Wednesday, January 9, 2013

Titah Sultan Selangor Berhubung Isu Kalimah ALLAH

09.01.2012, Rabu - Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alhaj telah membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan khusus untuk umat Islam sahaja di Negeri Selangor. Baginda juga menzahirkan kekesalan baginda terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab bible versi bahasa Melayu baru-baru.  Ketetapan ini dibuat oleh baginda setelah mengadakan satu mesyuarat khas bersama Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada hari Ahad lepas bersamaan 06 Januari 2012.  Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS mengambil tindakan tegas kepada orang Islam atau bukan Islam yang masih mempersoalkan atau memperlekehkan fatwa yang telah diputuskan oleh negeri Selangor.  Mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik kerana ianya akan membawa  kepada kemusnahan dan keamanan yang dikecapi sekarang ini.

Dua tahun lepas, Tuanku Sultan Selangor pernah mengeluarkan titah yang sama berhubung isu ini tetapi baginda berasa kecewa kerana titah itu telah dipandang ringan oleh sesetengah pihak sehingga ianya dibangkitkan semula oleh Lim Guan Eng baru-baru ini.  Lim Guan Eng dalam perutusannya sempena Hari Krismas pada 24 Disember lepas meminta Kerajaan Persekutuan membenarkan Kalimah Allah digunakan dalam kitab bible versi Melayu di Semenanjung memandangkan iannya dibenarkan di Sabah dan Sarawak semenjak 50 tahun yang lalu.   Walau bagaimanapun dalam seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 telah membuat ketetapan melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam dalam segala perkara berkaitan agama mereka.

Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahab  pula dalam kenyataannya  memaklumkan ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat pada 06 Januari lepas adalah selari dengan keputusan fatwa negeri yang sudah diwartakan pada 18 Februari 2010 selepas merujuk undang-undang sediada di Selangor.  Menurut beliau lagi, perkara yang sama juga telah diputuskan dalam muzakarah jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan yang bersidang pada 05 hingga 07 Mei 2008 iaitu Lafaz ALLAH adalah kalimah suci khusus bagi ajaran dan umat Islam dan tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama lain.

Sumber :- Berita Harian 

No comments: