Kelihatan Tuanku Sultan Brunei berkenan mencuba salah satu peralatan yang digunakan semasa Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara.
07 Mac 2013, Khamis :-
Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam telah berkenan berangkat ke Kem
Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di
Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.
Keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan rombongan disambut oleh Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri
Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.
Majlis dimulakan dengan Hormat Diraja dan
diikuti dengan nyanyian lagu 'Allah Peliharakan Sultan' iaitu lagu kebangsaan
Negara Brunei. Tuanku Sultan kemudiannya
memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan para Perintis Ketiga PKBN yang terdiri
daripada 129 orang pelatih lelaki dan 70 orang pelatih perempuan. Upacara
diteruskan dengan beberapa persembahan daripada para pelatih seperti Sorak
PKBN, nyanyian lagu 'Sedia Berbakti', Persembahan Kawad, Persembahan Seni
Mempertahankan Diri dan Persembahan Latihan Jasmani. Sebelum berangkat
meninggalkan padang kawad, doa selamat dibacakan oleh Ketua Guru Ugama PKBN,
Awang Haji Abdul Afiq bin Zainudin, disusuli dengan tabik hormat diraja dan
diikuti dengan lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'.
Baginda kemudian berkenan berangkat melawat Arena Paintball untuk menyaksikan secara dekat
aktiviti yang dijalankan sebelum menyaksikan pameran PKBN yang berkisar
mengenai sejarah Projek Rintis PKBN dan tayangan video. Tuanku Sultan kemudiannya berangkat melawat asrama lelaki dan perempuan sambil
menyaksikan persembahan dan bengkel-bengkel keusahawanan, keagamaan, MIB,
kebudayaan di samping menyaksikan aktiviti keagamaan di surau perempuan dan
juga bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang terlibat.
Tuanku Sultan juga telah berkenan menyaksikan
latihan merempuh halangan yang dipersembahkan oleh para pelatih. Tuanku Sultan juga
telah berkenan menghadiri Majlis Santapan Tengahari (makan tengahari) bersama
para Pelatih Rintis Ketiga PKBN, para jemputan dan para pegawai serta
kakitangan yang menjayakan program berkenaan. Baginda juga telah menandatangani
Buku Lembaran Kenangan Projek Rintis Ketiga PKBN sebelum sesi ramah mesra bersama
para pelatih. Sebelum berangkat
meninggalkan majlis Tuanku Sultan telah berkenan bergambar bersama-sama para
pelatih sebagai kenang-kenangan.
Sumber :- Pelitabrunei
Sumber :- Pelitabrunei
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.