Wednesday, February 9, 2011

Sejarah Kesultanan di Pahang

09.02.2011, Rabu - Sepertimana yang kita semua maklum, Kesultanan Pahang sekarang ini adalah bermula daripada keturunan Bendahara apabila Tun Abdul Majid diangkat menjadi Bendahara Pahang 1 untuk memerintah Pahang pada tahun 1770. Bendahara Pahang ke-6, Bendahara Siwa Raja (Seri Wak Raja) Tun Ahmad pula telah menggunakan gelaran Sultan Ahmad apabila cop mohor BENDAHARA dipinda kepada SULTAN oleh En Dollah Tulis (jurutulis Bendahara) dengan perkenan Bendahara sendiri pada 06.08.1881. Pada 12.12.1884 Sultan Ahmad ditabalkan sebagai Sultan Pahang Pertama dengan menggunakan gelaran Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah dan keturunan baginda bertahta sehingga kehari ini sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Pahang Darul Makmur.

DIRGAHAYU TUANKU PATIK


Tengku Ahmad Shah ditabal dan dimahkotakan sebagai Sultan Pahang Ke-5 daripada Keturunan Bendahara dengan gelaran KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah. Istiadat dilaksanakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Bandar Diraja Pekan, Pahang pada tanggal 08 Mei 1975. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang selepas kemangkatan secara mengejut Paduka Ayahanda Baginda pada 05 Mei 1974 jam 12:45hrs.


Tahukah anda sebenarnya kesultanan Pahang bermula sekitar tahun 1470 lagi apabila Raja Muhammad dirajakan di Pahang dengan gelaran Sultan Muhammad Shah oleh Ayahandanya Sultan Melaka, Sultan Mansur Shah. Sebenarnya Raja Muhammad dihantar ke Pahang sebagai hukuman buang negeri oleh Paduka Ayahandanya yang begitu murka terhadap perbuatan Raja Muhammad yang membunuh Tun Besar, anak kepada Bendahara Melaka, Bendahara Paduka Raja. Kisahnya bermula apabila Raja Muhammad pergi ke Kampung Bendahara paduka Raja dan pada waktu itu Tun Besar sedang bermain sepak raga (takraw) bersama kawan-kawannya. Dengan tidak sengaja bola yang disepak oleh Tun Besar terkena dastar (tanjak) Raja Muhammad lalu jatuh. Raja Muhammad begitu murka dengan kejadian ini lalu ditikamnya Tun Besar dibahagian rusuk terus kehatinya. Tun Besar meninggal dunia ditempat kejadian.


  • Sultan Muhammad Shah hanya memerintah Pahang selama lima tahun sahaja dan dimakamkan di Dusun Pinang, Pahang Tua.

  • Adidanda baginda Raja Ahmad ibni Sultan Mansur Shah menggantikan baginda dengan gelaran Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang ke-2. Dalam Sejarah Melayu ada menceritakan satu peristiwa dimana laksamana Khoja Hasan telah berjaya melarikan gajah kenaikan baginda sebagai simbolik menunjukkan bahawa orang Melaka lebih bijak daripada orang Pahang. Baginda merasa malu dan terhina dengan peristiwa ini lalu turun daripada tahta.

  • Raja Abdul Jamil ibni Sultan Muhammad Shah, putera Sultan Pahang 1, dilantik menjadi Sultan Pahang ke-3 menggantikan Sultan Ahmad Shah. Dalam masa yang sama, Sultan Ahmad Shah telah merajakan putera baginda Raja Mansur Shah sebagai Sultan Pahang ke-3 dengan gelaran Sultan Mansur Shah 1. Walau bagaimanapun disebabkan oleh faktor usia yang masih muda akhirnya Raja Mansur Shah terpaksa mengalah.

  • Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jamil, Raja Mansur Shah ibni Sultan Ahmad Shah dilantik semula sebagai Sultan Pahang ke-4 dengan gelaran Sultan Mansur Shah 1. Sultan Mansur Shah 1 mangkat pada tahun 1519.

  • Selepas kemangkatan Sultan Mansur Shah 1, Raja Mahmud ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah (Sultan Pahang 1) dilantik sebagai Sultan Pahang ke-5 dengan gelaran Sultan Mahmud. Baginda mangkat pada 1530.

  • Selepas kemangkatan Sultan Mahmud, baginda digantikan oleh puteranya Raja Muzaffar ibni Almarhum Sultan Mahmud dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah, Sultan Pahang ke-6.

  • Sultan Muzaffar Shah digantikan oleh adindanya Raja Zainal ibni Almarhum Sultan Mahmud dengan gelaran Sultan Zainal Abidin, Sultan Pahang ke-7. Baginda mangkat sekira 1555.

  • Raja Mansur ibni Sultan Muzaffar Shah dilantik menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Pahang ke-8 dengan gelaran Sultan Mansur Shah II. Baginda mangkat sekitar 1560.

  • Baginda dilgantikan oleh adinda baginda Raja Jamal ibni Almarhum Sultan Muzafar Shah sebagai Sultan Pahang ke-9 dengan gelaran Sultan Abdul Jamal Shah.

  • Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jamal, baginda digantikan oleh saudara sepupu putera Sultan Zainal, Raja Abdul Kadir dengan gelaran Sultan Abdul Kadir sebagai Sultan Pahang ke-10. baginda mangkat pada tahun 1590.

  • Baginda digantikan oleh putera baginda, Raja Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdul Kadir sebagai Sultan Pahang ke-11 dengan gelaran Sultan Ahmad. Walau bagaimnapun baginda memerintah hanya satu tahun sahaja kerana dikatakan terlalu muda untuk menjadi Sultan.

  • Baginda digantikan oleh kekandanya, Raja Abdul Ghafur ibni Almarhum Sultan Abdul Kadir sebagai Sultan Pahang ke-12 dengan gelaran Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah. Semasa pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah, Putera kedua baginda yang tidak dicatatkan namanya telah membunuh baginda dan Raja Muda Abdullah. Dengan pembunuhan ini berakhirlah pemerintahan bersultan di Pahang dari keturunan Sultan Melaka pada tahun 1614.


Pada tahun 1639, Sultan Johor ke-8, Sultan Abdul Jalil Shah III telah menyerang Pahang dengan bantuan Belanda dan mengistiharkan diri baginda sebagai Sultan Johor dan Pahang. Pada 1641, Baginda telah melantik Raja Bajau ibni Almarhum Sultan Abdullah yang merupakan putera Sultan johor ke-7 yang pada masa itu berusia 20 tahun sebagai Yamtuan Muda iaitu Pewaris Tahta bagi menggantikan Baginda. Yamtuan Muda telah bersemayam di Pahang dan kemudiannya mangkat dalam tahun 1676 dengan meninggalkan seorang putera iaitu Raja Ibrahim. Setahun kemudian Sultan Abdul Jalil Shah III mangkat pada 1677 dan digantikan oleh Raja Ibrahim sebagai Sultan Johor-Pahang dengan gelaran Sultan Ibrahim Shah. Baginda bersemayam di Pahang dan mangkat di di Riau pada 16.02.1685.

  • Selepas kemangkatan Sultan Ibrahim, baginda digantikan oleh puteranya, Raja Mahmud dengan gelaran Sultan Sultan Mahmud Shah II dan bersemayam di Riau. Disebabkan Baginda menjadi Sultan Johor-Pahang dalam usia 10 tahun, bonda baginda telah menjalankan pemerintahan bagi pihak baginda sehingga baginda dewasa. Pada Ogos 1699, Sultan Mahmud Shah II telah mangkat dibunuh oleh Laksamana Bentan di Kota Tinggi, Johor dan dikenali sebagai Sultan Mahmud Mangkat DiJulang. Disebabkan baginda tidak meninggalkan sebarang waris, maka pemerintahan negeri Pahang ditadbir dan diperintah oleh Keturunan Bendahara bermula daripada Bendahara Pahang 1 hingga ke-6 yang kemudiannya bergelar Sultan Pahang sehingga ke hari ini.


Entry Syah berhubung Makam Sultan Mahmud mangkat Dijulang

http://tengkusyah.blogspot.com/2010/12/melawat-makam-sultan-mahmud-mangkat.html

Dengan kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang maka berakhirlah keturunan raja-raja yang berasal daripada keturunan Raja-Raja Melayu Melaka yang memerintah Johor dan Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.