06.05.2012, Ahad - Besar tak Meriam ini, tahukah anda meriam ini merupakan meriam yang terbesar di Asia Tenggara dan merupakan meriam yang terbesar dan termasyhur pernah dibina di dunia Melayu. Meriam ini dinamakan "Sri Patani" dan kini diletakkan dihadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand di Bangkok. Meriam ini dibina semesa pemerintahan seorang Raja Perempuan Patani yang bernama Raja Biru atau Raja Nang Cayang yang memerintah sekitar tahun 1616 hingga 1624. Nang Cayang adalah gelaran untuk semua Raja-raja Perempuan yang memerintah Patani. Asalnya gelaran ini diberikan oleh Raja Siam kepada Raja Perempuan yang memerintah Patani dengan panggilan Phra Nang Cao Yang yang bermaksud Baginda Raja Perempuan. Gelaran ini makin lama makin terkenal dan digunakan oleh orang-orang Melayu Patani sendiri sebagai pangilan kepada Raja-raja Perempuan yang memerintah Patani. Disebabkan pelat orang Melayu, sebutan Phra Nang Coa Yang itu disebut Raja Nang Cayang sahaja.
Meriam ini dibina oleh Raja Patani ke-8 iaitu Raja Biru @ Raja Nang Cayang ke-2 sebagai sebagai pertahanan untuk menangkis serangan Siam yang sentiasa mengancam kestabilan Patani dan ingin menawannya. Dengan mendapat persetujuan dari para menteri dan pembesar Patani, Raja Biru telah menitahkan supaya dibuat Meriam Besar. Disebabkan di Patani tiada kemudahan melebur besi maka keputusan telah dibuat untuk meleburkan tembaga kuning untuk tujuan ini kerana tembaga kuning mudah didapati di Patani ketika itu. Raja Biru telah mengeluarkan titah kepada semua rakyat Patani supaya rakyat menyembahkan tembaga kuning kepada kerajaan untuk dijadikan meriam dan dalam masa tiga tahun barang sesiapa yang didapati membawa keluar tembaga kuning untuk dijual akan dihukum bunuh.
Seorang tukang berbangsa Cina yang telah memeluk Islam bernama "Tok Kiam" atau nama asalnya "Lim Toh Kiam" mengetuai projek membuat meriam ini. Tiga meriam besar telah dapat disiapkan dalam masa beberapa bulan dan diberi nama oleh baginda "Meriam Seri Negara", "Meriam Seri Patani" dan "Meriam Maha Lela". Meriam Seri Negara dan Seri Patani mempunyai ukuran yang sama iaitu berukuran lebih kurang 9 kaki manakala yang kecil berukuran 5 hasta 1 jengkal. Kesemua meriam diletakkan diatas sebuah pedati beroda. Meriam-meriam ini telah berjasa kepada Patani dan dapat menewaskan serangan Siam dan menjaga maruah orang-orang Melayu Patani dan kedaulat raja-raja Petani dari keturunan Raja Seri Wangsa iaitu raja awal yang membuka Patani. Selepas kemangkatan Raja Kuning atau Nang Cayang ke-4 yang terakhir, maka tahta kesultanan Patani telah beralih tangan kepada Raja-Raja Patani berketurunan Raja Kelantan. Dimasa pemerintahan mereka inilah Patani jatuh ketangan Siam.
Siam dapat menguasi Patani pada 1785 semasa pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) iaitu Raja Patani dari keturunan Raja Kelantan. Sultan Muhammad telah gugur semasa bertempur dengan Siam dan Istananya telah dimusnahkan (dibakar) oleh penjajah Siam dan dari sinilah bermulanya penderitaan orang Melayu Patani dibawah pemerintahan Siam hingga kehari ini. Banyak orang-orang Melayu telah diseksa dan dibunuh serta ada yang dibawa ke Bangkok sebagai hamba. Harta benda orang Melayu Patani telah dimusnahkan dan dirampas oleh Siam, diantaranya adalah Meriam Seri Negara dan Seri Patani. Walau bagaimanapun hanya Seri Patani sahaja yang dapat dibawa ke Bangkok manakala Seri Negara terjatuh kedalam laut dihadapan Kuala Patani ketika kerja-kerja pemindahan meriam berkenaan kedalam kapal perang dijalankan. Pada 1787, Raja Rama 1 telah menitahkan supaya dibina satu lagi meriam yang sama saiznya dengan Seri Patani dan diberi nama Narai Sanghan untuk diletakkan bersebelahan dengan Sri Patani.
Sumber :- Sejarah Kerajaan Melayu Patani/Wikipedia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.