Thursday, September 4, 2014

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Ke China Untuk Lawatan Rasmi Negara


04 September 2014, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah selamat berangkat tiba ke Beijing, China untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula semalam. Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada jam 16:10hrs disambut oleh Timbalan Menteri Luar China, Qian Zhongshan serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin dan Duta Besar China di Malaysia, Huang Huikang.

KDYMM Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya menerima penghormatan daripada kawalan hormat terdiri daripada 36 anggota Angkatan Tentera China.  Turut serta mengiringi KDYMM Seri Paduka Baginda berdua adalah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri pengiring, Tunku Temenggong Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Tan Sri Dato' Seri Diraja Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Lawatan rasmi ini merupakan undangan daripada Presiden China, Xi Jinping selain membalas lawatan Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober tahun lepas. Lawatan ini juga sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang bermula pada 31 Mei, 1974. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Cina  serta  menghadiri jamuan negara di Great Hall of The People pada hari ini. Manakala pada Jumaat, KDYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima mengadap Perdana Menteri China, Li Keqiang. KDYMM Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Beijing.

Sumber :- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.