Friday, May 15, 2015

Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV


15 May 2015, Jumaat :-

Sebagai menyempurnakan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35), Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah telah dijalankan pagi semalam 14 May 2015 di Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak. Beting Beras Basah merupakan kawasan lubuk pusar yang ada ketikanya timbul dan ada ketikannya tenggelam apabila air pasang. Keadaan pasirnya keras dan bewarna putih seluas padang bola. Adalah menjadi perkara wajib bagi setiap Sultan Perak menziarahi Beting Beras Basah setelah sempurna ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah bagi Jajahan Takluk Negeri Perak Darul Ridzuan 

Beting Beras Basah merupakan kawasan dimana Bahtera Raja Muzaffar (Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah) dikatakan  dilanda ribut taufan dan ombak besar lalu tersangkut di beting ini  ketika pertama kali memasuki Negeri Perak setelah dijemput oleh Pembesar Perak untuk dirajakan sebagai Paduka Seri Sultan Perak 1 pada 1528. Baginda terpaksa membuang segala peralatan didalam bahtera beginda kecuali alat kebesaran diraja bagi memudahkan bahtera Baginda bergerak. 

Menurut cerita, jin yang menjaga lubuk pusar itu, Datuk Maharaja Siraja Jin, meminta baginda membuang mahkota yang dipakai ke laut dan Baginda mematuhi arahana berkenaan. Setelah itu ribut taufan dan ombak besar berhenti lalu baginda berseru :-

Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka,
Perpisahan Aku di Selat Melaka....

Setelah selesai baginda berseru, barulah bahtera baginda bergerak ke tebing dan disambut oleh rakyat Perak yang diketuai oleh Tun Saban. Ada juga yang menyatakan, Raja Muzaffar terpaksa menyelam ke dasar laut selama tujuh hari tujuh malam untuk mengadakan perjanjian dengan makhluk ghaib yang menjaga kawasan berkenaan.  Didasar tasik juga dikatakan ada sebuah kerajaan yang diperintah oleh tujuh Jin. Kawasan ini juga dipercayai sebagai tempat pawang/bomoh memenjarakan mahluk ghaib yang jahat dari zaman dahulu hingga sekarang. Kawasan ini juga dikatakan pusat mahluk ghaib seluruh dunia serta perkampungan orang Bunian. wallahualam bissawab.

 Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
  
  Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
  Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
  Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
  Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar

Berbalik kepada Istiadat Mencenah Kaki ke Beting Beras Basah yang berlangsung semalam, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan rombongan diraja berangkat tiba ke Jeti Bagan Datoh lebih kurang jam 06:45hrs dan disambut rakyat jelata yang telah menunggu keberangkatan Baginda seawal jam 06:00hrs. Bacaan doa dan selawat diadakan sebelum Baginda berangkat ke Beting Beras Basah menaiki bot amphibian milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Keberangkatan baginda diiringi oleh beberapa buah bot yang membawa anggota keselamatan, perubatan dan petugas media.

Diantara yang mengiringi Baginda adalah Menteri Besar Perak Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir,  Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato’ Dr Afifi Al-Akiti, Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik dan Raja Cik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad. Hadir sama adalah Anggota Parlimen Bagan Datoh yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi.

Baginda tiba di Beting Beras Basah sekitar jam 07:20hrs. Baginda kemudiannya mencelupkan kaki dan membasahkan muka Baginda di Beting Beras Basah sebagai tanda Baginda telah selamat sampai ke Beting Beras Basah. Doa dibacakan oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato’ Dr Afifi Al-Akiti diikuti seru “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali.

Setelah Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah disempurnakan, Baginda dan rombongan berangkat pulang ke Jeti Beting Beras Basah dan berkenan mencemar duli menjamu selera bersama rakyat di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.

Sumber : Abdullah Jumain Abu Samah (UKM)/Mohd Ariffin Dahlan (Pak Engku)/Jabatan Penerangan Malaysia / Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.