Thursday, January 30, 2014

Kubah Makam Diraja Brunei

30 Januari 2014, Selasa :-

Makam Diraja Brunei yang terletak di KM 2, Jalan Tutong atau juga dikenali juga sebagai Jalan Kubah Makam Diraja di Bandar Seri Bagawan mula digunakan semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I ibni Al-Marhum Sultan Muhammad 'Alauddin, Sultan Brunei ke-18 yang memeritah pada tahun 1762 hingga 1786 - Maklumat di Makam Diraja dan ada menyatakan 1740 hingga 1778 - Pusat Sejarah Brunei. Baginda mangkat pada hari Khamis 22 Zulhijjah 1200 bersamaan 16 Oktober 1786 dan ada juga menyatakan baginda mangkat pada 09 Julai 1795. Baginda merupakan Sultan Brunei yang pertama dimakamkan dikawasan ini dan Sultan-Sultan selepas Al-Marhum juga dimakamkan disini.  Makam-makam Sultan Brunei sebelum baginda di makamkan di beberapa kawasan sekitar Badar Seri Bagawan seperti di Kota Batu, Tanjung Kindana, Kiangeh dan Luba serta Pulau Chermin. Syah sempat ziarah ke Kubah Makam Diraja Brunei sebanyak lima kali sempena ziarah Syah ke Brunei Darssalam pada 18 hingga 25 November 2013.  

Didalam kawasan makam diraja ini juga terdapat batu bersurat yang diukir oleh Khatib Abdul Latif pada 10 Februari 1806 atas titah perintah Al-Marhum Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Brunei ke-19 iaitu putera kepada Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I. Tujuan utama baginda adalah supaya salah silah Sultan-Sultan Brunei yang di ceritakan dari mulut ke mulut dapat didokumentasikan sebagai rujukan generasi akan datang terutamanya kepada keluarga diraja.  Batu bersurat ini juga merupakan sebahagian daripada makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin II, Sultan Brunei ke-23.

Kubah Makam Diraja yang merupakan sebuah bangunan makam untuk menempatkan Sultan dan Kerabat Diraja yang kanan pula siap dibina sepenuhnya pada 1965.  Didalam kubah ini terdapat makam empat orang Sultan Brunei iaitu Al-Marhum Sultan Hashim Jalilul 'Alam 'Aqamaddin, Sultan Brunei ke-25 ;  Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam II, Sultan Brunei ke-26 ; Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27 dan Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28. 

Dibahagian luar Kubah Makam Diraja pula terdapat makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I, Sultan Brunei ke-18 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Brunei ke-19 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam I, Sultan Brunei ke-20 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul Alam, Sultan Brunei ke-21 ; Sultan Muhammad 'Alam, Sultan Brunei ke-22 ; Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddien II, Sultan Brunei ke-23 ; Al-Marhum Sultan 'Abdul Momin, Sultan Brunei ke-24.  Semasa lawatan Syah tempohari makam-makam Sultan dibahagia luar Kubah sudah dialihkan binaannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada proses baikpulih makam Sultan-Sultan Brunei.

Kubah Makam Diraja dibuka untuk ziarah mulai jam 07:45 hrs hingga jam 18:00hrs setiap hari tujuh hari seminggu. Setiap hari Penjaga Kubah Makam Diraja akan membaca ayat-ayat suci Al-Quraan di Kubah Makam Diraja. Kubah Makam Diraja juga mempunyai kakitangan-kakitangan penyelengaraan bagi memastikan Kubah Makam Diraja dan kawasan persekitarannya sentiada kemas dan bersih.  Dimakam ini juga selalu diadakan majlis tahlil oleh para pelawat yang terdiri daripada Kerabat Diraja, kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, Univesiti dan seumpamanya. Kubah Makam Diraja juga dibuka untuk lawatan kepada para pelancung dari dalam dan luar negara. Jika anda ke Brunei jangan lupa singgah ke Kubah Makam Diraja untuk ziarah makam Al-Marhum Sultan-Sultan Brunei serta Keluarga Diraja sambil sedekahkan bacaan Al-Fatihah sekurang-kurangnya dan jika hendak baca Yasin itu lagi bagus.

Jom kita ronda-ronda sekitar Makam Diraja ...............
  

Dari jalan besar kita boleh  nampak tanda arah ke Makam Diraja yang terletak jauh sedikit diatas kawasan berbukit.





Papan tanda makam dipintu masuk utama makam


Pandangan kawasan Makam daripada pintu masuk utama.  Disebelah kanan seperti kawasan lapang itu adalah tempat meletak kenderaan.



Pandangan dari atas kubah Makam Diraja Brunei memperlihatkan tempat meletak kenderaan yang luas disediakan untuk  para tetamu yang menziarahi makam. Kebiasaanya pada hari Jumaat merupakan waktu puncak dimakam dimana kebanyakan kerabat diraja menziarahi makam kerabat masing-masing. Napak tak dibelakang sekali ada bentuk Kubah Masjid. Itu adalah Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang terletak Kampung Tamoi yang merupakan salah satu Kampung Air di Brunei.


Kubah Makam Diraja terletak diatas bukit dalam kawasan Makam Diraja. Bangunan disebelah kanan adalah komplek Makam manakala binaan disebelah kiri itu adalah tempat mengambil air sembahyang dan tandas.


Untuk naik ke Kubah Makam Diraja kita perlu menggunakan tangga ini.



Tangga menuju Kubah Makam Diraja



Pintu masuk Kubah Makam Diraja



Sebahagian pandangan didalam Kubah Makam Diraja. Sesuatu yang unik di Kubah Makam Diraja adalah lantai dalam Kubah Makam Diraja diletakkan permaidani bewarna merah. Dengarnya selepas Syah balik ke Malaysia permaidani ini diganti dengan karpet yang baru dengan warna yang sama.


Tentu kita merasa pelik jika lantai diletakkan permaidani macam mana hendak menyiram air mawar kan? Sebenarnya permaidani itu direka khas dimana ianya boleh dibuka jika hendak meletakkan bunga atau menyiran air mawar dan ianya akan ditutup semula seperti gambar diatas. Tugas-tugas ini akan dilakukan oleh Penjaga Makam jika ada permintaan daripada waris untuk membukanya.


Tandas dan tempat mengambil air sembahyang disediakan untuk kemudahan para pelawat dan petugas makam. 


Dibahagian sebelah belakang Makam ada sungai dan Kampung Air.


Ini adalah papantanda makam yang terletak dibahagian atas bangunan Kubah Makam Diraja. Syah rasa bertuah kerana dapat naik keatas bumbung makam diraja dan dapat melihat keseluruhan kawasan makam diraja dari atas.



Pandangan sebahagian daripada kawasan makam dari atas bumbung Kubah Makam Diraja

Syah diatas bumbung Kubah Makam Diraja.


Tahukah anda bahawa betul-betul dibawah binaan berbentuk kubah di belakang Syah ini dibawahnya adalah Makam Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28 yang juga merupakan Ayahanda kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah.



Makam Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III.  Lubang yang bercahaya itu  adalah binaan berbentuk kubah yang Syah maklumkan tadi.


Terdapat 9 buah kubah seperti ini didalam Kubah Makam Diraja. Ini adalah salah satu kubah berkenaan.


Pelan Lantai Kubah Makam Diraja. Benjolan berkenaan adalah 9 kubah seperti gambar Syah diatas.  


Rekod Kedudukan Makam-Makam didalam Kubah Makam Diraja


Anda boleh menandatangani buku pelawat sebagai tanda kenang-kenangan sempena ziarah anda ke Kubah Makam Diraja.


Al-Fatihah .......



Papantanda memaklumkan kerja-kerja pengbahsuaian makam-makam Sultan Brunei sedang dijalankan 


Kerja-kerja pengubahsuaian makam sedang giat dijalankan. Anda boleh lihat pancang-pancang besi di sekeliling makam untuk membina bumbung bagi makam-makam berkenaan.


Salah satu contohnya adalah Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul Alam, Sultan Brunei ke-21 sedang dalam proses kerja-kerja pengubahsuaian.


Batu bersurat yang juga merupakan sebahagian daripada makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin II, Sultan Brunei ke-23 sedang dalam proses pengubahsuaian.


Sebahagiah daripada binaan makam Al-Marhum Sultan di keluarkan untuk proses pengubahsuaian dan akan dipasang semula seperti bentuk asalnya.


Makam Al-Marhum Sultan 'Abdul Momin, Sultan Brunei ke-24. Batu Nesan Al-Marhum telah dikeluarkan untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian makam.


Teko alaminum dan paip air untuk kegunaan para penziarah untuk mengisi air bagi disiram diatas kubur/makam.



Walau bagaimanapun didalam kawasan makam ini ada penjual yang menyediakan perkhidmatan jualan air dengan campuran tertentu yang dipanggil Aing Asah Asahan untuk disiram keatas kubur/makam yang dijual dengan harga BND1.00 sebotol. 













Kelihatan kanak-kanak menjual  Aing Asah Asahan didalam kawasan Makam Diraja.  Gambar ini diambil pada hari Jumaat dimana iannya merupakan hari cuti umum di Brunei. Hari Jumaat dan Ahad merupakan hari cuti umum di Brunei manakala hari Sabtu adalah hari bekerja.


Kawasan persekitaran makam


Sebahagian Makam-Makam Kerabat Diraja Brunei.


Dua makam disebelah Syah merupakan makam puteri kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27 iaitu Allahyarhamah YAM Pengiran Anak Hajah Siti Halimah (disebelah Syah) dan Allahyarhamah YAM Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Saerah yang baru mangkat pada 04 November 2013 dalam usia 83 tahun. 


MAKAM-MAKAM SULTAN DIDALAM KUBAH MAKAM DIRAJA


Al-Marhum Sultan Hashim Jalilul 'Alam 'Aqamaddin, Sultan Brunei ke-25 


Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam II, Sultan Brunei ke-26


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27


Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28 dan disebelah kanan gambar Syah adalah makam Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit yang merupakan Ayahanda dan Bonda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekarang. 


Makam Bekas Mufti Pertama Brunei didalam Kubah Makam Diraja. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. Allahyarham merupakan orang Johor, Malaysia dan telah mendapat penghormatan daripada Sultan Haji Hassanal Bolkiah sehinggakan jenazah Allahyarham dan isterinya mendapat perkenan baginda untuk disemadikan didalam Kubah Makam Diraja. 

Allahyarham meninggal dunia dalam usia 82 tahun pada 03 Februari 1993 bersamaan 11 Syaaban 1413 di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Bagawan. Jenazah Allahyarham dikebumikan pada keesokan harinya 04 Februari 1993 bersamaan 12 Syaaban 1413 di Kubah Makam Diraja Brunei.

Setakat ini sahajalah yang Syah dapat ceritakan secara ringkas mengenai Kubah Makam Diraja. Yang dapat Syah ceritakan Syah akan kongsi bersama anda tetapi jika ada yang rahsia terpaksa disimpan untuk pengetahuan diri sendiri dan tidak dapat dikongsi bersama anda semua. Akhir kata jutaan terima kasih kepada sahabat Syah, Runy kerana sudi menyambut ketibaan Syah di Kubah Makam Diraja dan membawa Syah ziarah ke beberapa tempat lainnya di Brunei Darussalam. 

Wednesday, January 29, 2014

Sultan Ahmad Shah Berehat Di IJN

29 Januari 2014, Rabu :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang
Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah kini sedang berehat dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.  Bersama-samalah kita mendoakan agar Tuanku Sultan Pahang sentiasa dalam keadaan sihat sentiasa hendaknya.  Amien. 

Saturday, January 25, 2014

Sultan Brunei Lawat Mangsa Banjir Di Lamunin


25 Januari 2014, Sabtu :-

Sekarang (tengahari) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menziarahi mangsa banjir di Lamunin dalam Daerah Tutong. Turut serta mengiringi Tuanku adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Keadaan hujan lebat dan berterusan akhir-akhir ini menyebabkan berlakunya banjir dibeberapa kawasan di Brunei terutamanya Daerah Tutong dan Belait. Beberapa jalan ditutup akibat runtuhan tanah. Sebagai panduan, jika berlaku banjir kilat dan tanah runtuh, laporan boleh dibuat ke Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian kecemasan 995 atau talian Hotline NDMC  2380354, 2380324 atau 2380308.


Kepada orang Brunei berhati-hati ketika banjir dan ambil langkah berhati-hati untuk keselamatan diri anda dan keluarga seperti  memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol (mineral),  memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memasak semua makanan dengan sempurna, mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas, menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah merata-rata, mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan terdekat jika mengalami penyakit seperti sakit perut, cirit-birit, muntah dan seumpamanya.

Syah doakan agar keadaan banjir di Brunei beransur pulih secepat mungkin dan semuga Allah melindungi Negara Brunei Darussalam dan penduduknya dari sebarang bencana. Amien.

Sumber :- Danny

Tunku Ampuan Najihah Terima Proton Exora Bagi Pihak LKPIM


25 Januari 2014, Sabtu :-


Semalam Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah binti Tunku Besar Burhanuddin yang juga merupakan Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia atau LKPIM telah berkenaan menerima sebuah kereta Proton Exora untuk kegunaan ahli pertubuhan berkenaan daripada Kumpulan AmBank. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim kepada YMM Tunku Ampuan Najihah dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat LKPIM di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. 

Tuanku Najihah dalam titahnya menzahirkan rasa kesyukuran kerana LKPIM terus dipilih oleh Ambank dalam perlaksanaan tanggungjawab sosial korporat syarikat perbankan berkenaan yang sebelum ini pernah menyumbangkan sebuah van Nissan Vanette pada tahun 2012. Titah baginda lagi, kenderaan baru ini akan memudahkan ahli LKPIM melaksanakan tugas-tugas kebajikan  seperti khidmat nasihat kekeluargaan, membantu anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan mangsa bencana alam.

Tan Sri Azman dalam kenyataannya memaklumkan sumbang ini adalah untuk merealisasikan objektif murni LPKIM sekaligus memberi manfaat besar kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Sumber :- Kosmo

Thursday, January 23, 2014

Pengiran Muda Mahkota Sempurnakan Upacara Sovereign's Parade Pegawai Kadet Pengambilan Kesepuluh Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan

23 Januari 2014, Khamis :-

Pagi tadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah berkenan mencemar duli berangkat ke Upacara Sovereign's Parade Pegawai Kadet Pengambilan Kesepuluh Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan di Sungai Akar.  Keberangkatan tiba DYTM disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa Hj Sirat dan Komander Angkatan Tentera Udara Brunei Dato Paduka Seri Hj Aminuddin Ihsan Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Hj Abidin.

Kemudiannya DYTM telah menerima tabik hormat diraja dan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei. DYTM kemudiannya menerima tabik hormat daripada 23 anggota pegawai kadet pengambilan ke-10 dan 22 anggota pegawai kadet pengambilan ke-11.

DYTM juga telah berkenan menyampaikan anugerah kepada pegawai kadet terbaik mengikut beberapa kategori seperti berikut :- 
  1. Angerah paling berprestij Anugerah Pedang Kehormat - 50382 OCdt (L) Mohd Aiezuddin bin Julaini.
  2. Anugerah Akademik Terbaik Keseluruhan - 1730 OCdt (U) Umi Kalthsum binti Haji Ramli.
  3. Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera - 21723 OCdt Afifah Hasanah binti Haji Ali Hassan.
  4. Anugerah Latihan Fizikal Terbaik - 50378 OCdt Iqbal Arqam bin Haji Abdul Rahman.
Bacaan doa selamat diketuai oleh Ketua Bahagian Agama Angkatan Tentera Diraja Brunei, Kapten Ariffin bin Amit. 

DYTM dan rombongan kemudiannya berangkat ke Mess Pegawai Sungai Akar dan telah diberi cenderahati yang dinamakan "Rai'sul Amin" yang berupa topi perang. DYTM juga ditunjukan buku catatan sepanjang latihan yang dijalankan selama 42 minggu oleh Pegawai kadet ke-10. DYTM kemudiannya telah berkenan menerima mengadap pegawai kadet beserta keluarga masing-masing serta para jurulatih dan pegawai Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan.  Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama DYTM.

Sumber :- Kementerian Pertahanan Brunei

Wednesday, January 22, 2014

Raja Isteri Hadiri Majlis Perhimpunan Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasalam Bagi Tahun 1435H

22 Januari 2013, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohammed Alam telah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perhimpunan Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasalam bagi Tahun 1435 Hijrah. Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja perempuan Brunei Darussalam. Majlis diadakan di Pusat Persidangan Antarabangs Barakas.


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Tuesday, January 21, 2014

Nor Jan Shah Dibebas Dari Tahanan Reman Dengan Jaminan Polis

21 Januari 2014, Selasa :-

Nor Jan Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Nor Jan Shah yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka telah dibebaskan dari tahanan reman dengan jaminan polis pagi tadi. Tahanan reman keatas Nor Jan Tuah bermula 14 Januari lepas bagi membantu siasatan pihak Polis dibawah Seksyen 41(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf oleh kerajaan. Setelah urusan jamanian beliau selesai, Nor Jan Shah dilihat keluar daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka pada jam 12:50hrs dan kemudiannya menaiki kereta BMW berwarna biru tua.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat dalam kenyataannya kepada Bernama hari ini memaklumkan bahawa :-
  • "Kes masih dalam siasatan terutamanya berkenaan dakwaannya mendapat surat pengesahan daripada ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), yang kita perlukan kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk Pastikan dakwaan itu benar atau tidak".
  • "Kita akan mohon bon mahkamah bagi memastikan beliau tidak menganjurkan majlis atau aktiviti berkitan kesultanan sehingga siasatan ini selesai". 
Sumber :- Bernama

Tunku Puan Zanariah Gagal Mengenepikan Perintah Mahkamah Syariah

21 Januari 2013, Selasa :- 

Semalam Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah telah gagal untuk mengenepikan perintah Mahkamah Syariah yang mengeluarkan penghakiman bahawa Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail telah menceraikan beliau. Hakim Muhammad Khaldun Mohd. Sharif memaklumkan bahawa Mahkamah Syariah Johor terikat dengan fatwa mengenai perkara tersebut. 

Peguam yang mewakili Yang Amat Mulia Tunku Puan Zanariah, Afshah Arifin memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah bahawa ucapan yang dilafazkan oleh Almarhum Sultan Iskandar adalah tidak sah dari segi undang-undang Islam. Pihak peguam bela akan memfailkan rayuan berhubung kes ini di Mahkamah Syariah Johor dalam masa terdekat ini. 

Sila click entry Syah terdahulu berhubung kes Cerai ini

Sumber :- Utusan.com.my

Sunday, January 19, 2014

Tempoh Tahanan Nor Jan Tuah Dilanjutkan

19 Januari 2014, Ahad :-

Tempoh tahanan reman terhadap Nor Jan Tuah atau lebih dikenali sebagai Raja Nor Jan Shah yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka telah dilanjutkan untuk tempoh tiga hari lagi bermula hari ini hingga Selasa depan. Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret semalam pada jam 11:10hrs oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, V. Kanansan kepada wakil pihak polis, Pegawai Penyiasat Kanan Assisten Superintendan RR Kumerasan. Nor Jan Tuah sedang disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Polis Melaka telah mendapat perintah tahanan reman terhadap Nor Jan Tuan bermula 15 Januari lepas.  Tangkapan dibuat pada Rabu, 15 Januari 2014 di Jeti Anjung Batu, Serkam, Jasin sewaktu Nor Jan Shah dan 30 orang pengikutnya hendak bertolak ke Pulau Besar bagi menghadiri satu majlis kesyukuran sempena sambutan Maulidur Rasul. 

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Ghazali Khan Shah memaklumkan bahawa penahanan Raja Nur Jan dibuat setelah mendapat laporan polis dari pelbagai pihak berhubung penganjuran beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf. Menurut Datuk Shah Ghazali lagi " Kami menerima tidak kurang 10 laporan dari pertubuhan NGO (badan bukan kerajaan) yang risau dengan penganjuran majlis dan jemputan yang menghadiri majls tersebut".

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Assisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdulah dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihak Polis masih lagi belum dapat menemui isteri Nor Jan Shah dan beberapa orang pengikutnya untuk pihak polis melengkapkan laporan siasatan yang sedang dijalankan. Beliau memaklumkan bahawa pihak polis akan terus berusaha untuk mengesan isteri dan beberapa orang pengikut Nor Jan Tuah.

Sumber :- Kosmo /Facebook