Friday, April 1, 2011

Perlantikan Juru Kunci Merapi Yang Baru

Asih (memegang kertas) dilantik sebagai Juru Kunci Merapi yang baru.

04.04.2011, Isnin - Semalam 03.04.2011, Keraton (Istana) Yogyakarta memaklumkan perlantikan Juru Kunci Merapi yang baru bagi menggantikan Mbah Maridjan atau Mas Penewu Surakso Hargo yang meninggal dunia semasa letusan Gunung Berapi Merapi pada 26.10.2010 lepas. Beliau yang enggan meninggalkan kawasan Gunung Berapi berkenaan dijumpai meninggal dunia dalam keadaan bersujud dirumahnya ketika gunung berapi berusia 400,00o tahun itu meletus dan menyemburkan awan panas yang mengorbankan banyak nyawa.

Seramai 10 calon telah disenarai pendek daripada 18 orang calon yang terdiri daripada Abdi Dalem atau Pembantu Setia Istana. Akhirnya Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat melantik Asih anak lelaki ketiga Mbah Maridjan yang berusia 45 tahun sebagai Juru Kunci Merapi yang baru. Istiadat Perlantikan dan Pemberian Gelaran berlangsung hari ini di Bangsal Kesetarian Keraton Yogyakarta bersama-sama dengan pelantikan 229 abdi dalem yang dilakukan Penghageng Kawedanan Hageng Panitrapura Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat Gusti Bondoro Pengeran Haryo Joyokusumo di Yogyakarta.

Satu persatu mereka berjalan sambil bersimpuh menghadap GBPH Joyokusumo untuk menerima Serat Kekancingan (surat keputusan) dari Sri Sultan Hamengku Buwono X. Asih yang dilantik sebagai juru kunci Merapi memaklumkan dalam kenyataannya bahawa beliau akan memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan ini dengan sebaik-baiknya. Dengan perlantikan ini gelaran Asik sekarang adalah Mas Lurah Suraksosihono.

Setiausaha Agung Keraton Yogyakarta, Gusti Bendoro Pengeran Haryo Joyokusumo memaklumkan bahawa setelah dilantik Asih akan berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan serta badan kegunung apian. Keraton juga mengingatkan agar beliau tidak menggunakan Keraton dan Jawatan ini untuk tujuan mencari keuntungan. Menurut beliau lagi, jawatan ini bukan merupakan warisan turun temurun dan pemilihan Asih adalah secara kebetulan sebagai waris ketiga yang menjadi Juru Kunci Merapi selepas bapanya Mbah Maridjan dan datuknya Mbah Darso.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.