25.05.2012, Jumaat - Ini adalah Duli Yang Amat Mulia Raja Bendahara Perak, Raja Abdul Rashid ibni Sultan Idris Murshidul 'azam Shah I (Marhum Rahmatullah). Raja Abdul Rashid merupakan Raja Bendahara Perak yang terakhir. Selepas kemangkatannya pada tahun 1958, Sultan perak pada ketika itu, Paduka Seri Sultan Sultan Yussuf Izzuddin Shah (Marhum Ghafarullah) yang merupakan Paduka Ayahanda kepada Tuanku Azlan Shah, telah menghapuskan gelaran Raja Bendahara yang mana penyandangnya merupakan pewaris kedua tahta negeri Perak selepas Raja Muda. Gelaran yang disandang oleh kerabat diraja Perak selama 200 tahun ini telah dikembalikan semula kepada "orang kebanyakan" sepertimana asalnya dan dikenali dengan panggilan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja hingga kehari ini.
Raja Abdul Rashid diputerakan pada 12.07.1889 di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dari bondannya Che Ngah Uteh Mariah. Raja Abdul Rashid dilantik sebagai Raja Kecil Tengah pada 10.05.1934, Raja Di Hilir pada 01.10.1939 dan kemudiannya Raja Bendahara pada 15.07.1948. Raja Abdul Rashid mangkat pada 24.11.1958 dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar atau sekarang dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran dengan penuh adat istiadat Diraja Perak sebagai seorang "Raja Bergelar". Jenazah Raja Abdul Rashid diturunkan daripada kediaman Sharifah Rokiah yang merupakan isteri ketujuh Raja Abdul Rashid sebelum dibawa ke kawasan permakaman diraja
Allahyarham berkahwin sebanyak 8 kali dan isteri-isteri serta anak-anaknya adalah seperti berikut :-
- Raja Lun Zubaidah bt Raja Ahmad :- Melahirkan Raja Shoran Shah (1909-1997), Raja Nor'uyun (1911 - 15.05.1943), Raja Nor Muhidayah (1912-1946), Raja Amri (1915-1946) dan Raja Nor Shima (mangkat 10.06.1939)
- Che Rafidah bt Uda Maa'mor :- Melahirkan Raja Nor Siha @ Intan, Raja Nor Mahiyan dan Raja Nor Ima
- Che Maheran bt Abdullah :- Melahirkan Raja Nor Mida dan Raja Nor Ajam
- Raja Kimas bt Raja Sir Chulan :- Melahirkan Raja Nor Shihan (mangkat 17.04.1938) dan Raja Nor Shiba
- Raja Halimah :- Tiada anak
- Cik Aminah bt Awang :- Melahirkan Raja Badrul (06.04.1912 - 09.07.1988)
- Sharifah Rokiah bt Syed Kassim :- Melahirkan Raja Nor Ashikin (mangkat 05.07.1947), Raja Mariam, Raja Puan Besar Nor Izan (mangkat 14.07.1998), Raja Fatimah dan Raja Abdul Rahman (1948 - 07.08.2001)
- Raja Puan Kecil Raja Aishah bt Raja Saidin :- Melahirkan Raja Ahmad Baharuddin (25.12.1933), Raja Teh Hasnah, Raja Mohamed, Raja Zaharah (14.11.1941), Raja Ubaidah, Raja Mohd Tajuddin dan Raja Sakinatul Akmar @ Zainab (1953)
Al-Fatihah ........... Semuga Roh Allahyarham Raja Abdul Rashid ibni Sultan Idris Murshidul Azam Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin
Sumber : Sembang Kuala/ Raja Nur Janah / RoyalArk
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.