01.06.2012, Jumaat - Syah hendak berkongsi dengan anda semua text khutbah Jumaat hari ini di Masjid Negara sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang akan disambut esok iaitu pada 02.06.2012. Syah solat Jumaat di Menara TM tetapi text ini Syah ambil daripada portal Masjid Negara seperti berikut :-.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada
Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan
menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita
beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan hari
Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 2 Jun 2012;
maka tajuk khutbah pada hari ini ialah "Seri Paduka Baginda Yang di
Pertuan Agong Lambang Kekuatan Agama dan Bangsa" .
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Sesebuah Negara sememangnya memerlukan kepada ketua atau pemimpin bagi
memimpin Negara dan rakyatnya untuk kesempurnaan pentadbiran agar menjadi lebih
teratur dan berjaya dalam setiap bidang. Dalam Islam kedudukan seseorang
pemimpin itu adalah mulia dan tinggi kerana mereka ini disyariatkan bagi
menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia
umat Islam. Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di
antara tugas pemimpin itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan
dunia. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah bersyukur ke hadrat Allah SWT
kerana dikurniakan seorang Raja dan pemimpin yang sentiasa bertanggungjawab dan
kasih terhadap rakyatnya. Ini jelas dapat dilihat di mana kemajuan-kemajuan
untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan dan dapat dicapai serta dinikmati oleh
rakyat sehingga menjadikan Negara kita seiring dengan Negara-Negara maju yang
lain. Demikian nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Firman Allah
SWT di dalam surah Hud ayat 61:
Maksudnya: “ Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada
Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari
bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah
ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan
taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa
memperkenankan permohonan hamba-Nya.”
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Dalam Perkara Tiga (3), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan
bahawa Islam adalah agama persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama
Negara. Bagaimanapun agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam di Negara ini
Perlembagaan juga memperuntukkan dalam Perkara Sebelas (11) (4) bahawa diayah
agama lain kepada umat Islam adalah dilarang. Di dalam Perlembagaan dinyatakan
bahawa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi
negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah
Persekutuan. Manakala di Negeri-Negeri lain Ketua Agama Islam ialah Sultan atau
Raja di negeri berkenaan.
Raja berperlembagaan bukan sahaja menjadi lambang sebuah Negara yang
berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga merupakan lambang kekuatan agama
dan bangsa. Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa, Seri
Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai
Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam. Yang di Pertuan Agong, Sultan atau Raja
sebagai Ketua Agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di Negara kita.
Umat Islam di Negara ini amat bersyukur kepada Allah SWT dan merafakkan
setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada Majlis Raja-Raja dan pemimpin- pemimpin
kita yang bekerja kuat memberi kedudukan istimewa agama Islam dalam
Perlembagaan Negara.
Bagaimanapun, pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba
mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan
bidangkuasa Raja sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di Negara ini.
Persoalan besar timbul ialah mengapa keadaan ini berlaku?. Berdasarkan
pemerhatian, mimbar yang mulia ini berpendapat keadaan ini berlaku kerana
antaranya ialah terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang sanggup menggadai
maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana mengejar kuasa serta ada yang
sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan bagi mempertahankan hak asasi
pihak lain. Oleh itu, mimbar ini ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika
umat Islam hilang maruah, menggadaikan agama dan bangsa, maka lambat laun umat
Islam di Negara ini akan menerima nasib yang malang lagi hina di bumi sendiri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama.
Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi budaya dan agama mereka. Kita
amat bersyukur dan menjunjung kasih dalam suasana genting dan gawat, Seri
Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah membantu
menyelamatkan ketegangan politik, menjaga kesucian Islam, adat istiadat orang
Islam dan menjadi simbol perpaduan rakyat di Negara ini.
Islam adalah agama Allah yang diturunkan kepada manusia. Oleh itu
sebagai Ketua Agama Islam, memperlihatkan kepada kita bahawa amanah dan
tanggungjawab yang dipikul oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
amatlah berat. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong hendaklah sentiasa memberikan taat
setia yang tidak berbelahbagi kepada pemerintah Negara. Ingatlah kita sebagai
umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana
firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan
Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." .
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sejak merdeka hingga kini telah terbukti bahawa institusi Raja-Raja
memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan perpaduan rakyat di
Negara ini. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai
rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung
institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang
tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta
mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di Negara ini. Seorang ulama Abu
Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa: ’Teraturnya
urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku
tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan
manusia akan menjadi kacau- bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara
satu sama lain’.
Akhir sekali, bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda
Yang di Pertuan Agong, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan
rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di
Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi
Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tuanku Hajah Haminah diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan
kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir Negara dan menjalankan tugas dengan
sempurna. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat keamanan dan
kestabilan politik, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh
membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara
rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan
semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan
keselamatan sepanjang zaman. Kita juga memohon dijauhi segala malapetaka yang
boleh menjejaskan usaha membangunkan
agama, bangsa dan Negara.
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah
kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan
hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang
sabar.”
(Surah al-Anfaal ayat 46)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.