Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul

Dibahagian tengah adalah Makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masji Nabawi, Madinah Al-Munawarah. Disebelah kanan dan kira adalah makam para sahabat iaitu Umar dan Abu Bakar As Siddiq. Masih segar lagi ingatan Syah semasa Ziarah ke Makam ini bersama Almarhum Nenda Ahmad Al-Haj dan Almarhumah Bonda Che Zan Al-Hajjah beserta Kak Ngah Normah dan Bonda Ejon sekitar 1990an. Gambar ini Syah ambil daripada Internet. Insyallah satu hari nanti Syah akan sampai juga kesini untuk kali keduannya ............... Insyallah dengan izin Yang Maha ESA.

15.02.2011, Selasa - Hari ini merupakan cuti umum satu Malaysia sempena Maulidur Rasul. Apa itu Maulidur Rasul ? Maulidur Rasul merupakan perkataan bahasa arab yang membawa maksud KELAHIRAN RASUL. Maknanya hari ini adalah Hari Keputeraan Junjungan Kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda diputerakan pada Subuh Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 23 April 571. Tahun Gajah diambil sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah menyerang Kota Ka'abah. Ayahanda Baginda adalah Abdullah bin Abdul Mutalib dari Bani Hashim manakala bonda baginda bernama Aminah binti Wahab.

  • Ayahandanya mangkat sewaktu baginda dalam kandungan lagi.

  • Sewaktu berusia 5 tahun telah datang dua malaikat membedah dada baginda untuk membersihkan diri baginda.

  • Bonda baginda meninggal dunia sewaktu baginda berusia 6 tahun. Baginda telah diasuh oleh Barakah Al-Habsyiyyah atau Ummu Aiman yang merupakan hamba Ayahanda Rasulallah. Kehidupan baginda ditanggung oleh datuknya Abdul Mutalib. Ibu Susuan Baginda pula adalah Thuwaibah (hamba Abu Lahab) dan Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah.

  • Datuknya meninggal dunia sewaktu baginda berusia 9 tahun dan selepas itu baginda dibesarkan oleh bapa saudaranya Abu Talib.

  • Dalam usia 9 tahun dan ada setengahnya meriwayatkan 12 tahun, baginda mengikut bapa saudara baginda bermusafir untuk berniaga di negeri Syam. Sewaktu di Syam mereka telah didatangi seorang Pendita Nasrani bernama Buhaira memaklumkan kepada Abu Talib mengenai kenabian baginda setelah memeriksa baginda dengan teliti.

  • Dalam usia 20tahun dan ada menyatakan 15 tahun, baginda terlibat dalam peperangan Fijar. Baginda juga telah menyaksikan Perjanjian Al-Fudhui yang merupakan perjanjian membantu orang-orang yang dizalami di Mekah.

  • Dalam usia 25 tahun, baginda bermusafir ke Syam buat kali kedua atas urusan perniagaan dengan Siti Khatijah dan hambanya Maisarah (hamba lelaki). Ayahanda-ayahanda saudara baginda termasuk Abu Talib telah berjumpa dengan bapa saudara Khatijah, Amru bin Asad untuk meminang Khatijah bagi pihak baginda. Baginda berkahwin dengan Khatijah yang waktu itu berusia 40 tahun dengan mas kahwin 500 dirham.

  • Dalam usia 35 tahun baginda telah ke Mekah dan meruntuhkan dinding Kaabah dan membinanya semula bersama penduduk dan pembesar Mekah. Baginda telah diberi kepercayaan untuk meletakkan Hajarul Aswad ditempatnya sekarang.

  • Dalam usia 40 tahun, baginda menerima Wahyu Pertama di Gua Hira dan diangkat menjadi Nabi Umat Islam yang terakhir. Disinilah bermulanya hidup baginda sebagai Rasul terakhir yang penuh dengan dugaan dan cabaran bagi memertabatkan Agama Islam itu sendiri. Baginda Berdakwah secara bersembunyi selama 3 tahun dan selepas itu mendapat petunjuk dari Allah untuk menyebarkan Islam secara terbuka. Pelbagai tekanan dan penindasan dilakukan kepada golongan yang menyokong baginda. Baginda pernah ditawarkan dengan kuasa, harta benda dan wanita tetapi tidak pernah runtuh Iman baginda untuk menyebarkan Syiar Islam hingga Islam itu tersebar ke seluruh dunia.

  • Dalam Usia 53 tahun, baginda berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq

  • Baginda Wafat dalam usia 63 tahun di Madinah Al-Munawarah pada 12 Rabiul Awal 11 Hijrah bersamaan 08 Jun 632M dan dimakamkan di dalam Kawasan Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah.

Tapak rumah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Maulid Nabi, terletak berhampiran Mas'a iaitu arah timur Masjidil Haram, Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi. Kawasan ini dikenali sebagai Suq Al-Lail (Sooq Al-Layl) atau Syib Ali. Sekarang tempat ini telah didirikan bangunan dua tingkat dan dijadikan Perpustakaan yang dikenali sebagai Maktabah Makkah Al-Mukarramah. Kebanyakan koleksi bacaan disini merupakan buku-buku dan kitab-kitab agama Islam.


Di negara kita, kebiasaannya kita akan menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan pelbagai majlis/acara seperti perarakan, ceramah dan seumpanya. Kita akan mendapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala jika kita mengadakan atau menghadiri sebarang majlis Maulidur Rasul. Marilah kita beramai-ramai menyokong sebarang aktiviti keagamaan sempena maulidur Rasul ini ditempat atau kawasan perumahan kita.

Riwayat Al-Sajary daripada Anas menyatakan Rasulallah s.a.w. bersabda "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.