Friday, December 9, 2011

Doa Khutbah Jumaat Terakhir Untuk Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah di Wilayah Persekutuan

09.12.2011, Jumaat - Tengahari tadi solat jumaat di Masjid Negara dan Khutubah hari ini bertajuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Payung Agama dan Negara disampaikan oleh Ustaz Zaki Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara. Selepas itu kedengaran Doa untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, disebut Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Sedih mendengarnya sebab ini adalah Jumaat terakhir nama Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah disebut dalam doa Khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan kerana baginda akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 12.12.2011 ini.

Jumaat minggu hadapan akan disebut nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang baru pula :-

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzan Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Syah hendak berkongsi bersama anda semua Khutbah Jumaat hari ini seperti berikut dari Jakim e-Khutbah :-

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG

PAYUNG AGAMA DAN NEGARA

( 9 DISEMBER 2011 / 13 MUHARAM 1433H )Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya, kita beroleh kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Sempena dengan tamat tempoh rasmi perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong yang ke -13 pada 12 Disember ini maka tajuk khutbah pada hari ini ialah Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Payung Agama dan Negara” .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di negara kita Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi, sebagai ketua negara dan Baginda juga sebagai ketua agama Islam. Sebagai ketua negara Baginda melaksanakan tugasan dan amanah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Perkara 181(1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa Raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukan beberapa kuasa kepada Yang diPertuan Agong, antaranya ialah Baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istemewa orang-orang melayu dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain. Maka menjadi tanggungjawab Baginda melaksanakan tugas dengan adil dan tidak menzalimi sesama manusia tanpa mengira kedudukan seseorang itu. Firman Allah dalam surah Saad ayat 26:

Maksudnya:“ Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam apa juga perkerjaan, termasuklah hal-hal yang bersangkutan kepimpinan, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip yang perlu diikuti, antaranya yang penting ialah kebenaran dan keadilan. Konsep keadilan meliputi hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan makluk yang lain. Dalam konteks kehidupan bernegara keadilan tidak hanya berkait tanggungjawab pemerintah kepada rakyat semata-mata tetapi juga antara rakyat terhadap pemerintah.Untuk itu sebagai umat Islam di negara ini kita merasa amat bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara. Yang diPertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai ketua agama Islam juga adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita. Baginda bukan sekadar simbol kepada kedualatan negara, malah Baginda beperanan sebagai payung kepada agama dan bangsa dalam erti menjamin dan memelihara kesejahteraan rakyat dan keamanan negara yang berterusan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Berdasarkan kepada bukti sejarah bahawa Islam mula bertapak di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun ke empat belas. Walaupun proses Islamisasi di negara kita begitu unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun risalah Islam telah memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat. Islam mengisi kandungan rohani yang sebati lagi sejiwa dengan budaya dan adat resam. Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan dengan mencorakkan nilai dan sikap masyarakat. Undang-undang Islam diguna pakai sebagai asas pentadbiran dalam segala hal. Proses ini tidak lain adalah berdasarkan kekebalan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu. Dalam menyempurnakan amanah tersebut Baginda Raja-Raja melayu tetap dengan memastikan kesucian agama Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilindungi dari penyerapan fahaman lain yang boleh mengugat akidah dan kepercayaan yang sekian lama kukuh dan berakar umbi.

Bagaimanapun pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, mempertikai kedudukan Raja-raja Melayu, bidangkuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara ini, termasuk juga cubaan memurtadkan dan melanggari hak-hak eksklusif umat Islam. Persoalannya ialah mengapa keadaan ini berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, keadaan ini berlaku kerana antaranya ialah terdapat dikalangan umat Islam sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing, juga ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain. Oleh itu, mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan pihak yang cuba merosakkan kedudukan Islam, sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar, menzalimi umat Islam serta mengugat keharmonian negara. Ingatlah bahawa jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara yang rakyatnya dihina dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.

Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini mimbar menyeru kepada semua jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung sistem Raja Berpelembagaan yang sekian lama di amalkan di negara ini. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka lagi, termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama negara ini. Ingatlah bahawa teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. Kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bermusuhan antara satu sama lain.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian, bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara berpayung kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keperihatinan Baginda dalam memertabatkan agama, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia bersempena dengan tamat tempoh perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-13 al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 12 Disember ini, marilah sama-sama kita merafak sembah, menjunjung kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh Baginda berdua. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua serta kaum keluarga sentiasa dibawah payung rahmat Allah SWT, diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan daripada segala perbuatan jahat, fitnah dan kemungkaran yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkanlah perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.