Tunku Ali menerima sebilah keris daripada Tuanku Muhriz dalam Istiadat Pertabalan Tunku Besar Seri Menanti pada 22 Februari 2009.
07 Januari 2014, Selasa :-
Setiap negeri beraja di Malaysia mempunyai seorang Raja yang merupakan Ketua Negeri berkenaan dengan menggunakan gelaran Sultan seperti di Kedah, Pahang, Perak, Terengganu, Selangor, Joho r dan Kelantan. Manakala di Perlis ianya di panggil Raja dan Negeri sembilan pula menggunakan gelaran Yang Di-Pertuan Besar. Setiap Raja-Raja ini mempunyai pewaris kedua tahta dan menggunakan gelaran tersendiri mengikut negeri masing-masing dimana jika berlaku kemangkatan, secara automatik mereka akan dimasyhurkan sebagai Raja yang baru bagi negeri berkenaan.
Gelaran-gelaran Pewaris Tahta Kedua setiap negeri beraja di Malaysia adalah seperti berikut :-
- Pahang : Keawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang
- Kedah : Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah
- Perak : Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan
- Perlis: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis
- Selangor : Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor
- Terengganu : Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
- Johor : Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor
- Kelantan : Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan
- Negeri Sembilan : Tiada
Sebenarnya Negeri Sembilan tidak mempunyai gelaran Raja Muda/Tengku Mahkota . Tentu ramai yang tidak mengetahuinya kecuali jika anda adalah oarang Negeri Sembilan. Ini bukan bermakna tiada pewaris bagi Yang Di-Pertuan Besar tetapi secara ringkasnya sistem pemilihan pengganti Raja di Negeri Sembilan agak unik sedikit dimana pengganti Raja hanya akan ditentukan selepas kemangkatan Yang Di-Pertuan Besar dikalangan Putera Yang Empat oleh Undang Yang Empat sebelum Almarhum dimakamkan.
Gelaran Putera yang Empat ini hanya diamalkan dalam Adat Pepatih sahaja dan sebab itu ianya berbeza daripada raja-raja yang lain yang menggunakan Adat Temenggong. Dari segi sejarah, Putera Yang Empat dikaitkan dengan tanggungjawab tertentu walaupun kini mereka tidak terikat dengan tugas-tugas berkenaan. Dahulu Tunku Besar Seri Menanti ditugaskan mewakili Yang Di-Pertuan Besar,Tunku Laxmana dan Tunku Muda Serting diamanahkan menerima kedatangan para pembesar manakala Tunku Panglima Besar menjaga keselamatan Istana. Walau bagaimanapun Tunku Besar Seri Menanti tetap kekal menjadi ahli Dewan Keadilan dan Undang.
Mengikut Kekananan, gelaran Putra Yang Empat dan penyandangnya adalah seperti berikut :-
- Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz
- Yang Amat Mulia Tunku Laxmana Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar
- Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Jaafar
- Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar Tunku Dato' Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar
Sila click gambar untuk Imej yang lebih besar.
Putera Yang Empat akan sentiasa duduk seiring dengan Yang Di-Pertuan Besar dan Tunku Ampuan Besar dalam istiadat-istiadat penting Istana seperti Pertabalan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Undang Mengadap dan Istiadat Penghulu mengadap.
Gambar diatas diambil sewaktu Pertabalan Tuanku Muhriz sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 26 Oktober 2009. Shukur Alhamdulillah Syah dapat menyaksikan sendiri Istiadat Pertabalan yang berlangsung di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti ini. Ini adalah pertama kalinya Syah menyaksikan pertabalan seorang Raja dihadapan mata Syah sendiri. Kelihatan dari kiri Tunku Tan Sri Imran, Tunku Ali, Tuanku Muhriz, Tuanku Aishah Rohani, Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin dan Tunku Dato' Seri Nadzaruddin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.