Thursday, February 28, 2013

Sultan Pahang Pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-231

28 Februari 2013, Khamis :- 

Semalam telah diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-231 dan telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah.  Mesyuarat sehari yang diadakan di Istana Negara Jalan Duta ini dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kedah yang diwakali oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah manakala Sultan Perak diwakili oleh Pemangku Raja Perak Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Sepertimana biasa, Raja-Raja Melayu akan diiringi oleh Menteri Besar masing-masing kecuali Sultan Kelantan diiringi oleh wakil menteri besar. Begitu juga Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diringi oleh Ketua Menteri masing-masing kecuali Sarawak diiringi oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa mesyuarat telah diberikan taklimat mengenai pertahanan dan keselamatan negara daripada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Tambah beliau lagi, turut dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah perkara berhubung agama Islam, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta beberapa perlantikan semula Ketua Audit Negara, Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

Sumber : Berita Harian / Bernama

No comments: