Friday, November 5, 2010

Mantan Raja Perempuan Kelantan, YMM Raja Perempuan Tengku Anis - 05.11.2010

Mantan Raja Perempuan Kelantan, Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis adalah dari keturunan raja-raja Patani disebelah ayahandanya iaitu Tengku Abdul Hamid bin Tengku Muda. Walau bagaimanapun YMM Raja Perempuan Tengku Anis tidaklah boleh dikatakan sebagai seorang Wanita Siam sepenuhnya kerana bonda baginda adalah kerabat diraja Kelantan. Bonda baginda adalah Tengku Azizah bt Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah, Tengku Hamzah merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Tahukah anda bahawa Tengku Razaligh Hamzah merupakan ayahanda saudara (bapa saudara) kepada baginda. Sehubungan dengan itu janganlah kita menuding jari menyatakan bahawa baginda adalah Perempuan Keturunan Siam sepenuhnya seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak atau cerita-cerita yang kita dengar dari mulut ke mulut.

YMM Raja Perempuan Tengku Anis diputerikan pada tahun 1949 di kediaman nendanya di Palm Manor, Kota Baharu Kelantan dan baginda dibesar dan mendapat pendidikan di Kota Baharu Kelantan. Baginda belajar di Sekolah Inggeris Zainab dan lulus Senior Cambridge dan Sijil Persekolah Malaysia. Baginda juga telah mendapat pendidikan agama daripada guru-guru agama yang dibawa khas dikediaman baginda.


YMM Raja Perempuan Tengku Anis semasa Muda

Baginda diijabkabulkan dengan Mantan Sultan Kelantan, DYMM Sultan Ismail Petra pada 04.12.1968 di Istana Kota Lama, Kota Baharu, Kelantan manakala Istiadat Persandingan Diraja telah diadakan pada 12.03.1969 . Pada masa itu DYMM Sultan Ismail merupakan YTM Tengku Mahkota Kelantan. Dengan perkahwinan ini, baginda telah dianugerahkan gelaran Tengku Ampuan Mahkota pada 01.01.1969 oleh KDYMM Sultan Yahaya Petra ibni Sultan Ibrahim dalam satu istiadat ringkas di Balairung Seri, Istana Balai Besar, Kota Baharu, Kelantan. Pada tahun 1983 baginda buat pertama kalinya menunaikan fardhu haji bersama paduka suami baginda. Baginda bergelar KDYMM Raja Perempuan Kelantan pada 30.03.1980 apabila Paduka Suami baginda dimahkotakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Ahmad Panglima Raja sebagai Al-Sultan Kelantan ke-28. Individu yang bertanggung jawab memahkotakan Sultan Ismail Petra merupakan ayahanda kepada dua orang Sultanah Johor iaitu Sultanah Nora Ismail dan Sultanah Zanariah.
Gambar terbaru YMM Raja Perempuan Tengku Anis semasa diatas tahta Kelantan

Hasil daripada perkahwinan baginda dengan DYMM Sultan Ismail, YMM Raja Perempuan Tengku Anis telah dikurniakan dengan tiga orang putera dan seorang puteri iaitu :-
  1. Tengku Muhammad Faris Petra bergelar KDYMM Sultan Muhammad Ke-V. Sultan Muhammad Ke-V berkahwin dengan Kangsadai Pipitpakdee atau nama Melayunya Tengku Zubaidah bt Tengku Norudin pada November 2004. Tengku Norudin adalah bapa saudara YMM Raja Perempuan Tengku Anis dari keturunan Raja Patani, Selatan Thailand Walau bagaimanapun beberapa tahun kemudian apabila Tengku Zubaidah tidak dilihat lagi dalam majlis-majlis rasmi Istana Kelantan umum mengatakan bahawa mereka telah bercerai. Walau bagaimanapun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara ini. Ada juga gosip menyatakan bahawa Sultan Muhammad Ke-V sebenarnya telah berkahwin dengan pilihan hatinya sebelum mengahwini Tengku Zubaidah, jika iannya benar mengapa semasa pemasyhuran Sultan Muhammad Ke-V, baginda berseorangan ? Sultan Muhammad Ke-V diputerakan pada 06.10.1969.
  2. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra bergelar Tengku Mahkota Kelantan, YTM Tengku Fa-Iz Petra. Dilantik pada 18.10.2010 sebagai Tengku Mahkota dan Pewaris Tahta Kerajaan Kelantan berkuat kuasa serta merta. Perlantikan ini telah melakar sejarah kerana buat pertama kalinya berlaku di Kelantan dimana Tengku Mahkota adalah dipilih dikalangan adik beradik Sultan kerana kebiasaannya Tengku Mahkota dipilih daripada Putera Sultan Memerintah. Diputerakan pada 20.01.1974.
  3. Tengku Muhammad Fakhry Petra, Mantan Tengku Temenggong Kelantan yang telah ditarik semua gelarannya oleh Sultan Muhammad Ke-V berkuat kuasa serta merta pada 30.09.2010. Beliau juga turut dilucutkan keahliannya daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan. Menghadapi masalah dalam rumahtangganya sehinggakan isterinya seorang model Indonesia, Manohara Odelia Pinot melarikan diri kembali ke Indonesia kerana mendakwa didera oleh Tengku Fakhry. Beliau Diputerakan pada 07.04.1978.
  4. Tengku Amalin A'ishah Petri. Seorang Majistret di Kelantan dan merupakan Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan. Diputerikan pada 26.06.1984.

Pada 13.09.2010 Pemangku Raja Kelantan, DYTM Tengku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 dengan gelaran KDYMM Sultan Muhamad Ke-V menggantikan Sultan Ismail Petra yang telah lama gering. Dengan pemasyhuran ini gelaran Sultan Ismail adalah DYMM Sultan Ismail Petra manakala gelaran baginda adalah Yang Maha Mulia (YMM) Raja Perempuan Tengku Anis ibni Almarhum Tengku Abd Hamid. Baginda tidak boleh lagi menggunakan gelaran KDYMM Raja Perempuan Kelantan kerana gelaran itu dikhaskan untuk suri (isteri) sultan yang memerintah sahaja.

Semasa Paduka Suami baginda diatas tahta kerajaan Kelantan, baginda berada di ranking keempat Senarai Susunan Kekananan Seri paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Permaisuri dan isteri-Isteri Kepada Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri.

Pada 30.09.2010 DUN Negeri Kelantan telah sebulat suara meluluskan Elaun Khas Seumur Hidup untuk Mantan Sultan dan Raja Perempuan Kelantan berupa elaun bulanan seumur hidup, sebuah kediaman dan kemudahan-kemudahan lain secukupnya tanpa memberi keterangan secara terperinci kemudahan-kemudahan berkenaan kerana iannya berstatus sulit untuk pengatahuan umum. Keadaan ini membuktikan bahawa KDYMM Sultan Muhammad Ke-V dan Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pimpinan Dato' Nik Aziz begitu perihatin terhadap kebajikan baginda berdua.


Syah berharap agar YMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis tabah menghadapi apa juga dugaan dalam hidupnya terutama berhubung kes Mahkamah Syariah yang masih belum selesai lagi mengenai kes tuntutan hak madu baginda Elia Suhana Ahmad. Semuga DYMM Sultan Ismail Petra dan YMM Raja Perempuan Tengku Anis diPanjangkan Umur dan DiMurahkan Rezeki Serta Beroleh Kesihatan Yang Baik. AMIN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.