Wednesday, May 21, 2014

Tuanku Abdul Halim Memendekkan Lawatan Rasmi Negara Ke Singapura Ekoran Kemangkatan Adinda Baginda


21 May 2014, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah memendekkan lawatan rasmi negara baginda berdua ke Singapura berikutan kemangkatan adinda baginda Tunku Bendahara Kedah Darul Aman / Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman. 

Kelihatan baginda berdua diiringi oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Singapura Lim Swee Say dan isterinya Elaine Cheong Siew Boon ketika berangkat pulang ke Malaysia di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Mengikut jadual lawatan rasmi negara ini bermula 18 hingga 22 May 2014. Turut serta mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua di Lapangan Terbang adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob dan isteri, Datin Norshiha Hasbullah Abdullah. Nampak kesedihan diwajah Tuanku Abdul Halim yang kehilangan adinda tersayang.

Istiadat Permakaman Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah Darul Aman / Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman dijadualkan pada hari ini selepas Solat Asar. Almarhum mangkat tengah malam tadi jam 12:20 pagi di Hospital Pantai Ipoh, Ipoh Perak dalam usia 74 tahun akibat masalah jantung.

Sumber :- Bernama

Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah Mangkat


21 May 2014, Rabu :-


Innalillahi wa inna ilaihi Rojiun.

Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, DKH., DMK., SPMK.,  SSDK., PSM., PSB.,Tunku Bendahara Kedah Darul Aman dan juga merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman telah Mangkat jam 12:20 tengah malam tadi di Hospital Pantai Ipoh, Ipoh, Perak kerana masalah jantung dalam usia 74 tahun. Almarhum diputerakan pada 30 Jun 1939 dan dilantik sebagai Tunku Bendahara Kedah pada 28 November 1981.  Almarhum kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman pada 13 Disember 2011 apabila kekandanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang ketika itu merupakan Sultan Kedah dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Al-Fatihah


Semuga Rohnya Almarhum Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Jenazah telah dibawa dari Ipoh ke Alor Setar dan diletakkan di Istana Kuala Cegar.  Selepas jenazah dimandikan dan disolatkan di Istana Kuala Cegar, Jenazah akan dibawa pula ke Istana Anak Bukit pada pagi ini untuk Istiadat Penghormatan Terakhir yang akan bermula jam 11:30hrs (11:30pagi) hingga 15:00hrs (03:00pm). Solat jenazah sekali lagi akan diadakan di Istana Anak Bukit sebelum Istiadat Permakaman yang dijadualkan berlangsung selepas Solat Asar di Makam Diraja Langgar.

Hari ini diisytiharkan sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah sebagai penghormatan diatas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah Darul Aman / Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman. Bendera Negeri dan Persekutuan dikibarkan separuh tiang untuk tempoh tiga hari bermula hari ini hingga 23 May 2014 manakala tempoh perkabungan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 May 2014. Sepanjang tempoh perkabungan semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan adalah dibatalkan. 

Sumber :-Izad/Istana Anak Bukit/Utusan Malaysia/Bernama

Tuesday, May 20, 2014

Sultan Brunei Menerima Mengadap Rombongan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor


20 May 2014, Selasa :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap rombongan jawatankuasa fatwa Negeri Selangor.  Majlis mengadap diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan. Rombongan jawatankuasa fatwa Negeri Selangor diketuai oleh Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor Sahibus Samahah Dato' Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid.



Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Monday, May 19, 2014

Tuanku Muhriz Hadiri Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap 2014


Sila click gambar untuk Imej yang lebih besar.


19 May 2014, Isnin :- 

Semalam 18 May 2014, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang  Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berkenan menghadiri Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap 2014 yang diadakan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.  Istiadat ini diadakan tiga tahun sekali sebagai tanda taat setia Penghulu-Penghulu Luak Tanah Mengandong terhadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Terdahulu pada 17 May  2014 telah diadakan Istiadat Bersiram Sempena Majlis Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap.  Sila click Entry Syah terdahulu mengenai Istiadat Bersiram  sempena Majlis Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap.

Diantara titah baginda dalam Istiadat ini semalam adalah :-
  • Di dalam mengatur serta melaksanakan adat disetiap luak, beta percaya pendekatan yang baik seperti konsep bermusyawarah dalam menyelesaikan sesuatu isu diperingkat anak-anak buah akan dapat terus diamalkan.
  • Bagi memastikan pentadbiran adat di peringkat luak berfungsi dengan lebih efektif, beta menyeru agar langkah sewajarnya diambil untuk mengisi kekosongan jawatan penyandang pusaka adat.
Baginda juga menitahkan agar adanya permaufakatan dalam pemilihan calon-calon untuk jawatan berkenaan, Titah baginda lagi, 
  • Dengan cara ini, matlamat mengharmonikan kehidupan beradat rakyat beta akan dapat dicapai.

Turut serta dalam Istiadat ini adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan serta Putera Yang Empat atau Pewaris Tahta ia itu YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, YAM Tunku Laxamana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, YAM Tunku Panglima Besar Tunku Dato' Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuannku Ja'afar kecuali YAM Tunku Muda Serting Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar yang tidak dapat hadir dalam Istiadat semalam.

Sila click gambar untuk Imej yang lebih besar






Sumber :- YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan Fan Page / Kosmo

Saturday, May 17, 2014

Raja Muda Perlis Rasmikan Galeri Seni Lukis Negeri Perlis


17 May 2014, Sabtu :-

Hari ini Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan menghadiri Majlis Perasmian Galeri Seni Lukis Negeri Perlis di Perpustakaan Cawangan Simpang Empat, Kangar, Perlis. Majlis ini merupakan salah satu acara sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra yang ke-71. Galeri Seni Lukis ini telah mendapat sumbangan 150 buah lukisan daripada Art Expo (City Art Gallery) dan 90 buah lukisan dari Pameran Seni Kontemporari 1Malaysa.  Galeri ini juga akan mempamirkan lukisan daripada pelukis-pelukis Thailand selama sebulan bermula hari ini.

Turut serta dalam majlis ini adalah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ; Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar.  Kelihatan Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis bersama Putera Sulong baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail mewarna lukisan harummanis selepas perasmian galeri berkenaan.

Sumber :- Bernama

Tuanku Muhriz Hadiri Istiadat Bersiram Sempena Majlis Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap


Sila Click gambar untuk Imej Yang Lebih Besar

17 May 2014, Sabtu :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Duli Yang  Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berkenan menghadiri Istiadat Bersiram sempena Majlis Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap.  Istiadat berlangsung dengan penuh adat istiadat di Bandar Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Mengadap diadakan setiap tiga tahun sekali sebelum Dato'-Dato' Penghulu datang menghadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dalam istiadat Bersiram ini, Tuanku dan Tunku Ampuan Besar telah diarak menaiki kenderaan khas yang dinamakan Tahta Kenchana yang ditarik oleh 99 orang pegawai Istana diiringi Penghulu Luak, Datuk Lembaga dan Alat Kebesaran dari Istana Besar Seri Menanti menuju Panca Persada untuk Istiadat Bersiram. 

Keberangkatan tiba baginda berdua ke Panca Persada disambut dengan lapan das tembakan meriam sebelum Istiadat Bersiram bermula. Dato' Seri Amar diRaja membawa cepu bedak limau mengelilingi Tuanku dan Tunku Ampuan Besar sebanyak tujuh pusingan. Setelah selesai pusingan, cepu bedak limau dipersembahkam kepada Tuanku dan Tunku Ampuan Besar berdua akan mencelup tangan setiap kali dipersembahkan sebagai simbolik persiraman. Setelah selesai Istiadat Bersiram, Tuanku dan Tunku Ampuan Besar berangkat pulang ke Istana Besar Seri Menanti menaiki Panca Persada diiringi lapan das tembakan meriam dan berakhirlah Istiadat Bersiram.

Sumber :- Bernama / YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan Fan page 

Raja Perlis Sempurnakan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-71


Tuanku Syed Sirajuddin Menganugerahkan Darjah Kebesaran SPMP yang Membawa Gelaran Dato' Seri Kepada Menteri Besar Perlis YAB Dato' Seri Azlan bin Man.

17 May 2017, Sabtu :-

Hari ini Tuanku Syed Sirajuddin telah berkenaan mencemar duli menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-71 di Balairong Seri Istana Arau, Bandar Diraja Arau, Perlis. Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengetuai senarai 243 penerima anugerah darjah kebesaran negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-71 Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra bagi tahun 2014. Dalam Istiadat yang diadakan hari ini, seramai 30 orang telah menerima anugerah masing-masing manakala baki 213 orang lagi akan menerima anugerah masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Diantara yang menerima darjah kebesaran pada hari ini adalah YAB Azlan Man menerima darjah Seri Paduka Mahkota Perlis' (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'. Diantara penerima SPMP pada hari ini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tidak hadir kerana berada diluar Negara untuk tugas rasmi Negara), Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pemaju Country Heights dan The Mines, Tan Sri Lee Kim Tiong @ Yew.

Dua orang dianugerahkan darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis' (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pengangkutan dan Pembangunan Wilayah, Sabry Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang Prof Dr Muhamad Jantan.

Dua orang dianugerahkan darjah 'Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail' (DSPJ) yang membawa gelaran Dato’ iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pesaka, Shabaruddin Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay, Fazwinna Mustapha Kamal.


Tiga orang menerima darjah 'Datuk Panglima Sirajuddin Jamalullail' (DPSJ) yang membawa gelaran Dato’ iaitu Naib Presiden Kanan Felda Global Ventures Holdings Bhd, Datuk Abdul Halim Hamid; Pemangku Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kubang Kerian, Kelantan, Prof Datin Dr Rashidah Shuib; dan pesara guru, Syed Kamarulzaman Syed Bahaldin.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima Darjah dan Pingat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis yang ke-71 bagi tahun 2014.

Sumber :- Bernama

Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-71



Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah 

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

Raja Bagi Negeri Perlis dan Seluruh Jajahan Takluknya

Sempena

Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-71
17 May 2014 bersamaan 17 Rejab 1435

Dirgahayu Tuanku
Semuga Allah Lanjutkan Usia Tuanku

Sembah Takzim Daripada


Maharum Bugis Syah


Sumber :- Pic dari Utusan Malaysia

Monday, May 12, 2014

Tidak Dapat Update Blog

12 Mei 2014, Isnin :-

Maaf kepada semua pembaca setia tengkusyah.blogspot.com kerana Syah tidak dapat hendak update Blog semenjak dua tiga hari kebelakangan ini disebab keadaan kesihatan Syah yang tidak mengizinkan. Insyallah pada hari Rabu ini akan menjalani ujian "Stress Test". Doakan agar Syah sihat dan dihindari daripada penyakit yang merbahaya.  Sehingga berjumpa lagi.


Wednesday, May 7, 2014

Sultan Ahmad Shah Sebak Di Makam Almarhumah Tengku Ampuan Hajah Afzan


07 Mei 2014, Rabu :-

Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin  telah diadakan di Makam Diraja Pahang pada hari ini sempena Hari Hol Negeri Pahang. Hari Hol adalah hari untuk memperingati kemangkatan Sultan Pahang Ke-4 Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah serta kerabat diraja Pahang yang telah mangkat atau meninggal dunia.  Kelihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah sebak ketika menabur bunga di makam Almarhumah Isteri tersayang baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Hajah Afzan binti Tengku Muhammad dalam majlis berkenaan yang diadakan di Makam Diraja Pahang, Pekan. Inilah adalah tanda kasih sayang yang tidak berbelah bagi Tuanku Ahmad Shah terhadap Almarhumah Isteri tersayang baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Hajah Afzan.

Tuanku Ahmad Shah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Ampuan Hajah Afzan pada 24 April 1954 dan dikurniakan dengan 7 orang cahayamata, 2 putera dan 5 puteri. Jodoh, ajal, maut dan pertemuan ditentukan oleh yang maha esa,  setelah hidup bersama selama 34 tahun akhirnya Tengku Ampuan Hajah Afzan mangkat pada 29 Jun 1988 di Istana Pahang, Kuala Lumpur akibat kanser.  Pada 14 Mac 1991 Tuanku Ahmad Shah berkahwin sekali lagi dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom. 

.... Al-Fatihah ....


Semuga Allah menempatkan Almarhum dan Almarhumah Sultan dan Tengku Ampuan Pahang serta Allahyarham dan Allahyarhamah Kerabat Diraja Pahang Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman dan Beramal Solleh...... Amien

Sumber :- Friend of BN - Barisan Nasional Fan Page

Tengku Datin Seri Sofiah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah Mangkat

07.05.2014, Rabu :-

Innalillahi wa inna ilaihi Rojiun. 

Pada 05 Mei lepas kita dikejutkan dengan berita kemangkatan Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah dan pada hari ini 07 Mei 2014 berlaku satu lagi kemangkatan keluarga diraja Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Datin Seri Sofiah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah. Allahyarhamah merupakan adinda kepada Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah. Allahyarhamah Tengku Sofiah mangkat petang tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Jenazah dijadualkan tiba ke Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang pada malam ini dan Istiadat Permakaman akan dijalankan esok.  Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Tengku Datin Seri Sofiah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini. 

Al-Fatihah 

Semuga Rohnya Allahyarhamah 
Yang Amat Mulia Tengku Datin Seri Sofiah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  

Amin.


Sumber :- Raja Molek / Ku Gee

Hari Hol Negeri Pahang

07 Mei 2014, Rabu :-

Hari ini adalah Hari Hol Negeri Pahang dan merupakan Cuti Umum bagi seluruh Negeri Pahang. Hari Hol Pahang adalah hari untuk memperingati kemangkatan Sultan Pahang Ke-4   Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah serta kerabat diraja Pahang yang telah meninggal dunia. 

Sila Click Entry Syah berhubung Hari Hol Pahang pada tahun 2012 Hari Hol  

Tuesday, May 6, 2014

Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah


06 Mei 2014, Selasa :-


Innalillahi wa inna ilaihi Rojiun. 

Inilah dia  Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah yang mangkat semalam, 05 Mei 2014 di Hospital Ampang Puteri. Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada 01 Mei lepas untuk mendapatkan rawatan perubatan dan mangkat pada pagi 05 Mei 2014 dalam usia 92 tahun 6 bulan 2 hari.  Jenazah  Yang Amat Mulia Tengku Puan telah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang untuk penghormatan terakhir manakala solat jenazah diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah sebelum dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman, Klang pada petang semalam dengan penuh adat istiadat diraja Selangor. 

Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah. Alfitahah ........ Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin. 

Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah diputerikan pada 07 November 1922 di Istana Bandar di Jugra. Allahyarhamah Tengku Puan merupakan puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa, Sultan Selangor Kelima yang memerintah pada tahun 1898 hingga 1938. Bonda  Allahyarhamah Tengku Puan adalah Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Idris Murshiidul Aadzam Shah (Sultan Perak) .  Sehubungan dengan itu, Allahyarhamah Tengku Puan mempunyai pertalian darah dengan kerabat Diraja Selangor disebelah ayahandanya dan Perak disebelah bondanya.

Apabila pusat pemerintahan kerajaan Selangor beralih dari Jugra ke Klang, Allahyarhamah Tengku Puan telah berpindah dan dibesarkan di Istana Mahkota, Klang (kini telah dirobohkan bagi mendirikan Istana Alam Shah, Istana rasmi Sultan Selangor sekarang). Allahyarhamah Tengku Puan telah dibesarkan dan mendapat pendidikan di Bandar Diraja Klang.  Allahyarhamah Tengku Puan bertemu jodoh dengan salah seorang kerabat diraja Selangor, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj bin Raja Muhammad pada 30 Julai 1939 iaitu selepas hampir setahun kemangkatan Paduka Ayahandanya. Allahyarhamah Tengku Puan merupakan isteri ketiga kepada Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj.  

Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj sebelum ini berkahwin dengan Raja Maslama Raja Busu dan Yang Amat Mulia Tengku Badariah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah. Selepas kemangkatan Tengku Badariah pada 11 Februari 1937, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj berkahwin dengan Allahyarhamah Tengku Puan pada 1939 seperti kata orang-orang dahulu "berganti tikar". Istiadat perkahwinan diantara Allahyarhamah Tengku Puan dan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj berlangsung dengan meriah sekali mengikut adat istiadat diraja Selangor sebagai mana seorang puteri Sultan.

Perkahwinan diantara Allahyarhamah Tengku Puan dan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj kekal selama 37 tahun sehingga kemangkatan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj pada 1976. Hasil daripada perkahwinan ini,  Allahyarhamah Tengku Puan telah dikurniakan dengan tujuh orang cahayamata, lima lelaki dan dua perempuan. Sehingga hari ini empat orang anakanda Allahyarhamah Tengku Puan masih hidup yang mana selebihnya telah mangkat dan ada yang mangkat sewaktu kecil.

Pada July 1949 – March 1953, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj  menjadi Menteri Besar Selangor ke-2 dan ini menjadikan beliau sebagai Isteri kepada Menteri Besar. Pada April 1953 - September 1954, Allahyarhamah Tengku Puan ke London kerana mengikut suaminya bertugs sebagai Wakil Malaya dan Singapura di London. Pada September 1954 - Ogos 1955 sekali lagi Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj  menjadi Menteri Besar Selangor ke-4. Pada 31 0gos 1957 - 30 Ogos 1967 Allahyarhamah Tengku Puan bergelar Isteri Kepada Governor Pulau Pinang atau Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang apabila suami Allahyarhamah Tengku Puan  dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pertama selepas kemerdekaan.

Dibawah adalah gambar-gambar Allahyarhamah Tengku Puan  dan sila click gambar untuk imej yang lebih besar.





Allahyarhamah Tengku Puan dari kecil hingga dewasa


Perkahwinan Diraja 


Allahyarhamah Tengku Puan bersama anak-anak dan suami



Allahyarhamah Tengku Puan bersama anak-anak, dari kiri Raja Sharif, Raja Datin Paduka Fuziah, Allahyarham Raja Dato' Redzwa (anak tiri/anak saudara), Raja Dato' Seri Dzulkifli dan Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad.


Allahyarhamah Tengku Puan ketika begelar Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.



Jenazah Allahyarhamah Tengku Puan diletakkan di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang untuk penghormatan terakhir manakala solat jenazah diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah sebelum dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman, Klang pada petang semalam dengan penuh adat istiadat diraja Selangor.


Sumber :-  THE RAJA SIR TUN UDA AL HAJ BIN RAJA MUHAMMAD FAMILY WEBSITE / Raja Petra / Tengku Yasmin bt Tenggu Aris Temenggong Mohamad Yusuf / Ku Jannah / Ku Gee / Raja Molek/Royal Ark

Monday, May 5, 2014

Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah Mangkat


05 Mei 2014, Isnin :-

Innalillahi wa inna ilaihi Rojiun. Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah yang telah mangkat pada hari ini. Allahyarhamah Tengku Puan merupakan Kerabat Diraja Selangor dan isteri kepada Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj bin Raja Muhammad, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang pertama (31 0gos 1957 - 30 Ogos 1967).

Allahyarhamah Tengku Puan mangkat pagi tadi di Hospital Ampang Puteri dan Jenazah telah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang sebelum dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman, Klang petang tadi dengan penuh adat istiadat diraja Selangor. 

Al-Fatihah 


Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin. 

Sumber :- Gambar dari THE RAJA SIR TUN UDA AL HAJ BIN RAJA MUHAMMAD FAMILY WEBSITE

Sunday, May 4, 2014

Anakanda Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Bertunang



04 Mei 2014, Ahad :-

Semalam Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan suami, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah mengadakan majlis bertunang anakanda ketiga mereka, Azrin.  Majlis berlangsung dikediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban. Tahniah kepada Dato' Seri Utama dan Datin Seri kerana bakal menerima menantu ketiga dan Selamat Bertunang kepada Azrin dan pasangannya Azri semuga ikatan ini kekal hingga ke jinjang pelamin.  Dato' Seri Utama dan Datin Seri dikurniakan dengan lima orang cahayamata dimana dua daripadanya sudah berumah tangga.

Sumber :- YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan Fan page

Buku 3 Penyair Pemikir Muslim



04 Mei 2014, Ahad :-

Semalam Syah ke Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di Putra World Trade Center atau PWTC hendak mencari buku-buku untuk koleksi diraja Maharum Bugis Syah Mini Royal Library. Ini adalah kali kedua Syah kesini semenjak iannya dibuka mulai 24 April lepas dan berakhir pada hari ini. Pusing punya pusing akhirnya mata Syah terpandang buku bertajuk 3 Penyair Pemikir Muslim dan terus Syah beli. Rupa-rupanya booth yang jual buku ini kepunyaan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam. Tak sangka mereka buka booth disini. Semasa Syah ke Brunei pada penghujung tahun 2013 lepas, kawan Syah, Runny membawa  Syah ziarah ke Pusat Dakwah tetapi Syah tak perasan pula mereka ada menjual buku.

Buku ini dihasilkan oleh Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Ugama,  Negara Berunai Darussalam yang memperlihatkan bagaimana sesebuah karya yang berkualiti menyumbang kearah pembangunan temadun bangsa, ugama dan negara. Buku ini merupakan analisis beliau terhadap tulisan tiga orang tokoh penyair pemikir muslim yang menghasilkan karya berlandaskan kenegaraan dan keislaman iaitu :-
  1. Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh Ibni Pengiran Syarmayuda yang menghasilkan Syair Rakis.
  2. Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dengan karya baginda Syair Perlembagaan Negara Brunei.
  3. Pujanga Agung Islam, Dr. Muhammad Iqbal dari Pakistan yang menghasilkan puisi-puisi tentang pembentukan Pakistan, Hijaz dan lain-lain.
Buku-buku di Booth Pusat Dakwah Islamiah ini dijual dengan potongan harga 50% dan jika anda ke PWTC hari ini jangan lupa cari Booth Pusat Dakwah Islamiah yang terletak di aras bawah PWTC. Boothnya agak kecil dan kalau sekali pandang mungkin tak perasan dan kena cari betul-betul.  Buku ini berharga RM25.00 dan selepas diskaun Syah dapat RM12.50. Pada yang berminat cepat datang kerana hari ini hari terakhir Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sumber :- MBS/ Buku3 Penyair Pemikir Muslim

Saturday, May 3, 2014

Mr Taro Kimura Mengadap Sultan Brunei


03 Mei 2014, Sabtu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Mr Taro Kimura, Member of the House of Representative and Special Advisor to the Prime Minister of Japan. Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei


Friday, May 2, 2014

Anakanda Sulung Pengiran Muda Abdul Qawi dan Tengku Amalin A'ishah Puteri Sudah Diberi Nama

02 Mei 2014, Jumaat :-

Bayi kepada Yang Amat Mulia Tengku Amalin A'ishah Puteri binti Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah yang diputerikan di Singapura pada 13 April 2014 bersamaan 13 Jamadil Akhir 1435H telah diberi nama Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafaah Bolkiah Puteri. Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafaah Bolkiah Puteri merupakan cucunda sulong kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra dan Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis.  

Semuga Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafaah Bolkiah Puteri menjadi anak yang solleh dan menjadi kebangaan kedua Ayahanda dan Bondanya.  Amien........


Sunday, April 27, 2014

Soto Ayam dan Begedil Antara Menu Majlis Jamuan Negara Tuan Yang Terutama Barak Obama Di Istana Negara


27 April 2014, Ahad :-

Inilah susunatur meja makan sempena Majlis Jamuan Negara Tuan Yang Terutama Barak Obama, Presiden Amerika Syarikat yang diadakan malam tadi di Istana Negara dan dihadiri oleh 650 orang jemputan khas. Menurut Penyelia Istana Negara, Leftenan Kolonel Mastura Mohd Said sebahagian menu adalah masakan barat dimana menu utamanya adalah Stik daging, ayam dan ikan mengikut citarasa tetamu dengan sos yang kurang pedas. Manakala hidanga sup diganti dengan Soto Ayam dan Begedil kerana itu adalah makanan kegemaran Presiden Obama yang meminati makanan tradisional Indonesia iaitu Bakso. Pisang Goreng dan Ice Cream Vanila telah dipilih sebagai pencuci mulut.

Menurut Leftenan Kolonel Mastura lagi menu pada malam semalam menyerupai menu sempena lawatan Prince William dan Kate Middleton pada 2012 cuma Nasi Daging digantikan dengan Soto Ayam dan Begedil. Menurut beliau lagi adalah menjadi kebiasaan menghidangkan sedikit hidangan tradisional Melayu dalam menu bagi memertabatkan makanan Malaysia dimata pemimpin dunia dalam setiap majlis makan malam untuk pemimpin negara luar yang diadakan di Istana Negara.


Hotel Shangri-La telah diberi kepercayaan untuk menyediakan makanan pada majlis berkenaan. Masakan disediakan di dapur Istana Negara sendiri dan diselia oleh pihak Istana Negara. Pelayan Istana Negara yang lebih dikenali dengan panggilan "boy" ditugaskan melayan tetamu kehormat di pentas utama manakala pelayan untuk para jemputan khas dikendalikan oleh pihak Hotel Shangri-la.

Leftenan Kolonel Mastura memaklumkan bahawa menu bagi majlis ini telah dipersembahkan untuk mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lepas.  Setelah mendapat perkenan Tuanku Abdul Halim, diadakan pula ujian rasa makanan (food testing) pada hari Rabu. Sebelum itu pihak Istana Negara telah menghantar e-mail berhubung menu berkenaan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan telah menerima kelulusan penuh daripada pihak kedutaan berhubung menu berkenaan.

Syah cuma dapat berkongsi gambar meja makan dan suasana dalam majlis ini manakala gambar menu pada malam semalam Syah tidak dapat.

Sumber :- Kosmo/DS Hishamuddin/Syahril

Tuanku Abdul Halim Raikan Presiden Obama Dalam Majlis Makan Malam Negara


Click gambar untuk imej yang lebih besar.



27 April 2014, Ahad :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan menerima mengadap Honourable Barack Obama, President of the United States of America dalam satu Majlis Makan Malam Negara di Istana Negara. Dalam titah ucapan baginda, baginda mengucapkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Amerika Syarikat atas sokongan dan kerjasama padunya dalam operasi menjejak pesawat MH370 yang hilang baru-baru ini. Titah baginda lagi, bantuan yang dihulurkan menjadi bukti kukuh wujudnya hubungan rapat diantara Malaysia dan Amerika Syarikat. Baginda juga turut menzahirkan kegembiraan baginda yang melihat hubungan Amerika Syarikat - Malaysia bertambah kukuh dan erat beberapa tahun kebelakangan ini dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan dan pertahanan, pendidikan, tenaga, sains dan teknologi serta hubungan antara rakyat dengan rakyat.



Presiden Obama berada di Asia dalam rangka lawatan rasmi beliau ke empat buah negara Asia iaitu Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina. Presiden Obama sekarang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama 3 hari bermula semalam.  Destinasi terakhir Presiden Obama adalah Filipina. Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mencemar duli menghadiri Upacara Sambutan Negara untuk Presiden Obama yang diadakan di Dataran Parlimen pada jam 17:40hrs.  Presiden Obama dan rombongan selamat tiba ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat khas Air Force One yang mendarat di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.


Lawatan Presiden Obama pada kali ini merupakan lawatan kali kedua Presiden Amerika syarikat ke Malaysia selepas kunjungan Presiden Lyndon B Johnson pada 1966.

Sumber :- Bernama / Berita Harian

Saturday, April 26, 2014

Hari Keputeraan Sultan Terengganu Ke-52



Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya

Sempena

Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-52 
26 April 2014 Bersamaan  26 Jamadil Akhir 1435H

Dirgahayu Tuanku
Semuga Allah Lanjutkan Usia Tuanku

Sembah Takzim Daripada

Maharum  Bugis  Syah

Pengiran Muda Mahkota Brunei Menyaksikan Perlawanan Bolasepak Liga Singapura

Kelihatan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bersama putera dan puteri baginda menyaksikan perlawanan Bola Sepak Liga Singapura malam tadi. Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim merupakan peminat bolasepak dan baru-baru ini telah menunjukkan skil bermain bolasepaknya sewaktu menyertai Perlawanan Bolesepak Jerudong International School Funday pada 20 April lepas.

26 April 2014, Sabtu :-

Malam tadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman telah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bolasepak Pusingan Pertama Liga Singapura yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Malam tadi menyaksikan perlawanan diantara Brunei DPMM FC melawan Balesiter Khalsa FC dimana kemenangan memihak kepada Brunei DPMM FC dengan jaringan 4-1 hasil sumbangan Rodrigo Antonio Tosi (3 gol) dan Roy O Donovan (1 gol). 

Pada 30 April nanti Brunei DPMM FC akan meneruskan cabarannya menentang pasukan Woodlands Wellington FC di Singapura. Dengan kemenagan malam tadi telah menaikkan kedudukan Brunei DPMM FC dalam Liga Singapura ditangga teratas dengan 22 mata diikuti oleh pasukan Warriors FC dengan 20 mata dan Tampines Rovers FC 19 mata.


Turut serta menyaksikan perlawanan bolasepak ini adalah Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan kerabat diraja yang lain.

Sumber :- Pelita Brunei