24.05.2012, Khamis - Ini adalah Istana Besar Johor Baharu yang terletak berhadapan dengan Selat Johor dan telah dibina pada tahun 1866 oleh Sultan pertama Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar yang pada ketika itu bergelar Temengong Johor. Istana ini merupakan Istana Rasmi untuk sebarang istiadat Diraja bagi negeri Johor. Walau bagaimanapun pada tahun 1990 dibawah pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar, Istana ini telah dijadikan muzium dan secara tidak langsung mempunyai dua fungsi iaitu sebagai Istana Rasmi dan Muzium Diraja. Jika diadakan sebarang istiadat rasmi, Istana ini akan ditutup untuk pelawat. Almarhum membenarkan Istana ini untuk dikunjungi oleh rakyat adalah untuk mendedahkan rakyat kepada institusi beraja di Johor disamping mendekatkan lagi hubungan erat diantara Istana dan Rakyat selain daripada kita dapat melihat artifak-artifak sejarah peninggalan keluarga diraja Johor.
Selepas DYMM Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23.01.2010 menggantikan paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar yang telah mangkat pada 22.01.2010, baginda telah berhasrat untuk membaik pulih Istana Besar memandangkan iannya merupakan bangunan lama yang berusia lebih daripada 100 tahun. Tidak ada sebarang penambahan bangunan atau pengubahsuaian dibuat cuma dibaik pulih sahaja struktur yang asal. Hasrat baginda ini telah direalisasikan pada Januari 2011 dimana Istana ini telah ditutup secara rasminya kepada umum untuk lawatan dan kerja-kerja baik pulih sedang hebat dijalankan sekarang. Proses baik pulih ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Mei atau Jun 2013. Dari sumber yang boleh dipercayai, Tuanku Ibrahim akan ditabalkan sebagai Sultan Johor pada tahun hadapan selepas kerja-kerja baik pulih Istana Besar selesai sepenuhnya.
Gambar ini Syah ambil sewaktu lawatan Syah ke Johor pada Disember 2010 bersama abang Syah, Muss dan juga Cd untuk sambutan Tahun Baru 2011 di Johor Baharu. Ini adalah kali kedua Syah ke Istana Besar dan nasib baik kerana pada Januari 2011 ianya telah ditutup untuk lawatan. Istana ini dibuka untuk lawatan bermula jam 09:00hrs hingga 17:00hrs. Terdapat sedikit perbezaan bayaran masuk untuk para pelawat. Jika anda anak jati Johor kadar bayaran untuk orang dewasa adalah RM4.00 manakala untuk warga Malaysia lainnya dikenakan bayaran RM5.00 dan bagi warga asing caj dikenakan sebanyak USD7.00 (berdasarkan kadar tukaran wang asing pada hari berkenaan). Kanak-Kanak dibawa umur 12 tahun dikenakan RM1.00 bagi semua warga Malaysia dan USD3.00 bagi warga asing.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.