Teringat Syah pada YBM Al-Marhum Tengku Long Ahmad bin Tengku Long Abdul Ghafar, apabila Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah berkenaan mengurniakan anugerah kebesaran negeri yang membawa gelaran Tengku Panglima Raja Kelantan kepada Datuk Tengku Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz pada 02.06.2010 lepas. Gelaran Raja Begelar berkenaan hampir serupa dengan gelaran Al-Marhum Tengku Ahmad iaitu Tengku Panglima Raja cuma bezanya tiada perkataan Kelantan dihujung gelarannya.Tengku Ahmad diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 01 September 1908 oleh bondanya Tengku Kembang dan mangkat pada 01.08.1989 dan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Kota Baharu, Kelantan . Ayahandanya merupakan Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Long Abdul Ghafar ibni Al-Marhum Sultan Muhammad II. Tengku Ahmad berkahwin dengan empat orang isteri iaitu Tengku Zainab bt Al Marhum Sultan Muhamad IV, Tengku Mariam bt Tengku Mek Ismail, Cik Puan Hajjah Fatimah bt Datuk Abdul Hamid dan Tengku Kamariah bt Tengku Abdul Kadir Kamaruddin. Hasil dari perkahwinan ini beliau dianugerahkan tiga putera dan tujuh puteri. Tengku Ahmad juga adalah merupakan individu yang memahkotakan Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra semasa istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Kelantan. Yang unik nya berkenaan Tengku Ahmad adalah dua orang puterinya dari bonda (ibu) yang sama iaitu Cik Puan Hajah Fatimah bt Datuk Abdul Hamid telah menjadi Sultanah Johor. Tengku Ahmad sempat melihat kejayaan kedua-dua puterinya menaiki tahta kerajaan Negeri Johor semasa hayatnya termasuklah kejayaan puteri bungsunya sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Malaysia.
Puteri keenam Tengku Ahmad, Tengku Nora diputerikan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan pada 10.10.1937. Berkahwin pada 13.11.1977 dengan Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim selepas kemangkatan Sultanah Aminah pada 14.09.1977. Baginda merupakan isteri ketiga Sultan Ismail. Pada 28.10.1978 ditabalkan sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Nora. Selepas kemangkatan Tuanku, baginda lebih terkenal dengan panggilan Sultanah Nora Ismail. Baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata dan sekarang menetap di Johor Baharu, Johor.
Sultanah Johor (1981 - 2010)
Puteri ketujuh @ puteri bongsu Tengku Ahmad, Tengku Zanariah diputerikan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan pada 05.07.1940. Berkahwin dengan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ismail sebagai Isteri kedua Tuanku Sultan (pada masa itu Tengku Mahkota Johor) pada 20.08.1961. Pada tahun 1962 Tuanku Iskandar telah berpisah dengan isteri pertamanya Hajah Kalthom Abdullah @ Josephine Ruby Trevorrow. Keadaan ini telah dapat memberi laluan mudah kepada Tengku Zanariah untuk menjadi Sultanah Johor. Tengku Zanariah ditabalkan sebagai Sultanah Johor pada 11.05.1981 apabila suami baginda menggantikan ayahanda mertuanya (yang juga abang ipar baginda) sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultanah Hajah Zanariah. Lebih membanggakan lagi apabila baginda telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Malaysia kelapan selepas Tuanku Iskandar menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelapan dalam tempoh lima tahun bermula 26.04.1984 hingga 25 .04.1989. Hasil daripada perkahwinan ini baginda dikurniakan seorang putera dan lima putera. Selepas kemangkatan suaminya pada 22.01.2010, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Sultan Johor yang baru. Walau bagaimanapun Tuanku Ibrahim bukanlah anakanda kandung baginda. Sekarang baginda menetap di Johor Baharu, Johor.
Cuba check semula maklumat yang tuan nyatakan mengenai Tengku Nora. Sultanah Nora mengahwini Sultan Ismail selepas kemangkatan sultanah Aminah dan satu-satunya sultanah ketika itu. Itulah sebabnya baginda lebih dikenali sebagai Sultanah Nora Ismail. Sultan Ibrahim adalah ayahanda mertua kepada Sultanah Nora.mungkin
ReplyDeleteTerima Kasih. Saya tersilap tulis dan telah dibetullkan
ReplyDelete