Monday, February 15, 2010

Gelaran Bendahara ke Sultan Pahang - 15.02.2010

TAHUKAH anda bahawa Pada asalnya Sultan pertama Negeri Pahang adalah dari keturunan Sultan Melaka. Kisah ini terjadi apabila Sultan Melaka, Sultan Mansur Shah telah menghukum buang negeri anakandanya Raja Muhammad kerana membunuh anak Bendahara Paduka Raja, Tun Besar. Beliau membunuh Tun Besar kerana terlalu marah sebab bola sepak raga Tun Besar terkena dastar (tanjak) beliau lalu ditikamnya hingga mati. Implikasi dari peristiwa ini, beliau telah dibuang negeri ke Pahang dan dijadikan pemerintah di Pahang dengan gelaran Sultan Muhammad sekitar tahun 1470. Pada tahun 1614 Sultan Pahang ke-12, Sultan Abdul Ghafur dan putera sulungnya baginda, Raja Muda Abdullah telah dibunuh oleh putera kedua baginda yang tidak dicatatkan oleh sejarah namanya. Dengan kemangkatan ini berakhirlah sejarah kesultanan Pahang dari keturunan Sultan Melaka.

Pada 1617 Sultan Iskandar Muda dari Aceh telah melanggar Pahang dan melarikan adinda Sultan Abdul Ghafur iaitu Sultan Ahmad - Sultan Pahang ke 11 ke Aceh dan dikahwinkan dengan anaknya, Puteri Kamaliah dan pada tahun 1636 anak angkat Puteri Kamaliah ditabalkan sebagai Sultan Aceh dengan gelaran Sultan Iskandar Thani. Bermula dari sinilah Pahang dan Aceh bersahabat.
Berbalik kepada kisah kesultanan tadi, Sultan Johor kelapan, Sultan Abdul Jalil Shah III mendakwa dan mengakui dirinya sebagai Sultan Johor Pahang. Pada tahun 1639 Baginda dengan bantuan Belanda menyerang Pahang. Pemerintahan Sultan Johor-Pahang ini berakhir pada Ogos 1699, apabila Sultan Mahmud Shah II telah mangkat dibunuh (Marhum Mangkat DiJulang). Dengan ini putuslah sudah keturunan raja-raja yang berasal dari Raja Melayu Melaka yang memerintah Johor-Pahang kerana baginda tidak meninggalkan sebarang zuriat. Semenjak dari itu pemerintahan Pahang berpindah kepada Bendahara.


Imej Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah (Duduk) Sultan Pahang Pertama dari Keturunan Bendahara.

Tun Abdul Majid adalah Bendahara pertama Pahang yang mula memerintah sekitar tahun 1770. Tun Abdul Majid mangkat pada 1802 digantikan anaknya Tun Muhammad. Setahun kemudian beliau mangkat karam di laut dan digantikan oleh adindanya Tun Koris dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau memerintah Pahang selama tiga tahun dan digantikan oleh anaknya Tun Ali dengan gelaran Bendahara Siwa Raja (Seri Wak Raja). Dalam masa ini kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang mula berpecah belah dan Belanda dan Inggeris sedang giat menjajah nusantara. Pada 1857 Bendahara Tun Ali Mangkat dan digantikan oleh anakandanya Tun Mutahir dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja @ Bendahara Ganchong. Semasa Tun Mutahir memerintah ini telah berlaku perang saudara diantara beliau dan adiknya Tun Ahmad. Apabila beliau mangkat pada Mei 1863 Tun Ahmad telah menggantikan tempatnya pada 10 Jun 1863 dengan gelaran Bendahara Siwa Raja (Seri Wak Raja) menyamai gelaran yang digunakan oleh ayahandanya.

Semasa Bendahara Tun Ahmad melawat Johor, Maharaja Abu Bakar mencadangkan supaya Bendahara memakai gelaran Sultan atas alasan bahawa ikatan diantara Pahang dengan kerajaan Riau-Lingga telah putus dan Pahang tidak lagi dibawah kuasa Belanda. Apabila kembali ke Pahang, cadangan yang sama juga telah diajukan oleh para Pembesar Pahang. Sehubungan dengan itu Tun Ahmad menerimanya dengan hati yang terbuka.

Sehubungan dengan itu, pada tahun 1881, jurutulis Bendahara Tun Ahmad, Encik Abdullah bin Hassan @ Cik Dollah Tulis telah meminda mohor negeri yang bertulis BENDAHARA kepada SULTAN pada 06 Ogos 1882. Bendahara Tun Ahmad di istiharkan sebagai Sultan Ahmad. Pada 12 Disember 1884 barulah Orang-Orang Besar Pahang secara rasminya menggunakan sepenuhnya gelaran SULTAN dengan Nama YANG MAHA MULIA SULTAN AHMAD AL-MUAZZAM SHAH. Gelaran itu kekal di Pahang hingga sekarang dibawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muazzam Shah sebagai Sultan Pahang Kelima dari Keturunan Bendahara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.