Tuesday, May 21, 2013

Raja Dr. Nazrin Shah Rasmikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah

21 Mei 2013, Selasa :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang telah dinaik taraf.  Perasmian ini adalah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Azlan Shah ke-85.  Projek menaik taraf lapangan terbang ini bermula 13 April 2011 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 01 November 2012. Kerja-kerja menaik taraf ini merangkumi pelebaran ruang Balai Perlepasan dan Balai Ketibaan, penyediaan tempat duduk baharu di Balai Perlepasan, Balai Ketibaan dan ruang daftar masuk serta pemasangan sistem pendingin hawa di Balai Perlepasan, Balai Ketibaan dan Balai Perhimpunan Awam. Kerja-kerja naik taraf ini juga melibatkan pemanjangan  landasan daripada 1,798 meter kepada 2,000 meter dan pelebaran kawasan meletak kenderaan komersial.

Turut serta mengiringi baginda dalam majlis ini adalah DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim ;  DYAM Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar bin Raja Muda Musa ; DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani bt Raja Shahar Shah ; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir ; Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato' Aziz Karpawi dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holding Berhad, Tan Sri Bashir Ahmad.

Sumber :- Bernama / Utusan Online

No comments: