Mohamad Reza Pahlawi merupakan Shah Iran atau Raja Iran terakhir dari Dinasti Pahlawi. Dinasti ini hanya sempat bertahan selama 54 tahun sahaja dengan dua orang Raja bemula pada tahun 1925 hingga 1976 dan ditumbangkan oleh Revolusi Iran atau lebih dikenali sebagai Revolusi Islam pimpinan Ayatollah Ruhollah Khomeini yang menjadikan Iran sebuah Republik Islam hingga hari ini. Dinasti ini diasaskan oleh ayahandanya, Reza Shah Pahlawi atau nama sebenarnya Reza Khan.
Reza Shah Pahlawi
(1925 - 1941)
Reza Khan merupakan seorang Pegawai Tentera Iran yang telah merampas kuasa dan menjatuhkan Ahmad Shah Qajar dari tahta Dinasti Qajar yang memerintah Iran sebelum itu. Pada tahun 1925 Ahmad Shah Qajar telah dipaksa turun tahta dan Reza Khan dimahkotakan sebagai Shah Iran dengan menggunakan gelaran Reza Shah Pahlawi. Baginda merupakan seorang yang bercita-cita tinggi dan ingin memodenkan Iran dengan membangunkan industri-industri berat, infrastruktur-infrastrutur utama, pembinaan jalan kereta api, memperkenalkan sistem pendidikan awam, melakukan pembaharuan sistem kehakiman dan memperbaiki sistem kesihatan. Salah satu sikap yang harus dipuji ialah baginda menghalang campurtangan Inggeris dan Kesatuan Soviet dalam proses pembangunan Iran. Apa yang dicita-citakannya dikotakan dan hanya dalam masa 16 tahun sahaja Iran telah mengalami pembangunan pesat dan menjadi negara membangun. Walau bagaimanapun rakyat Iran semakin membenci baginda terutamanya golongan ulama Iran pada pertengahan tahun 1930an kerana baginda memerintah secara diktator. Mohamed Reza Shah menggantikan ayahandanya Reza Shah semasa era perang dunia kedua pada 16 September 1941 selepas ayahandanya dipaksa turun tahta oleh pihak Anglo-Soviet kerana sikap pro Jerman Baginda. Reza Shah Pahlawi mangkat semasa dalam buangan di Johannesburg, Afrika Selatan pada 1944.Mohamad Reza Shah dilahirkan pada 16 Oktober 1919 di Tehran Iran dari bondanya Tadj ol-Muluk. Baginda pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Fawiza binti Fuad (1941-1948) - Adinda Raja Mesir ketika itu, Soraya Esfandiary (1951 -1958) dan yang terakhir adalah Farah Diba (1959-1980). Hasil dari perkahwinan ini baginda dikurniakan dengan lima orang cahayamata iaitu Shahnaz, Reza Cyrus, Farahnaz, Ali Reza dan Leila Pahlavi. Seperti ayahandanya, baginda juga mangkat semasa dalam buangan di Cairo, Mesir pada 27 Julai 1980 dan dikebumikan di Mesir.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.