adik Azrin, Fikri menunjukkan Syah satu binaan diatas bukit dan Syah nampak ada tanda Makam Sultan Tengah. Sudah rezeki Syah hendak berjumpa dengan makam ini. Kami meneruskan perjalanan ke Taman Budaya Sarawak dahulu dan on the way balik Syah singgah untuk ziarah ke makam ini. Baru Syah tahu Sarawak pernah bersultan satu ketika dahulu. Sebelum kembali ke Kuala Lumpur, Syah ke Muzium Sarawak untuk mendapatkan maklumat mengenai Sultan Tengah dan mereka telah berbesar hati membuat salinan buku mengenai Sultan Tengah yang dihasilkan oleh Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.
Jika anda ke Sarawak dan berkunjung ke Santubung, jangan lupa menziarahi Makam Sultan Tengah dan sedekahkan Al-Fatihah untuk Almarhum. Al-Fatihah ............... Semuga Roh Almarhum Sultan Tengah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.
23thn saya hidup br sy tahu sarawak pernah ad sultan... :))
ReplyDeleteMak saya pernah bagitau yang ayah saya punya atuk ni Sultan Sarawak terakhir,betul ke Sultan Abdul Jalilul Akhbar ni moyang saya :'D
ReplyDeletehahaaa .. lawak la kowg ni .. i'm sarawakian .
ReplyDelete