Tahukah anda bahawa Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan dalam perlembagaan persekutuan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid. Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan masyarakat terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat lebih mengarah kepada penghapusan Institusi Raja-Raja Melayu. Pada awalnya gelaran yang dicadangkan adalah Yang di-pertuan Besar. Pada Ogos 1957 Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk menentukan Yang di-Pertuan Agong pertama. Mengikut seniority, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar yang memerintah semenjak tahun 1895 sepatutnya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama. Walau bagaimanapun baginda menolak kerana faktor usia yang mencecah 84 tahun. Ditempat kedua pula, Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni AL-Marhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah yang memerintah bermula 1932 tetapi tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Akhirnya keputusan telah dibuat dengan memilih Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang memerintah mulai 1933 untuk menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Pertama.
Diantara raja-raja Melayu yang hadir ketika pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama adalah-
- Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (1932-1974)
- Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (1938-1942, 1945-1960)
- Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1943-1958)
- Al-Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (1944-1960)
- Raja Perlis, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (1945-2000)
- Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (1945-1979)
- Sultan Perak, Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (1948-1963)
- Wakil Sultan Johor, Tunku Mahkota Tunku Ismail ibni Sultan Sir Ibrahim (menjadi Sultan 1959-1981)
Akhir kata Selamat Menyambut Hari Keputeraan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.