Thursday, January 4, 2018

Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor Mangkat

04.01.2018, Khamis :-

 Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un 

Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah telah mangkat pada 03.01.2018 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dalam usia 91 tahun. Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli berangkat ke istadat permakaman yang diadakan di Makam Diraja Selangor, Klang, Selangor.  Turut mengiringi baginda adalah Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Jenazah tiba di Masjid Diraja Istana Alam Shah lebih kurang jam 13:30hrs dari HTAR.  Jenazah kemudiannya dimandi, dikafan dan Solat Jenazah diadakan selepas Solat Asar diimamkan oleh Imam Masjid Istana Diraja, Imam Paduka Tuan Mohd Rasidi Mahful. Jenazah dimakamkan di Makam Diraja Selangor, Klang dengan penuh adat istiadat diraja Selangor.

Almarhum merupakan Temenggong Pertama (I) didalam Institusi Diraja Negeri Selangor semenjak terdirinya Kesultanan Negeri Selangor sekitar tahun 1743. Almarhum dilantik sebagai Tengku Aris Temenggong Selangor pada tahun 1937 dalam usia 11 tahun oleh Ayahandanya dengan penuh adat istiadat diraja Selangor di Istana Mahkota Puri, Klang. Almarhum mengekalkan gelaran berkenaan selama 80 tahun dan merupakan pemegang gelaran Temenggong paling lama dalam sejarah institusi beraja di Malaysia.  

Almarhum diputerakan pada 28 April 1926 merupakan salah seorang daripada 44 orang anakanda kepada  Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke-5.  Bonda Almarhum adalah Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah [Sultan Perak Ke-28]. Almarhum  berkahwin pada tahun 1953 dengan Yang Mulia Raja Datin Setia Saidatul-Ezam Binti Brigadier General [B] Raja Dato’ Seri Lope Nur Rashid [Raja Kechil Besar Perak] dan dikurniakan dengan 10 orang cahayamata.

 


 

Al-Fatihah

Semuga Rohnya Almarhum Tengku Dato’ Setia Muhammad Yusof Shah Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Sumber :- Carian Internet.

No comments: