Tuesday, September 22, 2015

Istiadat Permakaman DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Disempurnakan

22 September 2015, Selasa :-

Merafak Sembah Takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah  diatas kemangkatan suri tercinta baginda Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Almarhumah yang berusia 86 tahun mangkat pagi semalam (21 September 2015) jam 10:15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana sakit tua. Dengan kemangkatan ini, Kerajaan Negeri mengisytiharkan Negeri Kedah Darul Aman berkabung selama 7 hari bermula 21 hingga 27 September 2015. Segala bentuk hiburan, keraian dan perayaan adalah dibatalkan.  Bendera Persekutuan dan lain-lain dikibar separuh tiang selama tiga hari bermula 21 - 23 September 2015.

Almarhumah diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha, Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor. Almarhumah merupakan kerabat diraja Selangor dan puteri Sulong kepada Almarhum  Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bersama suri baginda Allahyarhamah Che Puan Hajah Kalsom. Almarhumah merupakan Bonda Saudara kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Almarhumah berkahwin dengan DYTM Tunku Haji Abdul Malik pada 16 Julai 1956 dan dianugerahkan gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 1981. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata.


Shukur Alhamdulillah Istiadat Permakaman Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah  telah selamat disempurnakan dengan penuh adat istiadat diraja negeri Kedah Darul Aman petang semalam di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar.


Solat Jenazah diadakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diimamkan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.


Jenazah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit selama satu jam bermula jam 04:00 petang untuk  Istiadat Penghormatan Terakhir.


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira jam 04:30 petang dan berada kira-kira 15 minit di istiadat berkenan. Turut berangkat adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perlis, YTM Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan YTM anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta  kerabat-kerabat diraja.  Turut serta dalam istiadat ini adalah  Menteri Besar Kedah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, barisan exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri dan tetamu lainnya


Jam 05:00 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhumah berangkat keluar meninggalkan Istana Anak Bukit menuju ke Makam Diraja Langgar.



Jenazah dibawa melalui  jalan Lebuh Raya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar.



Jenazah selamat berangkat tiba ke Makam Diraja lebih kurang jam 06:15 petang untuk Istiadat Permakaman. Istiadat Permakaman telah selamat disempurnakan pada jam 07:15 malam.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyiram air mawar dan menabur bunga di makam Almarhumah suri baginda.


Al-Fatihah 
Semuga Rohnya Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman Dan Beramal Solleh.

..... Amien .....

Sumber :- Bernama / Putra Kola / Mukhriz Mahathir FC / Lain-Lain Carian

Monday, September 21, 2015

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Mangkat

21 September 2015, Isnin :- 
Al-Fatihah


Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah 

Setakat yang Syah ketahui, Almarhumah mangkat pagi ini lebih kurang jam 10:00 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat sakit tua dan Istiadat Permakaman akan dijalankan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Sekarang jenazah berada di Istana Anak Bukit untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan dijadualkan berangkat  ke Makam Diraja jam 04:00 petang ini.


Semuga Rohnya Almarhumah DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tunku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.

Amien.

Wednesday, September 16, 2015

Raja Arab Saudi Umum Pampasan Mangsa Kren Jatuh Di Masjidil Haram


16 September 2015, Rabu :-

Raja Arab Saudi, Raja Salman ibni Abdul Aziz bertitah bahawa 1 Juta Riyal atau RM 1.2 Juta akan diberikan kepada  waris mangsa yang terkorban dalam tragedi kren jatuh di Masjidil Haram pada Jumaat, 11 September 2015. Jumlah yang sama juga akan diterima oleh mangsa yang mengalami kecacatan kekal.  Sebanyak 500,000 riyal atau RM600,000.00 akan diberikan kepada mangsa yang tercedera.

Mangsa yang tidak mampu meneruskan ibadah haji pada tahun ini akan diundang sebagai tetamu diraja bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan. Manakala bagi mangsa yang telah meninggal dunia, dua orang ahli waris mereka akan dijemput sebagai tetamu diraja untuk mengerjakan haji pada tahun hadapan. Kaum keluarga mangsa yang cedera pula dibenarkan datang untuk melawat dan menjaga mangsa dihospital dimana mereka akan diberi jaminan visa lawatan  sepanjang musim haji sehingga mangsa kembali ke negara masing-masing.

Tabung Haji dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebelum ini mengumumkan bantuan sebanyak RM40,000.00 kepada semua waris mangsa yang terkorban. 

Hasil daripada siasiatan yang dijalankan, Kren yang dilaporkan jatuh itu diletakkan ditempat yang salah dan dalam posisi yang tidak selamat. Syarikat Saudi Binladin  telah diarah memberhentikan operasi mereka sehingga siasatan selesai. Dalam kejadian Jumaat lalu telah mengorbankan 111 orang manakala 331 orang tercedera termasuk lima rakyat Malaysia disahkan terkorban manakala dua lagi masih hilang.  Proses menaiktaraf Masjidil Haram yang dianggarkan bernilai 21 billion Dollar sedang giat dijalankan bagi meningkatkan kapisiti jemaah haji.


..... Al-Fatihah ....

Sumber :- Bernama Radio / Astro Awani

Monday, September 14, 2015

Sambutan Aidiladha Pada 24 September 2015


14 September 2015, Isnin :-

Malam tadi Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, En Mohd Aseral Jusman mengumumkan bahawa tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Qurban) adalah pada hari Khamis, 24 September 2015  bersamaan 10 Zulhijjah 1436.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1436 Hijrah ialah pada 15hb September 2015 Masehi. Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi Negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 24hb. September 2015 Masehi.”

Sumber :- Bernama / Portal Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia / Astro Awani

Friday, September 4, 2015

Sultan Selangor Melawat Panda Gergasi

04 September 2015, Jumaat :-

Semalam Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan mencemar duli melawat panda gergasi Xing Xing di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara. Keberangkatan Tuanku Sultan Selangor dan rombongan ke Zoo Negara semalam sempena Program Sambutan Hari Lahir ke-9 Xing Xing dan Liang Liang serta Perasmian Poskad Zoo Negara. 

Panda gergasi Liang Liang pula tidak kelihatan kerana sedang direhatkan setelah melahirkan anak bulan lepas. Turut serta mengiringi Tuanku Sultan selangor adalah Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Azamin Ali dan  Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif.

Sumber :- Bernama/The Sun