01.10.2012, Isnin - Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badli Shah telah berangkat ke Jepun untuk lawatan rasmi negara selama lima hari. Turut mengiringi baginda dalam lawatan ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidum. Turut serta adalah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) sebagai Menteri pengiring, pegawai-pegawai kanan Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Tuanku dan rombongan berlepas pada jam 08:45hrs tadi melalui Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Terdahulu baginda telah berkenan memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi 21 das tembakan meriam. Turut mengucapkan selamat jalan kepada Seri Paduka Baginda berdua adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Menteri Luar YB Kohilan A. Pilla dan Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadualkan mengunjungi Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta menghadiri majlis santapan negara bagi meraikan Seri Paduka Baginda berdua. Seri Paduka Baginda berdua juga akan mengadakan pertemuan dengan komuniti rakyat Malaysia di Jepun dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar kepada Bernama pada 30 September 2012, lawatan negara ini memberi peluang kepada kedua-dua Ketua Negara mengeratkan lagi hubungan peribadi dan persahabatan yang terjalin sejak lawatan Maharaja Akihito ke Malaysia pada 1970 sewaktu menjadi Putera Mahkota Jepun. Sewaktu lawatan berkenaan, Tuanku Abdul Halim memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Maharaja Akihito dan Maharani Michiko telah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1970, 1991 dan 2006.
Syah mendoakan agar Seri Paduka Baginda berdua serta rombongan selamat berangkat pergi dan selamat berangkat pulang semula ke Malaysia. Semuga Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah serta rombongan sentiasa dibawah lindungan Allah hendaknya. Amin.
Sumber :- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.