Monday, April 19, 2010

Happy Birthday Tuanku Azlan - 19.04.2010

Hari ini 19.04.2010 merupakan Hari Keputeraan ke-82 tahun Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke 34. Sempena hari yang istemewa ini, Syah nak berkongsi maklumat mengenai baginda kepada anda semua. Tidaklah 100 peratus tetapi sekadar untuk mengenali baginda secara ringkas.

Al-Marhum Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah (Marhum Ghafarullah)
Sultan Perak ke 32
Ayahanda Tuanku Azlan Shah
Sultan Baginda dilahirkan sebagai YM Raja Azlan Shah di Batu Gajah, Perak pada 19 April 1928. Baginda merupakan salah seorang putera kepada YTM Raja Bendahara Perak, Raja Yussuff Izzuddin Shah yang kemudiannya bergelar Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah, Sultan Perak ke 32 yang bersemayam diatas tahta kerajaan Negeri Perak antara 31 Mac 1948 hingga 04 Januari 1963. Bonda baginda adalah Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah binti Dato' Setia Wangsa Ahmad dan kemudiannya lebih dikenali sebagai Yang Teramat Mulia Bonda Raja Toh Puan Besar Hatijah selepas Tuanku Azlan menaiki tahta kerajaan Perak. Baginda mempunyai seorang kekanda seibu bernama Raja Baharom Shah (telah mangkat). Bonda Raja memanggil baginda dengan gelaran manja "LAN" manakala saudara terdekat baginda memanggilnya dengan nama "Raja Lan" atau "Ku Cik". Selepas penceraian kedua ayahanda bonda baginda, baginda lebih banyak dibesarkan dikalangan rakyat biasa di Batu Gajah, Perak. Sebab itulah rakan-rakan baginda menyifatkan baginda sebagai seorang yang tidak pernah meninggi diri dan sentiasa mengangap dirinya sama seperti orang kebanyakan. Baginda sewaktu keclnya digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang manja dan sewaktu zaman persekolahannya pula sebagai seorang 'budak nakal'. Pada zaman Pemerintahan Jepun baginda pernah berkerja sebagai penjaga stor dan pernah dipenjara oleh Jepun kerana barang-barang dibawah jagaan baginda dicuri orang.
Al-Marhumah YTM Bonda Raja, Toh Puan Besar Hatijah bt Dato' Setia Wangsa Ahmad
Bonda Tuanku Azlan Shah

Pada Disember 1947, sewaktu mengambil peperiksaan school certificate di Sekolah Anderson, Ipoh baginda dan kawan baginda Haji Zahrin Pandak Chalon kini bergelar Dato' Pendikar Alam telah mengambil keputusan tinggal di Dewan Bandaran Ipoh selama dua minggu sepanjang minggu peperiksaan walaupun baginda memunyai saudara mara di Ipoh. Mereka tidur diatas meja didalam dewan tanpa tilam dan bantal. Tujuan baginda berbuat demikaian supaya tidak menyushkan saudara maranya dan supaya dapat menumpukan sepenuh masa menalah pelajaran.


Dari zaman remaja lagi baginda sudah mempunyai wawasan dan arah tuju untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Bagi baginda hanya pendidikan yang tinggi sahaja yang akan menjamin kejayaan sesorang dalam hidup dimasa hadapan. Bagi baginda sudah tiba masanya anak-anak raja meninggalkan cara hidup yang mewah dan bersenang lenang sambil menunggu giliran dan kesempatan untuk menjadi Sultan. Sebenarnya baginda sendiri tidak pernah mengimpikan untuk menjadi Sultan Perak seperti Al-Marhum Ayahandanya.


Setelah menamatkan peperiksaan Senoir Cambridge baginda menyambung pelajaran ke MCKK selama satu tahun bagi melayakkan baginda memasuki universiti dan waktu inilah ayahanda baginda ditabal sebagai Sultan Perak ke-32 pada 31 Mac 1948. Dengan status sebagai seorang Putera Sultan Perak, keadaan ini telah menaikkan lagi semangat baginda untuk menjadi seorang yang berpendidikan tinggi. Keadaan ini lebih mudah apabila ianya mendapat sokongan daripada ayahandanya.

Pada 31 Disember 1950 baginda bertolak ke England menggunakan kapal laut melalui Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajaran ke University of Nottingham dalam jurusan undang-undang. Tiga tahun kemudian baginda memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Pada November 1954 baginda diterima masuk ke Badan Peguam Inggeris oleh The Honourable Society of Lincoln's Inn, London.


Sekembali dari England pada 1954, baginda memulakan tugas pertamanya di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Diantara tahun 1955-56 baginda telah dilantik sebagai majistret kelas pertama di Kuala Lumpur. Pada 1957 baginda dilantik sebagai Presiden Mahkamah Seksyen sehingga tahun 1959. Pada tahun 1959 baginda pulang ke negeri Perak sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwaraya. Pada tahun yang sama baginda ditukarkan ke Pahang sebagai Penasihat Undang-Undang sehingga tahun 1961. Tahun 1961 - 1962 baginda bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. Pada tahun 1962 ditukarkan ke Kuala Lumpur sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga 1963. Pada 04 Januari 1963 ayahanda baginda mangkat. Pada tahun 1963 hingga 1965 baginda bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Perekutuan. Pada tahun 1965 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dalam usia 37 tahun. Merupakan hakim termuda pernah dilantik dalam negara Komanwel. Pada 1979 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1982 baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kelima. Pada Julai 1983 baginda dilantik sebagai Raja Muda Perak. Pada 31 Januari 1984 Dewan Negara Perak yang bersidang selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Idris telah memilih baginda untuk ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-34. Pada 26 April 1986 baginda dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia kesembilan dalam tempoh 5 tahun.


Perlu diketahui bahawa tidak semua putera Sultan Perak yang memerintah dilantik sebagai pewaris tahta kerajaan. Pemilihan adalah bergantung kepada Mesyuarat Dewan Negara yang membuat keputusan berdasarkan cadangan dan bimbingan Sultan yang bertahta sebagai pengerusinya. Diantara gelaran-gelaran baginda dalam senarai raja-raja bergelar adalah seperti berikut :-
  • Raja Kecil Bongsu - 19 Ogos 1962
  • Raja Kecil Tengah - 01 Februari 1963
  • Raja Kecil Sulong - 01 Januari 1978
  • Raja Kecil Besar - 01 Ogos 1978
  • Raja Muda - 01 Julai 1983
  • Paduka Seri Sultan Perak - 03 Februai 1984 Sehingga sekarang.

Boleh dikatakan bahawa baginda merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjawat dua jawatan tertinggi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia iaitu sebagai Ketua Hakim dan Yang DiPertuan Agong bagi Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Keputeraan ke 82 kepada Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke-34. DIRGAHAYU TUANKU PATIK.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.