28 Ogos 2013, Rabu :-
Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya
Aidilfitri 1434 Hijriah/2013 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah (YSHHB) yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Keberangkatan tiba baginda dan rombongan disambut oleh Menteri Pendidikan yang juga merupakan Pengerusi
Lembaga Pengarah YSHHB, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji
Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Sambutan
tahun ini.
Turut mengiringi baginda adalah Duli Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee
Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja
Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka
Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Faatihah dan doa
selamat oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
(Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned diikuti sembah alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga
Pengarah YSHHB. Selepas itu Tuanku
Sultan menyampaikan titah baginda. Dalam majlis ini juga Tuanku Sultan telah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang
Pertandingan Klip Video “Raja Yang Prihatin” anjuran YSHHB serta menyaksikan
tayangan klip-klip video bagi lima kategori yang dipertandingkan sempena
sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013. Seramai 150 pelajar-pelajar Sekolah Yayasan
Sultan Haji Hassanal Bolkiah membuat persembahan dalam majlis ini.
Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudiannya beramah mesra dan menjamu selera dengan para tetamu sebelum berangkat menyaksikan pameran-pameran teknologi
info-komunikasi (ICT) serta mendengar taklimat ringkas daripada para peserta
yang mengambil bahagian dalam pameran ini yang terdiri daripada beberapa buah Syarikat Telekomunikasi,
syarikat-syarikat ICT, sekolah/maktab serta beberapa buah syarikat/persatuan
ICT yang berkaitan. Baginda juga telah melancarkan produk
aplikasi ICT yang dihasilkan oleh ‘Media Hikmah Applications’.
Sumber :- Pelita Brunei / Jabatan Penerangan Brunei
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.